Apabila mutakhir ini tulisanku banyak berkisar tentang UMNO, ada si totok persoal; kenapa serang UMNO?
Dalam situasi Muafakat Nasional (MN) belum terbubar secara rasmi, memang tak sayugia aku serang UMNO.
Tapi apa hal UMNO Terengganu yang sudah nekad lawan PAS.
Malah UMNO Kelantan dan PAN yang sebelum ini berbeza kutub sudah duduk sepentas.
Apakah si totok itu menghadapi masalah kecelaruan minda yang cukup jelas?
Kalaulah beberapa ucapan, penjelasan dan tulisan dari kem siber PAS menyentuh tentang kemelut dalam UMNO dianggap satu serangan, maka UMNO perlu adil menilai pihak mana yang menjadi pemula melepaskan peluru.
Buka balik arkib sejarah untuk menyedari kronologi yang berlaku.
Dan apakah karenah UMNO Terengganu, Kelantan dan Perlis yang secara tegas akan melawan PAS tidak wajar dijadikan satu justifikasi bahawa dalam menerang, PAS juga patut menyerang?
UMNO sepatutnya berterima kasih kepada PAS.
Presiden PAS istiqamah memberi kepercayaan kepada DS Ismail Sabri (DSIS) sebagai PM.
Menteri-menteri PAS masih bekerjasama dan berkongsi akauntabiliti mentadbir Negara dengan menteri-menteri UMNO.
Anehnya, DSIS diperlekeh dan diasak oleh ‘orang kuat’ UMNO sendiri.
Bukankah ini manifestasi kecelaruan minda persis si totok UMNO yang disebutkan tadi?
Hakikatnya ialah kluster mahkamah UMNO cuba memusnahkan MN.
Majlis Kerja Tertinggi UMNO seolah-olah ‘rubber stamp’ seperti mana didedahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, YB Tajuddin A. Rahman.
Kelompok inilah sebenarnya yang banyak menyerang dan menghina pemimpin-pemimpin PAS.
Apabila PAS menjawab, dikatakan PAS yang serang UMNO.
Sejujurnya, kalaulah tiada isu moral dan penyelewengan di kalangan beberapa orang pemimpin UMNO, tentunya MN akan baik-baik sahaja menuju matlamatnya.
Kalau tiada isu mahkamah, tiadalah isu mengusung fail meminta nyawa.
Kalaulah tiada isu 1MDB dan Yayasan Akal Budi, tiadalah kebimbangan dan ketakutan.
Tiadalah perkara buruk yang perlu difikir dan direncanakan.
Dengan itu, tumpuan tentulah dapat diberikan untuk merealisasikan piagam.
Tetapi apa yang berlaku adalah apa yang dapat ditonton pada hari ini.
Wawancara DS Mohamad Hassan dengan Asia Times menjelaskan lagi ada gunting dalam lipatan.
Kawan makan kawan; Mat Hassan makan Najib. Najib makan Zahid. Zahid telan Mat Hassan.
Inikah wajah-wajah pemimpin yang patut diangkat dan dijulang oleh rakyat menerusi PRU15 akan datang?
Akhir kalam, andaikata DS Ismail Sabri-lah elemen terpenting yang dapat memberi nafas baru kepada kemenjadian MN, maka sama-samalah kita mendoakan agar Allah membuka laluan agar ummah ini kembali bersatu dan berpadu.
Maaf, harapan ini tidak dapat disembunyikan lagi.
BayangDiAir,