Nik Aziz Dan Hassan al-Banna: Antara Memperingati Dan Mempertahankan Asolah Perjuangan

Nik Aziz Dan Hassan al-Banna: Antara Memperingati Dan Mempertahankan Asolah Perjuangan

12 Februari adalah tarikh yang sentiasa diingati oleh anak-anak harakah Islam, termasuk ahli-ahli PAS di segenap lapisan.

Kerana pada tarikh ini tercatat dalam sejarah perjuangan tentang kembalinya dua murabbi haraki ke pangkuan Tuhan.

Hassan al-Banna pergi sebagai as-syahid pada 12 Februari 1949, manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyusul pada 12 Februari, 66 tahun kemudian.

Perjuangan, jasa dan sumbangan mereka tidak usah dicerakinkan, kerana bukan lagi menjadi persoalan.

Hal ini telah diakui oleh kawan dan lawan.

Bahkan, pelbagai pihak berebut-rebut menumpang nama dan berteduh di bawah bayangan nama mereka yang gemilang, termasuk oleh orang-orang yang menyimpang.

Mereka telah bangkit pada zaman masing-masing membawa obor perjuangan dan memacu jentera kebangkitan.

Hari ini, kebangkitan Islam telah bertambah kencang hasil tiupan nafas kesedaran yang mereka bugarkan.

Saya tidak bermaksud untuk memperkatakan tentang kedua-dua insan.

Telah banyak kajian, tulisan, bahasan dan ulasan yang memperkatakan.

Di persekitaran 12 Februari ini sahaja, di media maya bertebaran iklan dan peringatan yang ditularkan untuk menyuburkan kembali kenangan.

Dalam hal ini, tak usah lagi saya memanjangkan kalam.

Ada baiknya kita memperkatakan tentang perkata yang menjadi persoalan.

Belegar di dalam benak, menunjal-nunjal fikiran dan hampir merobek perasan!

Persoalan yang bermain di alam fikiran saya, apakah kita seronok bernostalgia dengan kenangan dan tenggelam dalam romantisan atau kita sewajarnya mempertahankan ketulenan dan asolah perjuangan yang mereka tinggalkan?

Sudah banyak kajian balas yang dibuat orang, bahawa gerakan Islam sedang meninggalkan kutub perjuangannya menuju ke pertengahan, sehingga ia hampir menyerupai kelompok-kelompok yang dahulunya tenggelam, dihanyutkan oleh ideologi-ideologi yang berada di kutub yang bertentangan.

Dahulunya kelompok nasionalis dan sekular menjadi musuh utama ahli-ahli gerakan.

Mereka sentiasa bertembung dan bertentangan.

Kadang-kadang menjadi kasar, tegang dan berantakan.

Semata-mata kerana ahli-ahli gerakan mempertahankan asolah perjuangan.

Mereka tidak mahu berganjak dari Nabi SAW dan al-Quran.

Mereka sanggup bermatian. Mereka berani dimatikan. Penjara dan mati sudah menjadi tunangan.

Hari ini, kelompok sekular dan nasionalis sedang mencipta semula wawasan perjuangan mereka dengan menghampiri Islam, walaupun dalam kerangka mereka yang tidak ketahuan.

Lahir juga golongan bebas tetapi masih mengaku Islam, iaitu kelompok Islam liberal di satu aliran.

Di dalam kelompok Islam yang moden, mereka cuba berlagak moderat dengan mencipta pendekatan pos-Islam.

Mereka saling mencari tapak untuk berpijak dan melonjakkan kebangkitan.

Mereka sedar Islam boleh diperalatkan ketika suasana sedang tertekan seperti sekarang.

Lalu, anak-anak tarbiyah Hassan al-Banna dan Nik Aziz mahu ke mana?

Apakah mereka terjerat di dalam persaingan merebut dunia yang fana?

Atau apakah mereka sedang terulit oleh kerusi-kerusi empuk di bilik-bilik bersuhu sederhana?

Atau mereka sedang mengintai-ngintai peluang untuk membolehkan mereka membangunkan istana-istana?

Atau fokus masing-masing kepada jawatan, pangkat dan gelaran yang menjadi kehormatan di mata rakyat jelata?

Atau mereka sedang bersaing sesama sendiri untuk menentukan ‘klik’ siapa yang dapat memanjat takhta?

Dahulunya mereka menjaja slogan ‘fastabiqul khairat’ – berlumba-lumba berbuat kebaikan.

Hari ini, apa yang mereka sedang memperlumbakan?

Apakah kebaikan atau kehancuran?

