Mat Kilau Memang Menyesakkan Musuh

Mat Kilau Memang Menyesakkan Musuh

Sudah pastinya tulisan aku bukan berkaitan jalan cerita, pelakon, prop dan apa-apa sahaja yang sudah terlalu banyak ditulis orang.

Tambah lagi, aku bukan ahli dalam perfileman.

Jadi tiada guna membuang masa dalam perkara yang bukan bidang aku.

Apa yang cuba aku sampaikan ialah berkenaan pandangan sesetengah pihak berkenaan cara PAS mengajak orang menonton filem Mat Kilau ini.

Mereka menjadikan itu sebagai isu besar.

Dan yang gagal mereka ambil ialah pengajaran daripada cerita perjuangan ini.

Adanya tali barut, adanya pihak yang memilih senang, hanya menunggu menang dan kesudahannya pejuang tulen hanya akan berjuang dengan beberapa kerat rakannya sahaja.

Benarlah kalam Allah, berapa banyak tentera yang sedikit, mengalahkan tentera yang banyak.

Bukan kerana senjata, tetapi kerana ketaqwaan kepada Allah.

Kesungguhan itu telah dibayar Allah dengan bantuan tentera-tenteranya.

Medan Badar adalah medan pertama perperangan yang disaksikan bantuan Allah datang kepada tentera yang sedikit jumlahnya.

Apabila kita memasuki lapangan politik, segala perkara tidak akan boleh menjadi syadid.

Apa yang ada dalil, jika agak dhaif sekalipun, akan ada kelonggarannya.

Apatah lagi jika ia perkara furuk yang masih ada ruang perbincangan.

Maka, lebihlah lagi ia tidak boleh dibuat sebagai perkara yang mengganggu perjalanan politik.

Berbeza dengan perkara asas.

Ia wajib dipertahankan.

Tetapi walaupun begitu Rasulullah pernah membenarkan Ammar bin Yaasir bertaqiyyah mengaku musyrik ketika diugut musyrikin.

Ia helah bagi menyelamatkan nyawa.

Ramai orang PAS tidak bersetuju dengan konsert.

Namun Almarhum TGNA pernah membenarkan konsert Mawi dan M. Nasir di Kota Bharu.

Beliau setuju.

Dan ia berlangsung dalam suasana yang bukan membuka jalan maksiat.

Sebagaimana kita tahu, hiburan bukan satu kesalahan dalam Islam, jika berpada-pada.

Dikir barat yang mengarut liriknya juga ditukar kepada lirik yang lebih baik.

Juga sukan seperti snooker yang kemudiannya dibenarkan.

Pawagam di Terengganu, dikenakan peraturan memisahkan tempat duduk berlainan jantina dan juga waktu tayangan bukan pada waktu solat.

Ia tidak dilaksanakan ketika Umno memerintah.

Membebankan pengusaha pawagam, kata Exco Umno ketika itu.

Hukum yang jelas juga disebut oleh Ustaz Azhar Idrus berkenaan keharusan menonton wayang JIKA jalan ceritanya betul dan dipisahkan tempat duduk mengikut mahram.

Sama seperti jawapan daripada Jabatan Mufti Perak.

Jadi sejajar dengan apa yang PAS Terengganu laksanakannya.

Mufti Wilayah juga menonton filem untuk memastikan cerita itu betul, seperti yang terjadi kepada filem ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’ yang mana filem ini dikatakan cuba membawa mesej LGBT dalam pusat tahfiz.

Juga dalam isu filem Polis Evo 2 yang mengisahkan pembawa ajaran sesat yang ada di Malaysia, tetapi dengan imej yang memburukkan Islam.

Namun kedua-dua filem ini, PAS membantah keras kerana ia boleh membawa kepada pandangan negatif terhadap Islam.

Jadi PAS bukan menggalakkan manusia ke panggung sangat, belum pernah sebelum ini.

Tetapi jalan cerita Mat Kilau amat menarik kerana ia membawa mesej Islam yang jelas.

Tiada artis wanita mendedahkan aurat mereka, pertama kali mungkin?

Namun bagi rakyat di Kelantan, aku berpandangan tidak perlulah diwujudkan pawagam semata-mata kerana Mat Kilau.

Sudah ada kemudahan lain seperti untuk menonton.

Kekalkanlah Kelantan sebagaimana sekarang.

Rakyat Kelantan tidak kebulur dengan pawagam.

Musuh PAS sengaja menaikkan isu ini bagi menidakkan kejayaan PAS mengawal hiburan untuk lebih menjurus ke arah jalan yang betul.

Mereka tidak berjaya melakukannya, maka mereka alihkan kepada isu haram halal.

Yang benar ialah teguran oleh ulamak berkenaan normalisasi pawagam.

Hal ini memang kita mesti berhati-hati agar tidak terjadi nanti ia sebagai budaya yang kemudiannya menerobos sempadan agama.

Cukuplah cerita-cerita sebegini sahaja untuk ditonton, cerita yang menaikkan semangat Islam.

Nyata sekali almarhum Mat Kilau memang menyesakkan dan meresahkan jiwa musuh-musuh Islam dengan perjuangannya, baik ketika beliau masih hidup, mahupun sudah tiada jasadnya di bumi ini.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis