Pertempuran semakin membahang.
Peluru-peluru berhamburan dilepaskan dari setiap arah.
Petanda PRU15 semakin hampir di ambang.
Sejauh manakah pejuang PAS berpencak dari setiap cawangan khusus dalam konteks menguasai medsos dan U18?
Seramai 5.8 juta pengundi baru berusia 18 ke atas akan menentukan siapa yang layak ke Putrajaya.
Lazimnya, pengundi-pengundi muda memenangkan PAS di saluran 3 dan saluran 4.
Tetapi pada PRU14 yang lalu, sebahagian pengundi muda terutama di Pantai Barat termakan manifesto janji bukan kitab suci PH.
Mereka tergolong dalam kalangan orang yang mendapat pendidikan dan dekat dengan pelbagai platform medsos.
Bukan menjadi rahsia lagi bagaimana PH dapat menumbangkan BN melalui pengaplikasian media sosial secara optimum.
Strategi ini berjaya membina persepsi bahawa BN korup dan PH mampu mengubah Malaysia menjadi lebih baik.
Pendekatan ini bukan lagi menjadi strategi rahsia mana-mana parti.
BN nampaknya cuba memperbaiki kealpaan mereka terhadap sumber ini.
PAS pun amat menyedari keperluan untuk berada di hadapan dalam perang media.
Beberapa kali sudah para pemimpin PAS memberi penekanan agar mujahid siber bertindak dengan lebih aktif dan agresif.
Maka perlu diingatkan bahawa semua pendokong PAS di setiap cawangan dan UDM mestilah mengambil peranan menerang dan menyerang ini.
Fikiran orang muda lebih bersifat anjal.
Mereka boleh berubah dan boleh juga diubah.
Situasi ini ditentukan oleh maklumat yang mereka dapat dari semasa ke semasa.
Akhirnya, mereka akan memposisisikan diri di pihak yang berjaya meyakinkan mereka.
Justeru sekiranya PAS terkebelakang dalam hal ini, maka mereka akan meninggalkan PAS dan berada di pihak lawan.
Masalah ini pernah disungutkan oleh Naib Presiden PAS, YB Ustaz Idris Ahmad.
Ahli masih culas dan alpa dalam menguasai medsos.
Beliau menyarankan agar ahli-ahli PAS aktif dalam 5 platform iaitu FB, whatsapp, Instagram, tweeter dan tik tok.
Aktif yang dimaksudkan ialah menyampai, menerang dan menyerang dalam konteks mengangkat perjuangan Islam melalui wadah PAS.
Justeru, demi mendepani PRU15, setiap cawangan atau UDM mesti merangka pelan dan strategi yang tersusun dan terarah bermula di peringkat isu-isu tempatan lagi.
Bukan sahaja wajib berkongsi ‘peluru’, malah Pemuda dan Ameerah perlu mentransformasikan ‘peluru-peluru’ ke dalam bentuk tik tok atau klip video yang ringkas tetapi padat dan menyengat.
Gunakan senjata di hujung jari untuk ‘like, share and comment’ kerana mengikut kajian, reaksi tersebut juga dapat membantu pemimpin dan parti membina minda netizen.
Semua ini perlu disegerakan berdasarkan janji PM untuk melaksanakan PRU15 dalam masa terdekat.
Bergeraklah umpama mujahid yang sebenar agar kita dapat menawan setiap DUN dan Parlimen yang ditandingi oleh PAS/PN.
Ingatlah pesan murabbi kita, setiap pejuang Islam adalah mujahid siber.
Bersedialah untuk kalah jika kita gagal menguasai media kontemporari.
BayangDiAir,