Mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meramalkan PAS akan menang lebih banyak kerusi pada PRU15.
Demikian pandangan seorang veteran UMNO menyebabkan sebahagian orang terkesima.
Bagi PAS, jika benar perkara itu berlaku, Alhamdulillah.
Inilah bonus dalam perjuangan kerana kemenangan hakiki bagi orang PAS ialah apabila seseorang itu dapat meletakkan dirinya dalam akidah dan perjuangan yang benar. Jelas.
Siapa yang tidak inginkan kemenangan bonus lebih-lebih lagi itu adalah anugerah tambahan daripada Allah SWT?
PAS berjuang untuk menang demi Islam.
Kalau boleh, PAS mahu menang besar secara solo.
Mudah bagi PAS untuk laksanakan tuntutan Islam tanpa karenah dan ultimatum dari pihak lain.
Malangnya, situasi dan kondisi ini amat sukar berlaku selagi umat Islam berpecah-belah fahaman dan fikrah.
Tidak semua Melayu berpolitik demi mendaulatkan Islam.
Sebahagiannya berpolitik hanya untuk mengangkat naratif bangsa.
Mentaliti nasionalis mengatasi kalam Ilahi.
Tidak kurang yang berpolitik sebagai wahana untuk keuntungan peribadi seperti jawatan, pangkat dan material.
Mereka menganggap BN atau PH adalah pilihan yang baik.
Kayu ukur mereka bukan al-Quran dan al-Hadis.
Asal boleh solat, boleh puasa, pergi haji sudah memadai.
Ini adalah sindrom yang sukar diubati.
Melayu ini terbahagi kepada dua kelompok asas; satu kelompok yang cakna politik dan satu lagi meminggirkannya.
Di sana, ada pula kumpulan dakwah yang meninggalkan politik sehingga ahli-ahlinya tidak tahu tentang perkembangan politik dan akhirnya tidak keluar mengundi.
Segelintir Melayu merasakan politik itu kotor.
Ada pula golongan celaru yang beranggapan PAS dan UMNO sama sahaja tetapi memangkah BN ketika di petak undi.
Yang cakna politik pula berpecah-belah kepada beberapa buah parti politik.
Ini menyebabkan bangsa ini kehilangan beberapa buah kerusi di kawasan mojoritinya sendiri.
Justeru itulah PAS berusaha agar semua parti dan organisasi orang Melayu/Islam bernaung di bawah satu pemuafakatan yang dinamakan Muafakat Nasional.
Jangan pisang berbuah dua kali.
Melayu berpecah, kembali kuasa kepada DAP.
Tun Daim juga patut menyentuh kebarangkalian ini.
Tun Daim hanya membayangkan PAS akan menang lebih banyak kerusi; bukan PAS menang besar.
Sebenarnya PAS berpotensi menang besar.
PAS ada MB-MB terbaik sebagai contoh mentadbir negeri.
PAS ada menteri-menteri yang kompeten dan berakauntabiliti.
PAS ada jentera-jentera yang sanggup berkorban dan hanya mengharapkan redha Ilahi.
Malangnya, pada era gajet dan pelbagai aplikasi ini, ahli-ahli dan penyokong PAS malas berpencak di media sosial.
Malas nak berkongsi peluru; sekadar jenguk sepintas lalu.
Sedangkan DAP/PH menang PRU14 kerana menguasai medan ini.
Apalagi anak-anak muda pengundi baru inilah dunia mereka.
Jangan nanti, apabila postmortem, sekali lagi media sosial jadi alasannya.
Ramai pengundi baru akan menolak UMNO/BN kerana imej Zahid, Najib dan geng kleptokrasi.
Namun belum tentu mereka akan memilih PAS.
PH mungkin menjadi alternatif.
Tidakkah ini patut dibimbangi?
Konklusinya, Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi (TGHH) pernah melahirkan hasrat untuk melihat ‘Islam menang’ sebelum beliau menghembuskan nafas.
Marilah semua yang bergelar muslim, kita berkongsi rasa dan harapan ini dengan mengorbankan masa, tenaga, kepakaran dan harta benda demi Islam.
Teguhkan saf dan bergeraklah dari segala posisi.
Kita bukan hendak menang 20 kerusi tetapi kita nak tadbir negara ini mengikut acuan Ilahi.
Macam TGHH, kita juga nak lihat Islam ‘berdaulat’ sebelum pulang bertemu Ilahi.
Hendaknya jiwa raga inilah akan menjadi galang ganti.
BayangDiAir