Apakah mereka sedang mempertahankan ketulenan perjuangan atau mempertahankan keutuhan pengaruh peribadi dan kumpulan?

Apakah mereka sedang mendukung asolah perjuangan atau mereka mendukung cita-cita peribadi yang sempit dan curang?

Saya sedar bahawa PAS seperti juga Ikhwan.

Kedua-duanya berdiri teguh di atas dasar perjuangan.

Mereka tidak berganjak dari sumber wahyu sebagai rujukan.

Mereka mendukung matlamat yang amat jelas untuk mendaulatkan semula Islam.

Mereka mengakui ulamak sebagai kepemimpinan.

Dari sudut jamaah, kedua-duanya tulen di landasan perjuangan!

Tetapi bagaimana dengan individu-individu yang diberikan kepercayaan untuk mengemudi gerakan, tetapi secara peribadi telah tersasar dari arus kefahaman yang ditarbiyahkan.

Mereka membina kumpulan-kumpulan kecil yang mendukung cita-cita sempit yang khusus di luar objektif perjuangan.

Mereka mencantas, membunuh karektor dan membungkam orang-orang tidak sealiran.

Sesiapa yang membantah dimusuhkan. Sesiapa yang bersuara dibisukan. Sesiapa yang tak sebulu digam. Sesiapa yang membawa pandangan kedua, dikira tiada ketaatan.

Mereka sendiri mengatur gerakan dan membentuk kumpulan.

Mereka mencatur setiap pergerakan. Mereka mencicip setiap jawatan.

Dari mursyidul am sampai yang dipertua kawasan, mereka mahu poketkan.

Kalau boleh, biarlah seorang presiden itu berfikir dengan akal mereka, bercakap dengan mulut mereka, bertindak dengan tangan mereka.

Biarlah presiden menjadi puppet, mereka mendalanginya!

Maka, berbangkit lagi di benak saya.. .

Untuk apa pemimpin jemaah sebegini?

Kalau bersengketa sesama sendiri

Yang dimusuhi saudara se pribumi

Yang dikhianati teman se negeri

Yang didengki rakan se kongsi

Yang diumpati sahabat se parti

Walhal kedua-dua murabbi mengajar kita

Yang beriman itu bersaudara

Yang punya hak atas kita

Untuk apa pemimpin jemaah sebegini?

Kalau diutamakan kedudukan sahaja

Yang difikir jawatan apa

Yang dikira undi berapa

Yang disokong kumpulan mana

Yang dinanti mencantas siapa

Walhal kedua-dua murabbi mengajar kita

Sesiapa yang dikehendaki Yang Maha Berkuasa

Dialah yang dimartabatkan-Nya

Untuk apa pemimpin jemaah sebegini?

Kalau matkamat menimbunkan harta

Saban digalang projek di mana-mana

Semua projek berkomisyen semua

Khazanah di bumi dibolot belaka

Lesen di laut, lesen di darat, lesen di udara

Semua dimahunya

Kok dibiar, jemaah pun diswastanya

Walhal kedua-dua murabbi mengajar kita

Harta di dunia milik Yang Esa

Kita hanya pengurus sementara

Nanti di akhirat pasti ditanya

Untuk apa pemimpin jemaah sebegini?

Kalau etika dipegang tiada

Bila berbicara bohong diserta

Bila berjanji sering dialpa

Bila diamanah disia-sia

Walhal kedua-dua murabbi mengajar kita

Munafiklah jadinya sesiapa

Yang lekat padanya tiga perkara

Untuk apa pemimpin jemaah sebegini?

Hebat di musim muktamar sahaja

Sibuk bukan kerana kerja

Kreatif dicipta menipu cara

Senyum dikuntum sekadar terpaksa

Ramah tampak berpura-pura

Pemurah hanya untuk seketika

Walhal kedua-dua murabbi mengajarkan kita

Segala amalan menjadi sia-sia

Tanpa diserta ikhlas di dada

Untuk apa pemimpin jemaah sebegini?

Kalau ilmu bertambah tiada

Kemurnian akhlak dihayati tiada

Kepentingan umat diperjuangkan tiada

Ajaran agama dipakati tiada

Walhal kedua-dua murabbi mengajarkan kita

Tiada yang akan berjaya

Tiada yang kekal bahagia tanpa-Nya

Tanpa rahmat Yang Esa

Lalu berserulah saya dengan pesanan…

Kembalilah kepada asolah perjuangan!

Sebelum datang hari yang penuh penyesalan!

Mohd Fadli Ghani

Kolumnis