Lembu diikat pada tali, manusia diikat pada janji.
Martabat manusia dinilai daripada pegangannya kepada janji.
Apa yang dikata sepatutnya ialah apa yang patut dikota.
Akan tetapi, pada zaman ini, segalanya berubah.
Apabila manusia tidak lagi mempercayai dirinya dapat berpegang pada janji dan amanah, maka manusia bangkit mencari idea untuk mengikat dirinya dengan undang-undang.
Macam-macam perjanjian antara manusia kini diikat oleh undang-undang.
Dan ini termasuklah Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yakni Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini.
Ahli politik terdiri daripada manusia-manusia yang bakal dikurniakan kuasa terbesar di dalam sesebuah negara untuk memimpin rakyat dan mentadbir.
Akan tetapi, mereka yang sepatutnya menjadi model kepada rakyat tidak mempercayai diri dapat berpegang pada amanah yang diberi, sehinggakan memerlukan undang-undang untuk memastikan diri sendiri tidak akan melompat parti.
Begitulah kelakarnya tahap politik Malaysia hari ini.
Yang peliknya, ramai yang pernah melompat juga menyokong RUU tersebut.
Akta Lompat Parti tidak menyelesaikan punca lompat parti.
Masalah lompat parti ini berpunca daripada sistem pilihan raya negara yang tidak rapi.
Bayangkan untuk seseorang calon bertanding di atas nama parti, mereka memerlukan watikah pencalonan daripada parti itu sendiri.
Tiba-tiba selepas menang pilihan raya, kerusi yang dimenangi ahli politik itu menjadi hak milik peribadi dan bukannya hak parti.
Itu satu kepelikan.
Sepatutnya Perlembagaan dipinda agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen yang dimenangi menjadi hak milik parti atau gabungan politik.
Ahli politik hanya diberi amanah untuk menjaga kerusi tersebut.
Jika ahli politik itu melompat atau dipecat parti, kerusi itu masih milik parti yang menang.
Dengan itu, tiada ahli politik yang akan melompat kerana dia tidak boleh melompat bersama kerusinya.
Jika ada ahli politik yang meninggal dunia sebelum pilihan raya seterusnya, parti yang menang hanya perlu melantik pengganti.
Langsung tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil.
Dengan begitu, pilihan rakyat dapat dihormati dan dikekalkan sehingga pilihan raya seterusnya tanpa boleh disabotaj oleh ahli politik.
Maaflah, makin difikir, makin kelihatan RUU Anti Lompat Parti ini agak merendahkan martabat ahli politik, yang sepatutnya dapat diikat pada janji yang paling asas iaitu jangan khianat pada undi rakyat.