Menjelang 19 November ini pelbagai serangan demi serangan dihalakan kepada nakhoda PAS, licik dan sengit sekali serangan yang dibuat termasuk mengambarkan Presiden PAS tidak sama dalam orientasi dan sikap dalam menguruskan PAS.
Zahid dan Anwar sama naik dalam usaha meremehkan Ayah Chik agar Presiden PAS dilihat kurang wibawa dan tidak konsisten.
Kita biasa mendengar penyokong PH menyebut bahawa PAS era almarhum Tok Guru Nik Aziz tak sama dengan era Tuan Guru Haji Abdul Hadi.
Keratan video lama Ayah Ziz mereka dengungkan kembali terutama pandangan almarhum terhadap Anwar Ibrahim.
Almarhum digambarkan lebih mesra non muslim, anti UMNO, berlapang dada dengan jemaah Islam yang lain.
Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan di Deoband India, Pakistan, Mesir sehingga meraih MA daripada Universiti al Azhar.
Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendapat pendidikan tinggi di Universiti Madinah, seterusnya di Mesir sehingga meraih MA daripada kampus al Azhar.
Sewaktu berusia 15 tahun telah menjawat jawatan Setiausaha ranting (Cawangan) PAS.
Keduanya anak ulama tersohor di Kelantan dan Terengganu, dibesarkan dalam kehidupan beragama.
Cuma ayahanda Ayah Chik lebih kuat terikat dengan organisasi kerana menjadi Pengerusi Hizbul Muslimin Cawangan Terengganu.
Sosok tubuh Ayah Chik, begitu juga Almarhum Ayah Ziz yang menjadi sasaran hujaman dan penistaan musuh sejak puluhan tahun yang lalu sehinggalah beliau kembali kerahmatullah pada tahun 2015.
Moyang ayah Chik daripada keturunan ulama Yaman dan Pattani Darussalam, datuknya adalah kawan baik Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong yang sama-sama belayar ke Indonesia yang akhirnya terpengaruh dengan Sarekat Islam Indonesia yang berjuang melawan penjajahan Belanda.
Ayahandanya Tuan Guru Haji Awang Abdul Rahman, merupakan ulama tempatan yang berpengaruh dan merupakan Pengerusi Hizbul Muslimin cawangan Terengganu.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi dinobat sebagai ilmuan Islam,bukan sekadar intelektual awam yang mencerahkan ummah namun memimpin gerakan Islam dengan sejuta pendokong dan dua juta penyokong.
Presiden PAS telah mengarang hampir 100 buah buku dan ratusan kertas kerja yang dibentangkan dalam pelbagai seminar, simposium, konvensyen didalam dan juga luar negara.
Begitu juga almarhum TG Nik Abdul Aziz , kealimannya diakui dalam dan juga luar negara, semenjak pulang daripada Mesir, terus tanpa lelah berjuang untuk mencerdaskan ummat.
Puluhan buku dikarang oleh almarhum sejak dekad 1970an bahkan menjadi perintis kepada YADIM dalam dekad 70an.
Ayah Ziz menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sejak penghujung dekad 1960an, peranan almarhum sangat signifikan dalam menentukan hala tuju PAS sejak zaman Dato Asri.
Kedua sosok penting PAS ini pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar.
Kelantan dan Terengganu yang dipimpin mereka menjadi model aplikasi tatakelola kerajaan yang baik dan patuh syariah.
Kelantan dan Terengganu menterjemaahkan perintah Ilahi, menutup premis perjudian, menghalang budaya hedonisme melalui hiburan, menyemarakkan budaya amar makruf dan pastinya kedua negeri ini tak disenangi oleh DAP.
Kedua tokoh PAS ini tidak pernah berkompromi dengan kebejatan dan kemaksiatan.
Kedua negeri ini dipencilkan oleh kerajaan Persekutuan, dianaktirikan oleh kerajaan BN yang berkuasa.
Almarhum TG Nik Abdul Aziz di akhir usianya sering mengingatkan ahli dan pimpinan PAS agar terus memberikan ketaatan kepada Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang dengan menyifatkan Presiden PAS ialah insan yang rapat dengan Allah.
Usaha jahat untuk melagakan kedua ulama haraki ini tidak berjaya, bahkan terpelanting keluar daripada harakatul ummah ini kelompok Abdullah bin Ubai versi milineal baru.
Sebagai tokoh kanan gerakan Islam dan mantan Naib Kesatuan Ulama Sedunia, jadual beliau begitu padat menyambangi seluruh belahan dunia Islam.
Bermesyuarat, mengisi program, menyantuni peta luka umat Islam serta menjadi tetamu pelbagai gerakan Islam.
Pemimpin PH dan avatar mereka begitu obses untuk meremehkan jumlah ketidakhadiran Presiden PAS ke setiap sidang Parlimen.
Presiden PAS tetap tak akan sama dengan standard Presiden PAN!, Presiden PAS diperlukan oleh dunia Islam, jadualnya bukan sahaja di Malaysia namun juga di luar negara.
Jadual kehadiran ke Sidang Parlimen tak sama dengan jadual kehadiran ke kelas tutorial, ehhh mana pula jadual kehadiran Lim Kit Siang?
Semoga Allah kurniakan kesihatan kepada Ayah Chik untuk terus membimbing kami dan menakhodai bahtera harakatul ummah ini yang telah berjasa lebih tujuh dasawarsa.
Semoga Allah mengurniakan juga kemenangan buat jamaah, juga kekuatan kepada Ayah Chik berdada dengan serangan bertali arus terhadap batang tubuhnya.
“Saya tak akan menarik balik kenyataan berkaitan Dap dan komunis…kita jumpa di mahkamah” ujar Presiden PAS dengan tegas dihadapan wartawan dan ini mengingatkan penulis akan ketegasan almarhum TG Nik Abdul Aziz dalam isu calon Kota Damansara pada suatu masa dahulu.
Jadi apa bezanya Ayah Chik dengan Ayah Ziz dalam memelihara kemuliaan Islam?
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
