Tindakan sebahagian penyokong Umno menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah sesuatu yang tidak rasional.
Pandangan sebahagian ahli Umno ialah kes Mohd Najib telah dihakimi secara tidak adil dan inilah yang memerlukan campur tangan Perdana Menteri.
Bertentangan dengan persepsi sebahagian orang Umno, hakikatnya Perdana Menteri tiada kuasa mempengaruhi kehakiman.
Malah Ismail Sabri, seorang peguam terlatih, tahu bahawa beliau boleh berhadapan pendakwaan jenayah jika cuba memberi sebarang isyarat campur tangan; terutamanya jika partinya kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
Dunia telah memasuki era digital di mana kerajaan tiada kemampuan menekan para hakim mengikut kehendak mereka tanpa ada risiko terdedah kepada umum.
Sebarang tanda ada campur tangan kerajaan dalam kehakiman turut merisiko peluang Barisan Nasional dalam PRU akan datang.
Eksekutif yang masuk campur dalam kehakiman lebih berbahaya dari satu kes yang didakwa berlaku ketidakadilan oleh sebahagian orang.
Walaupun mungkin berlaku ketidakadilan, kebebasan kehakiman harus dipertahankan kerana ia juga mengelakkan penyalahgunaan kuasa pihak kerajaan dan penganiayaan ke atas orang lain masa depan.
Walaupun di dalam penjara Mohd Najib boleh mengemukakan semakan kehakiman sekiranya terdapat fakta yang jelas menyimpang daripada proses keadilan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat pertama beliau telah membuat semakan kehakiman pada 2004 dan berjaya mendapat pembebasan dari penjara.
Bagi saya, kebebasan kehakiman mesti dipertahan, walaupun mungkin ada kes tertentu berlaku ketidakadilan.
Proses menyemak ketidakadilan itu sentiasa ada termasuk di peringkat pengampunan Yang Di Pertuan Agong.
Jika kita membenarkan eksekutif masuk campur dalam kehakiman, lebih banyak ketidakadilan (miscarriage of justice) akan berlaku dan menjejaskan keamanan negara.
Ab Jalil Backer