Himpunan Pra Teguh Pertahan Terengganu: Memangkin Semangat Pertahan Kemenangan Bagi PRU 15

Himpunan Pra Teguh Pertahan Terengganu: Memangkin Semangat Pertahan Kemenangan Bagi PRU 15

Jika diimbau program himpunan demi himpunan sebelum pandemik maka Terengganu paling terkedepan dalam memugar semangat ahli akar umbi serta membentuk gelombang sokongan kepada perjuangan PAS.

Antara himpunan atau Ijtimak dengan jenama HARAP yang diturunkan ke setiap kawasan-kawasan di Terengganu.

Tiga tahun lepas kehadiran ke kuliah perdana seperti kehadiran Ustaz Dr Abdul Somad daripada Indonesia boleh mencecah 100 ribu khalayak.

Begitu juga kehadiran massa ke Program FASTAQIM di Pantai Tok Jembal sebelum PRU 14 telah menyaksikan kehadiran lebih 300 ribu khalayak dengan kehadiran paling ramai ialah daripada Terengganu sendiri.

Bulan lepas, Terengganu berjaya menghimpunkan lebih 40 ribu pemilik RXZ serta peminat pemotoran daripada seluruh negara.

Bahkan acara tayangan skrin besar pertandingan akhir Piala FA menyaksikan gelombang keseronokan rakyat, disetiap lokasi tayangan, ribuan rakyat Terengganu menonton dengan penuh debar.

Semuanya membina “feel good factor” kepada kemampanan kerajaan PAS Terengganu.

Budaya mendepang telinga untuk mendengar ceramah bukan suatu yang pelik di negeri menjunjung syariat ini.

Dalam dekad 1980an, jika ceramah Tuan Guru Abdul Hadi boleh mencecah puluhan ribu khalayak, anak-anak muda peserta kebangkitan Islam seperti semut menghurung gula.

Anak muda berlilit serban, sejauh Kemaman dan Besut akan membonceng motosikal ke lokasi ceramah Ayah Chik di Rusila atau Chendering.

Kehebatan Ayah Chik sebagai ulama muda saat itu sehingga menghiasi muka depan majalah Asia Week.

Masjid Rusila pernah menghimpunkan lebih 100,000 pendengar saat Ijtimak Alami berlangsung pada tahun 1988.

Dalam dekad 1990an, antara program yang menghimpun 100,000 pendengar ialah forum perdana PAS Terengganu di Manir, euforia reformasi pasca pemecatan Anwar Ibrahim turut menyimbah kesan ke Terengganu.

Forum Perdana pada tahun 1999 itu menampilkan Dr Hasan Ali, Dr Harun Din, Ustaz Ismail Kamus serta pimpinan utama PAS.

Gelombang kebangkitan ummah itu juga membawa kesan hiliran politik iaitu PAS berjaya menawan Terengganu pada bulan November 1999.

Ceramah, kuliah, forum perdana, himpunan amilin adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu.

Ribuan penuntut ilmu setiap minggu berhimpun di kampong Rusila, Medan ilmu Jerteh dan lain-lain lokasi negeri itu.

Pengkuliah yang tersohor dan berilmu akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak teh panas yang dimakan dengan nasi dagang.

Negeri jantung hati muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat selepas Kelantan.

Dalam tiga pilihanraya Umum, PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959, 1999 dan 2018, manakala dalam Pilihanraya tahun 1969 dan 2013 hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah negeri Tok Ku Paloh ini.

Pastilah pendokong PAS Terengganu tidak mahu mitos Terengganu adalah kerajaan sepenggal dan sumpahan ini akan kekal!

Dedikasi Dan kerja keras perlu dilipatkali gandakan untuk memenggal mitos ini.

Terengganu mula menubuhkan cawangan PAS yang pertama di Dungun pada tahun 1956, dimana daerah agrarian ini mempunyai tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Ustaz Umar Shukri Embong dan lain-lain lagi.

Pengaruh PAS dengan mudah berkembang di tanah kelahiran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Umar Siam, Tok Ku Pulau Manis dan Tok Ku Paloh ini apabila guru-guru agama memainkan peranan menyebarkan pengaruh PAS melalui jaringan pendidikan Islam pondok serta madrasah agama.

Inilah jawaban yang Tuan Guru Abdul Hadi sebutkan dalam ucapan perasmian Ijtima’ pagi ini, rasional Besut adalah kubu PAS dalam dekad 1950an.

Kekuatan jihad pendidikan adalah parallel dengan kejituan PAS sebagai harakatul ummah.

Kita akan mulai melemah akibat kurangnya budaya ilmu dan juga politiking.

Pondok-pondok dan sekolah agama rakyat seperti sekam dibakar api, penubuhan cawangan PAS menjadi pantas berkembang, paralel dengan kegiatan jihad ta’lim.

Terengganu pada awal abad 20 menyaksikan Sarekat Islam Terengganu menjadi wadah penentangan kepada British dengan kemuncaknya berlaku perang Padang Kachong pada tahun 1928.

