Sudah tiga kali Najib bersumpah mubahalah.
Pertama ketika menafikan terlibat dengan kes pembunuhan Altantuya model dari Mongolia yang dibunuh secara kejam, diletupkan dengan C4.
Beliau melakukannya di masjid, sambil ditemani isteri dan anak-anaknya, membalas tuduhan Azilah.
Kedua, ketika dalam satu sidang media melalui talian, setelah kalah dalam rayuan berkenaan kes SRC yang dibawa ke mahkamah rayuan.
Beliau kemudiannya melafazkan sumpahnya yang beliau tidak terlibat kepada wartawan.
Dan dua hari lalu, setelah beberapa perkara yang menjadi kontroversi seperti peguamnya mahu menarik diri, tetapi tidak dibenarkan mahkamah.
Peguamnya juga memilih untuk tidak berhujah, beliau memutuskan untuk sekali lagi bersumpah di Masjid Kampung Baru.
Beliau dilihat konsisten menafikan penglibatan beliau dengan skandal SRC.
Dan kali ini juga, beliau memilih bersumpah, sebelum habis perbicaraan yang saya tidak tahu sama ada ia boleh dikatakan mengganggu perbicaraan atau tidak.
Akhir sumpahnya, beliau bertakbir tiga kali (rasa macam ceramah PAS pula).
Dalam sejarah Islam, dicatatkan beberapa peristiwa berkaitan sumpah mubahalah sebegini.
Kisah tersohor berkenaan Saad Bin Abi Waqas yang menafikan tuduhan orang terhadapnya iaitu tidak membahagikan harta dengan benar serta tidak bersolat sebagaimana Rasulullah.
Umar juga tahu ia satu fitnah.
Akibatnya pemfitnah itu terkena laknat Saad.
Dalam surah Ali-Imran, Rasulullah pernah mencabar kaum nasrani untuk bersumpah laknat bagi membuktikan kebenaran agama masing-masing dengan membawa keluarga masing-masing.
Tetapi wakil Nasrani takut untuk melakukannya.
Bermakna dalam agama mereka juga ada berkenaan bersumpah begini.
Dalam Islam, sumpah boleh dilakukan, tetapi bukan penentu kepada betul dan salah dalam sesuatu kes.
Semua pertuduhan dalam Islam mesti disertai bukti dan saksi.
Sebab itu Rasulullah berpesan kepada sahabat baginda supaya tidak mengambil hak orang atau berlaku zalim dengan kepandaian berhujah.
Mungkin sahaja Rasulullah tersalah hukum kerana salah seorang pandai berkata-kata.
Dan sumpah juga mesti dilakukan dalam mahkamah, apabila diminta hakim.
Jangan dilupa juga bahawa manusia ini adalah ciptaan Allah yang sangat unik.
Mereka datang dari mani yang lemah dan hina, kemudian menjadi manusia, mereka melawan Allah.
Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai impian dunia mereka.
Sehingga ada yang mengaku tuhan.
Oleh itu, tidak lari dari kemungkinan seseorang itu sanggup menggunakan sumpah demi melepaskan diri.
Ia terbukti dalam satu kisah seorang wanita yang mengandung, dituduh berzina.
Dia tidak mengaku, sehingga sanggup bersumpah, walau dilarang oleh Rasulullah dan Rasulullah tahu hal itu.
Akhirnya anak yang keluar, fizikalnya sama seperti bapa zinanya.
Dilihat semua orang.
Hina di dunia, menunggu pula siksa di akhirat. Begitulah.
Anwar kelihatannya lebih penakut berbanding Najib.
Dan Anwar juga pernah membela diri dari kandang tertuduh, tanpa boleh disoal peguam.
Namun, sekurang-kurangnya Anwar tidak bersumpah.
Walaupun kita melihat Saiful Bahari tidak terkena apa-apa, tetapi mahkamah tetap tidak mengambil kira sumpahan itu.
Akan tetapi apabila dua kali mahkamah menjatuhkan hukuman, Anwar dan kuncu-kuncunya tetap mendakwa mahkamah tidak adil.
Sebaliknya sewaktu Najib hendak dijatuhkan hukuman, mahkamah pada mereka sangat adil.
Begitu juga keterbalikan prinsip Najib.
Untuk Anwar, bersalah, untuk beliau, teraniaya.
Jadi, bilakah mahkamah Malaysia ini adil?
Meminta laknat ini, bukan gurauan.
Aku teringat akan kisah hampir 30 tahun dahulu apabila ada satu jemaah diharamkan.
Mereka kemudiannya meminta laknat Allah diturunkan kepada yang memfitnah mereka.
Menteri Agama waktu itu, Tan Sri Abdul Hamid Othman memberi amaran akan akibat buruk mubahalah.
Tetapi akhirnya……
Dan sumpah laknat ini, janganlah harapnya dibayar kafarah dengan beriani kambing.
Sebab pernah berlaku di Terengganu dahulu, sampai sekarang, nampak dia makin parah.
Mohd Nasir Abdullah