Ada satu cerita berkenaan seorang pengusaha restoran, Mamat.
Dia membuka kedai makannya itu di suatu tempat yang kebetulannya, tiada pengusaha lain yang menjadi pesaingnya.
Keuntungannya agak baik kerana itu.
Pekerjanya sangat bagus kerana mendengar kata dan proaktif bagi kemajuan perniagaannya.
Masing-masing saling menjaga sesama mereka.
Suatu hari, Mamat mendengar cerita yang satu tunjuk perasaan secara aman akan berlaku berhampiran dengan restorannya.
Si pencerita itu bercerita dengan bersungguh-sungguh dengan berbagai andaian yang dimasukkan dalam cerita.
Dianggarkan seramai 1000 orang peserta akan hadir pada tarikh yang telah ditetapkan.
Katanya, mereka tidak menguar-uarkan kepada orang lain kerana takut disekat.
Mamat yang mendengar berita itu, tanpa berlengah, segera mengatur strateginya.
Mamat mempercayai cerita itu sepenuhnya tanpa berbincang dengan orang lain, kerana kelabu mata dengan keuntungan.
Dia mengarahkan perkerjanya untuk menambah jumlah hidangan pada hari itu.
Dia mengeluarkan belanja berkali ganda untuk mendapatkan keuntungan lebih.
Pekerjanya bekerja sehari lebih awal sebagai persediaan hari tersebut dengan dibayar elaun lebih masa.
Dia sudah mengira keuntungan yang bakal diperolehinya setelah ditolak semua kos.
Tiba hari yang dinantikan, memang benar terjadi rancangan tunjuk perasan itu.
Rupanya lebih 1000 orang didapati hadir, menyebabkan dia yakin keuntungannya akan menjadi lebih besar.
Memikirkan masih sempat, dia segera mengarahkan chef restorannya untuk menambah lagi hidangan kerana kehadiran sudah melebihi 1000 orang.
Chef dengan segera menyempurnakan arahan itu.
Hanya sahaja, Mamat tidak mengetahui bahawa tunjuk perasaan itu sebenarnya ialah mogok lapar.
Jadi, tiada seorangpun peserta yang singgah ke kedainya untuk melepaskan dahaga atau mengisi tembolok kerana mematuhi arahan mogok lapar itu.
Sementara itu, chef yang tidak mengetahui keadaan sebenar, masih berperang di dapur bersama kumpulannya.
Apabila siap, chef bertanyakan Mamat yang sedang kemerahan mukanya, ada apa-apa lagi yang mahu ditambah?
Mamat rupanya telah mencurahkan air di tempayan hanya kerana mendengar guruh.
Begitulah diibaratkan cerita ini dengan tawaran mahu UBAH kerajaan Terengganu oleh satu pihak yang sedang galak berkempen.
Pastinya akan menyesal sesiapa yang mempercayai cerita mereka yang konon mahu UBAH pentadbiran Kerajaan Terengganu sekarang, sedangkan sewaktu mereka memerintah dahulu, habis berterabur dikerjakannya.
Kitapun tahu ceriteranya.
Jika didengar cerita separuh masak oleh kumpulan UBAH ini, boleh membuatkan kita hilang kewarasan pertimbangan.
Mereka mencipta cerita dengan berbagai hiasan menarik untuk rakyat percaya kononnya penyelewengan, rasuah, pecah amanah, balak, bahagi tanah dalam Kerajaan Terengganu.
Hal yang sebenar, mereka tidak pula sebut seperti pengurangan hutang, manifesto yang diselesaikan, pujian demi pujian daripada badan luar yang mengadili pentadbiran Kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh PAS.
Namun, rakyat Terengganu pandai membezakan dua hal ini, ‘memerintah’ dengan ‘meratah’.
PAS pandai ‘memerintah’ Terengganu sekarang ini, sedang dalam paksi kejayaan yang betul, jauh berbeza dengan keadaan satu pihak lain dahulu yang pandai ‘meratah’ sumber Terengganu.
Bukti-bukti pembaziran telah banyak kali diulang dan disebut, serta ditunjukkan.
Bas rosak, bangunan terbiar, hutang dan sebagainya.
Sehinggakan ada yang sudah masuk ke mahkamah.
Jadi, adakah kita mahu menjadi seperti Mamat?
Kononnya mahu mengejar untung berlipat kali ganda, tetapi akhirnya dek kerana terpedaya dengan cerita orang dan tidak mengetahui hal sebenar, Mamat kerugian berganda-ganda.
Tak cerdikkan?
Jangan hilangkan kepintaran kita dengan mempercayai umpan kumpulan UBAH yang akan menghancurkan Negeri Terengganu yang kita sayangi ini.
Oleh itu, jika datang kepada kamu, makhluk-mahkluk yang mengaku konon rakyat perlu mengubah Kerajaan Terengganu sekarang ini, maka kita yang berakal waras ini, jawablah dengan lidah yang fasih dan lancar dengan bertanya kembali kepada mereka….
Doh nok uboh, nok wi ke saper…beri ke mu smula ke? Haaa gitewww…
Mohd Nasir Abdullah