Membandingkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perdana Menteri (PM) daripada UMNO yang lain dalam keadaan mereka adalah presiden parti dan Barisan Nasional (BN) pula menguasai dua pertiga kerusi Parlimen, adalah perbuatan zalim.
Sebaliknya pengukuran ke atas kelemahan dan kekuatan Ismail Sabri hendaklah dilihat dalam konteks kejayaan menjadi PM dalam keadaan beliau bukan merupakan Presiden parti, manakala BN sebenarnya kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Datuk Wan Hashim Wan Teh berkata kejayaan Ismail Sabri melakukan banyak perkara sebagai PM UMNO dalam suasana parti itu tidak memegang kuasa mutlak, adalah menakjubkan.
Menulis di dalam Utusan hari ini, beliau dipercayai mengulas tindakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyelar Ismail Sabri yang juga naib presiden kanan parti secara terbuka.
Sebelum ini, Nur Jazlan dipetik melabel Ismail Sabri sebagai PM daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.
“Tidak pernah seorang Perdana Menteri UMNO selemah ini dalam sejarah negara.
“Senario yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan ketika ini dilihat bercelaru dan mencerminkan kedudukannya yang lemah,” kata Nur Jazlan.
Mengulas lanjut, Wan Hashim berkata Perlembagaan UMNO sendiri, jelas mengatakan semua ahli hendaklah patuh dan menghormati keputusan parti, memelihara nama baik dan maruah parti serta sentiasa menunjukkan tatakelakuan yang sopan lagi tertib.
Beliau memberi contoh kes Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Lokman Adam yang dipecat pada 7 Februari 2020 kerana menyelar secara terbuka Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Tidak dinafikan, tindakan pemimpin UMNO menyelar secara terbuka mana-mana pemimpin tertingginya merupakan satu perlanggaran disiplin parti yang boleh menjejaskan nama baik parti dan boleh menyebabkan pelakunya dikenakan tindakan disiplin.
“Apatah lagi bila pemimpin tertinggi yang diselar itu telah dipersetujui sebulat suara MT UMNO pada 14 April lalu untuk dijadikan poster boy dan calon PM bagi menghadapi PRU-15,” katanya tanpa menamakan individu yang menyelar Ismail Sabri itu.
Mengenai motif selaran terbuka itu, Wan Hashim berkata ianya pasti akan dikaitkan dengan rekod penyelar yang beberapa kali menghentam pemimpin UMNO yang tidak bersetuju PRU-15 diadakan secepat mungkin.
Menurutnya ada berpendapat menyatakan penyelar itu sebenarnya yang bercelaru, menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu dan paling lemah kerana pelbagai kenyataan beliau amat tidak konsisten selain ditolak pengundi sendiri apabila kalah dengan majoriti lebih 28,000 undi dalam PRU-14.
“Apa keperluan beliau mahu PRU15 dilangsungkan secepat mungkin bila beliau sendiri telah mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRU15 kerana menyebut dirinya sudah tahu keputusan jika bertanding dan mahu mengelak daripada menanggung malu?
“Beliau malah turut menyebut perlu diakui antara faktor BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah (kerana) peratusan keluar mengundi yang rendah.
“Sepatutnya mana-mana pemimpin yang berkeyakinan rendah begini harus mengundurkan diri daripada memimpin parti baik di peringkat bahagian apatah lagi negeri, bagi memberi ruang kepada pemimpin lebih muda dan berkeupayaan.
“Mendesak PRU-15 dilangsungkan secepat mungkin dalam keadaan pemimpin yang membuat desakan itu sendiri tidak mempunyai keyakinan UMNO akan menang adalah umpama tindakan kamikaze,” kata Wan Hashim lagi.