Semangat jihad dikobar melalui suluhan ilmu Islam dan inilah juga resipi perjuangan disepanjang zaman.

Negeri yang subur dengan jihad ta’lim ini turut disentuh sikap beragama rakyatnya oleh Munsyi Abdullah, juga menjadi negeri terakhir di Tanah Melayu yang menanggalkan pelaksanaan Undang-Undang Islam.

Terengganu juga disorot oleh majalah Asiaweek sebagai negeri paling hangat pertarungan politik termasuk diluar musim pilihanraya.

Dengan latarbelakang semaraknya pendidikan Islam melalui sekolah pondok dan sekolah agama rakyat di Terengganu inilah, maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka.

Dalam Pilihanraya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh-tokoh nasional bertanding di negeri ini.

Antaranya ialah Dr Burhanuddin al Helmi, Hasan Adli, Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen.

Budaya mendengar ceramah politik Islam adalah hiburan dinegeri ini, begitu juga kuliah maghrib perdana.

Pimpinan PAS Terengganu pasca era kepimpinan ulama telah memberikan perhatian besar kepada pemberdayaan institusi pendidikan Islam maka Badan Perhubungan PAS Terengganu menubuhkan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985 dan juga KUDQI.

Dewan Ulama PAS Terengganu dengan kerjasama PAS kawasan-kawasan telah menubuhkan jaringan sekolah rendah Islam diseluruh Terengganu seperti Darul Taqwa, Darul Bayan, Darul Ehsan, Darul Iman, Darul Falah, SRIDAF dan lain-lain.

Dewan Pemuda PAS pula mengoperasikan jaringan PASTI diseluruh Terengganu sehingga pendidikan pra-sekolah ini menjadi fenomenal.

Kegiatan jihad pendidikan di Terengganu juga disuburkan oleh pelbagai pihak persendirian serta pimpinan PAS malah fenomena kemunculan maahad-maahad tahfiz seperti cendawan dimusim hujan.

Terengganu pasca 9 Mei 2018 menyaksikan kesuburan majlis-majlis ilmu dengan mendadak, ramai asatizah dan selebriti agama memilih Terengganu untuk berprogram.

Masjid diseluruh Terengganu seperti berlumba-lumba mengadakan pelbagai program keilmuan serta pentauliahan skala besar kepada para pendakwah.

Ini digalakkan oleh kerajaan PAS Terengganu, juga melalui penubuhan IMIT-S serta pelbagai gerakan swadaya untuk memajukan jihad pendidikan.

Terengganu melebarkan pendemokrasian pendidikan dengan lebih luas kepada rakyatnya dengan menubuhkan Sekolah Rendah Islam Darul Iman dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman, memperhebatkan pengajian di masjid surau.

Impian untuk melihat kewujudan Universiti Islam juga bakal direalisasikan di negeri ini, tanah berkah legasi para alim ulama dan istana yang cintakan ilmu agama.

Rakyat Terengganu gelisah jika kuliah masjid surau belum boleh dimulakan akibat karenah birokrasi.

Orang Terengganu secara umumnya cinta kepada agama dan meletakkan PAS sebagai benteng mempertahankan agama.

Kejayaan kerajaan PAS Terengganu dalam tempoh empat tahun ini sangat membanggakan, berjaya merealisasikan 90 peratus manifesto PRU 14 sebagaimana janji kepada rakyat Terengganu.

Terengganu membolot anugerah-anugerah cemerlang dalam peperiksaan awam negara ini,

Terengganu sukses dalam pelbagai acara sukan serta diiktiraf kemampuan pengurusan kewangan negara.

DS Dr Ahmad Samsuri telah memacu perkembangan ekonomi negeri dengan cemerlang, juga PAS Terengganu yang dinakhodai oleh Dato Husein Awang telah melonjakkan dokongan kepada PAS seperti dalam Muktamar ke 68, kawasan Kemaman Terengganu memenangi juara kawasan pertambahan ahli baru teramai peringkat kebangsaan.

Ribuan rakyat Terengganu yang berhimpun di perkarangan Stadium Gong Badak adalah cerminan keseriusan rakyat dan pendokong PAS untuk mempertahankan kerajaan Terengganu.

Ceramah tiga MB PAS yang menampilkan ketua-ketua kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS dipadati oleh khalayak semenjak sebelum maghrib lagi.

Pelbagai acara disusun selama tiga hari ini pasti membajai semangat petugas-petugas PAS untuk berselut lumpur bagi mempertahankan kemenangan.

“Ini baru himpunan pra, belum lagi himpunan sebenar” ujar MB Terengganu, keterujaan melihat banjiran khalayak walaupun hujan mencurah selepas solat maghrib.

Semoga tanah Tok Ku Paloh ini akan terus ditadbir oleh kerajaan PAS selepas PRU 15.

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )

Kolumnis