Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam (22 Jun 2022) menjadi sasaran serangan yang dilihat mempunyai agenda tersembunyi dalam kalangan pemimpin UMNO, tatkala pentadbirannya berusaha mengatasi masalah inflasi dan kos sara hidup yang membelenggu rakyat.
Ketika akar umbi UMNO di seluruh negara diberitahu bahawa Ahli Parlimen Bera itu tetap dicalonkan sebagai Perdana Menteri (PM) jika Barisan Nasional (BN) menang majoriti Pilihan Raya Umum Ke-15, ada ‘gerakan’ yang cuba menampakkan kelemahan beliau dalam mentadbir negara.
Semalam, serangkaian teguran, kritikan dan serangan ditujukan kepada pentadbiran kerajaan Ismail Sabri.
Malah, serangan ‘kasar’ dibuat salah seorang pemimpin tertinggi UMNO dan BN Johor yang menyifatkan Ismail Sabri adalah PM UMNO paling lemah dalam sejarah.
Teguran, kritikan dan serangan secara ‘berjemaah’ terhadap PM Ismail Sabri bermula pagi semalam apabila Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan supaya bersungguh-sungguh membantu rakyat.
“Kerajaan seharusnya bersungguh-sungguh membantu rakyat dengan mengumumkan satu pakej bantuan ekonomi yang menyeluruh bagi menampung kenaikan kos sara hidup…
“Mutakhir ini wujud ura-ura untuk kenaikan tarif elektrik… Jika tarif elektrik dinaikkan, ia akan lebih membebankan lagi rakyat Malaysia dan kos sara hidup akan terus meningkat.”
Kenyataan itu sekali gus membayangkan seolah-olah Ismail Sabri – Naib Presiden UMNO – sebelum ini tidak bersungguh-sungguh membantu rakyat menghadapi inflasi dan peningkatan kos sara hidup, tatkala Malaysia memasuki fasa peralihan endemik Covid-19.
Menyusul pula teguran rakan baik Zahid yang sama-sama dituduh di mahkamah kerana terlibat dengan puluhan kes jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan pengubahan wang haram, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang membuat teguran tetapi menggunakan bahasa lebih ringan.
Najib menegur kerajaan Ismail Sabri berkaitan beberapa isu seperti subsidi harga petrol, ayam dan minyak masak.
Beliau juga mencadangkan kerajaan menaikkan harga minyak RON95 sebanyak 10 sen atau 20 sen – satu kenaikan yang bakal menimbulkan kemarahan rakyat kepada Ismail Sabri jika dilaksanakan.
Antara alasan diberikan Najib ialah ramai golongan T20 – kumpulan isi rumah yang berpendapatan antara RM10,961 dan RM15,040 ke atas – mengambil kesempatan mengisi kenderaan mereka dengan minyak RON95 yang diberi subsidi kerajaan.
Namun, adakah golongan T20 ini lebih ramai daripada B40?
Dan adakah mereka ini kumpulan yang memberi sokongan kepada BN berbanding B40?
Sedang golongan T20 ini rata-ratanya memiliki kenderaan mewah yang enjinnya hanya sesuai menggunakan petrol RON97.
Menyusul kenyataan Najib, Majlis Pakatan Harapan (PH) – yang tentunya mendengar cakap cikgu kepada Zahid, Datuk Seri Anwar Ibrahin – membuat kenyataan mendesak kerajaan Ismail Sabri mengumumkan dalam tempoh 24 jam pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup yang membelenggu rakyat.
Majlis Presiden PH turut menuntut menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap isu itu untuk meletakkan jawatan sekiranya gagal mengumumkan pelan berkenaan.
Dan, semalam juga kenyataan keras keluar daripada Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan Ismail Sabri sebagai PM terlemah pernah UMNO ada.
“Tidak pernah seorang Perdana Menteri UMNO selemah ini dalam sejarah negara,” katanya dipetik laporan FMT semalam.
Pada 14 April lalu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata MT dalam mesyuaratnya sebulat suara memutuskan Ismail Sabri menjadi calon PM pada PRU-15, dan keputusan itu turut diuar-uarkan pada perhimpunan agung parti itu.
Namun, dilihat kepada serangan bertali arus UMNO dan secara ‘berjemaah’ terhadap kepemimpinan Ismail Sabri, akar umbi parti itu melihat ada agenda tersembunyi untuk menunjukkan kelemahannya sebagai PM, apa lagi desakan UMNO supaya PRU-15 dibuat segera kurang mendapat perhatian Ahli Parlimen Bera itu yang sibuk membantu rakyat.
Namun, adakah penasihat-penasihat politik Ismail Sabri tidak melihat agenda dan pemainan ini?
Jika Ismail Sabri dikatakan lemah, eloklah MT UMNO menamakan pemimpin lain sebagai calon PM selepas PRU-15.
Tapi, siapakah pemimpin UMNO yang layak menjadi PM selepas PRU-15 jika Ismail Sabri tidak dicalonkan?
Berdasarkan sejarah negara, pemimpin tertinggi parti atau gabungan politik yang mendapat majoriti di Parlimen akan diangkat sebagai PM.
Adakah Zahid layak diangkat menjadi PM kesepuluh Malaysia?
Razali bin Zakaria