Pembalakan aktif sememangnya sudah tiada di Hutan Simpan Gunung Inas (kompartmen).
Jarak perkampungan yang terjejas seperti Kampung Iboi, Kg Bendang Pecah, Kg Jerai dan Kg Pisang cuma lebih kurang 500 meter dengan Hutan Simpan berkenaan.
Tapi ceritanya tak habis di situ.
Banjir besar kali ini dan beberapa banjir yang telah pun berlaku di perkampungan yang sama pada tahun 2019 berkait dengan projek Ladang Durian Musang King di Hutan Simpan Gunung Inas.
Selepas aktiviti pembalakan melibatkan 5 ribu hektar kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sejak tahun 2005, pembangunan ladang hutan ganti telah diputuskan spesis kayu lembut atau getah klon balak (TLC).
Zaman Almarhum Ust Azizan pada asalnya sudah mengusahakan projek Ladang Rakyat dengan penanaman getah klon balak (TLC), menepati spesifikasi sebagai ladang hutan ganti.
Namun, apabila berubahnya tampuk Kerajaan pada tahun 2013, Menteri Besar selepasnya mengambil keputusan membatalkan projek tersebut dan menggantikannya dengan Ladang Durian Musang King.
Maka, di sinilah cerita Ladang Durian Musang King itu bermula.
Beberapa isu timbul dengan tanaman Musang King kerana spesis durian bukan daripada spesis ladang hutan ganti yang dibenarkan.
Tetapi wujud desakan supaya ia tetap dibenarkan ketika itu.
Lebih parah lagi, ada pihak yang mahu menjadikan tanaman Musang King terbesar melibatkan keseluruhan kawasan ladang hutan.
Ia bukan sahaja melibatkan ribuan hektar di Hutan Simpan Gunung Inas, bahkan juga tambahan ribuan hektar lagi di Hutan Simpan Rimba Teloi dan Bukit Enggang (Sik) serta Hutan Simpan Gunung Bongsu (Kulim).
Apabila ditekan, barulah Kerajaan pada masa itu mengubah keputusannya pada tahun 2019.
Hanya 20 peratus daripada kawasan yang diluluskan tadi diteruskan penanaman spesis durian.
Ironinya, masa perubahan ini diputuskan, projek Ladang Durian Musang King sudah pun berjalan.
Isu ini pernah meletup pada tahun 2019 selepas BH mengeluarkan suatu laporan Eksklusif bertajuk ‘Hutan Simpan Gondol’, tetapi ‘its fall on deaf ears’.
Masuk zaman Menteri Besar terkini, semua projek mengarut dan menguntungkan kroni itu akhirnya dihentikan serta-merta.
Penanaman spesis yang dibenarkan hanyalah tanaman tutup bumi dan spesis yang dibenarkan di bawah Jabatan Perhutanan sahaja.
Namun, impak daripada kesan penjarahan panjang kawasan Hutan Simpan tersebut ditambah lagi dengan penanaman durian masih besar.
OIeh: Hafiz Mansor