Jika ada tersebar fitnah tanpa bukti pada seseorang yang terkenal atau tidak, maka pimpinan PAS akan senyap sahaja, kerana mereka sedar, aib orang, wajib dijaga.
Atau kalau tuduhan terhadap individu itu didatangkan dengan bukti yang belum pasti benar, juga pimpinan PAS, diamkan sahaja, tidak perlu melayan bukti palsu.
Atau sekiranya berlaku pendakwaan di mahkamah ke atas insan itu, maka pimpinan PAS akan menunggu dengan sabar keputusannya, biar mahkamah melaksanakan tanggungjawabnya.
Atau kemudiannya beliau didapati bersalah, pastinya pimpinan PAS menanti pula keputusan mahkamah rayuan dan persekutuan, agar ia lebih adil bagi tertuduh.
Dan apabila jelas terbukti dia melakukan sesuatu yang bersalahan dengan prinsip agama dan undang-undang negara (ada juga salah dari segi dunia tetapi tidak menurut prinsip agama), pimpinan PAS pasti tidak bersetuju dengan kesalahannya, tetapi akan mendoakan supaya orang itu diampunkan Allah.
Mereka faham akan balasan yang mungkin sama yang Allah boleh berikan jika kita menghina si pelaku dosa itu, serta larangan Rasulullah untuk kelakuan itu. Kecuali kesalahan yang melibatkan sesuatu yang mesti dimaklumkan kepada umum.
Begitulah prinsip diamalkan oleh pimpinan PAS, tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah terhadap semua pesalah tanpa mengira musuh, apatah lagi rakan.
Namun, jika terjadi kepada pimpinan PAS ( baca ahli politik PAS), dengan hanya satu fitnah, tanpa bukti, tanpa dakwaan, tanpa bicara mahupun keputusan bersalah, orang ramai, terutama musuh sangat mempercayainya dan bergembira.
Paling perit dan pedih, ada juga sebahagian orang yang mengaku menyokong PAS, juga percaya dan menyebarkannya, malah ada juga yang menghina.
Di mana silapnya?
Mohd Nasir Abdullah