PAS Paling Teruk Dalam Bab Keadilan, Nasib Baik PH Menang

PAS Paling Teruk Dalam Bab Keadilan, Nasib Baik PH Menang

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas Datuk Sri Najib Razak.

Semua orang menunggu keputusan yang bertahun-tahun dijalankan itu dengan sabar.

Sabar dengan karenah penyokong, peguam dan juga parti beliau.

Ramai yang menyatakan kegembiraan dengan keputusan itu.

Bagi sesetengah orang, keadilan telah dilaksanakan, mahkamah telah berlaku adil.

Kepada para musuh Najib, mereka bukan sahaja gembira, malah ‘menganjing’, menghina dan berbagai lagi perbuatan, bagaikan mereka sangat bersih, sesuci embun pagi.

Sikap melampau dalam menghina sebegini, telah dipamerkan oleh golongan munafik pada zaman Rasulullah dahulu.

Manakala orang mukmin, menerima nasihat Rasulullah agar tidak menghina tubuh badan sipelaku dosa, tetapi boleh membenci dosa maksiat itu sendiri.

Dalam kata lain, jangan melampau.

Begitulah nasihat pimpinan PAS kepada ahlinya.

Cermatlah ketika dosa orang, Allah hebahkan, kerana dosa dalam kain kita, belum tahu bila akan tersebar.

Syukurlah, takutlah kepada Allah.

Disebalik semua ini, mahkamah kini menjadi mulia oleh pembenci Najib.

Mereka mungkin sudah melupakan dakwaan arsenik diletakkan dalam sel penjara Anwar yang mereka cipta dahulu.

Sebab mereka melihat sendiri bagaimana Anwar, walaupun telah di’arsenik’kan 20 tahun lalu, masih tetap utuh, gagah berjoget bersama dengan ‘MGR’ jadian sewaktu kempen PRK.

Dan ia berlaku bukan sekali. Deyyy anne….!!!

Manakala wajah manis Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang berlesung pipit ketika tersenyum, menjadi bagaikan wajah hantu langsuir yang mahu menerkam sebahagian penyokong Najib.

Sudah terhakis ingatan mereka ketika mahkamah menjatuhkan hukuman kepada Anwar, suatu masa dahulu.

Benci sungguh mereka kepada Ketua Hakim ini, bahkan mungkin sistem ‘judiciary’ keseluruhannya.

Maka bermadahlah salah seorang peguam dari PH yang suatu ketika juga pernah menghadapi dakwaan mencabul yang bahawa, benasib baiklah akan sekelian manusia di Malaya ini kerana PH menang.

Jadi, katanya, dek kerana itu, maka mahkamah menjadi bersih.

Kita jadi kebingunan dengan dakwaan seorang peguam begitu.

Adakah kerana PH menang selama 22 bulan, mahkamah telah berjaya mereka perbaharui?

Makanya sistem mahkamah sebelum ini adalah salah dan menyeleweng?

Atau ia hanyalah kepada kes-kes terpilih sebagaimana kes membebaskan Lim Guan Eng itu?

Jangan lupa, kes Najib masih ada lagi dan jika beliau dibebaskan untuk salah satu kes itu, maka adakah mahkamah tidak adil semula?

Perlu juga disemat dalam ingatan yang kes Lim Guan Eng, masih belum tamat.

Kes Syed Saddiq juga sedang berlangsung.

Maka, adakah mahkamah tiba-tiba menjadi curang kembali, jika kedua-dua kes ini nanti tidak memihak kepada tertuduh?

Tidak lupa kes Teoh Beng Hock yang sehingga PH kalah, masih belum selesai.

Keluarga mereka menagih harapan yang diberikan sebelum ini.

Bagi PAS, keadilan bagaikan tiada dalam Malaysia ini dan PAS adalah yang paling teruk dalam keadilan di Malaysia.

Manakan tidak, ketika sebelum bersama memerintah Malaysia dahulu, PAS tidak pernah ada kes penyelewengan apa-apa, malah dipelawa agensi kerajaan untuk datang menyiasat.

Tetapi saban hari, PAS seperti berada dalam kandang pesalah bagi menjawab pertuduhan fitnah lawan.

Ketika PAS dituduh menerima rasuah RM90 juta dari Umno, PAS berada dalam dua keadaan pemerintahan.

SPRM ketika pemerintahan BN mengesahkan tiada kes.

Maka marahlah segala mahkluk-makhluk itu mendengarnya.

Dan sewaktu PH melantik Latheefa Koya menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau juga menafikannya.

Tetap penyokong PH tidak puashati.

Pemerintahan di semua negeri PAS tidak pernah didakwa atas salahlaku walaupun fitnah berkenaan rasuah, balak, berleluasa.

Sehinggakan BN, musuh ketat PAS juga, tidak pernah berjaya mencari salah untuk mendakwa PAS melanggar peraturan pembalakan.

Apabila muncul PH sebagai kerajaan, juga sama, tiada satupun dakwaan yang sebelum ini mereka uar-uarkan, mereka bawa ke mahkamah, walaupun mereka dakwa mahkamah zaman mereka adil.

Semasa PAS diisytiharkan oleh musuh mereka sebagai parti yang membawa ajaran sesat, BN tidak pernah memberikan bukti tuduhan mereka di mahkamah sebagaimana mereka lakukan kepada al-Arqam.

Dan PH yang dikatakan sangat adil itu, walaupun benci teramat sangat kepada PAS, mereka juga gagal membawa ajaran sesat PAS ini ke mahkamah.

Jadi jelas, PAS adalah parti yang paling teruk keadilan yang diberikan kepada mereka.

Walau jelas tidak bersalah, tetapi tetap mereka fitnah, caci, cerca dan hina.

Tiada bukti, mereka ada-adakan.

Kerana apa? Kerana PAS membawa jalan Islam.

Ya, walau masih kurang sempurna, tetapi ia jauh lebih baik daripada semua parti yang ada.

Apabila sakit, masing-masing mencari PAS.

Dan apabila senang, PAS mahu ditinggalkan.

Sikap PAS pula, seteruk mana rakannya, jika ada membawa kebaikan kepada Islam, PAS akan bersama mereka, bantu, tanpa mengkhianati atau menyusahkan mereka.

Terbukti dengan pengakuan PM dalam satu video mengenai sikap PAS yang tidak menyusahkan rakan.

Di sisi Islam, adil itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul.

Dipanggil zalim jika meletakkan songkok di kaki kerana bukan tempatnya.

Jika hanya begitu sudah dipanggil zalim, bagaimana pula jika tidak mahu meletakkan Islam pada tempatnya?

PAS bergerak perlahan-lahan kena fitnah, PAS bergerak laju dikata gopoh pula.

Sedang PAS meletakkan sesuatu itu dengan ilmu, pada tempatnya.

Sungguh, nasib baik PH menang 22 bulan sebagaimana kata peguam PH itu.

Kalau tidak orang akan masih percaya PAS ini sebagaimana fitnah yang direka musuhnya.

Jelas sekarang, musuh sendiri gagal mendakwa PAS.

PAS memang paling teruk diberikan keadilan, tetapi Allah maha adil, Dia tahu PAS bukan sebagaimana perkataan fitnah yang musuh ciptakan, maka Allah berikan semua menang PRU, jadi kerajaan, tetapi PAS tetap tidak bersalah.

Alhamdulillah ya Allah, alhamdulillah.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis