Sama ada kita suka atau tidak, Anwar Ibrahim kini sudah tercapai hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri.
Beliau telah lalui tribulasi yang panjang.
Sejarah silamnya, beliau pernah dilebamkan mata dan disakiti.
Satu tempoh yang agak panjang beliau terkurung di tirai besi.
Kes sodomi meruntuhkan imej dan reputasi.
Manakala usaha berterusan beliau untuk menjadi PM ke-7, ke-8 dan ke-9 gagal sehingga digelar dengan jolokan sinis ‘bakal Perdana Menteri’.
Perjuangannya mula menarik perhatian massa setelah beliau dipecat daripada UMNO pada tahun 1998.
Dalam tempoh suku abad itu, episod ‘kesakitan’ itu telah bermula dengan peristiwa mata lebamnya.
Anwar telah dibelasah dalam tahanan polis setelah dipecat daripada jawatan Timbalan PM.
Simpati rakyat bukan sedikit.
Sejak itu bermulalah laungan ‘Reformasi’.
Suara reformasinya terus menggegarkan politik negara meskipun menerawang dari sel penjara.
Simpati semakin menggamit hati rakyat apabila beliau dikatakan menderita keracunan arsenik.
Kemudian beliau berulang ke mahkamah kerana kes sodomi.
Maruahnya semakin tercabar dan tercalar.
Tilam buruk diusung ke kamar perbicaraan sebagai bukti.
Konon di situ terkesan tompok-tompok air mani.
Seantero dunia tersebar video kelibatnya bersama lelaki.
Sebahagian besar percaya beliau menjadi mangsa kepada musuh-musuh politiknya.
Akhirnya, mahkamah mendapati beliau bersalah.
Hayat politiknya dijangka berakhir sudah.
Setelah keluar dari penjara, beliau terus aktif melalui PKR.
Usaha demi usaha dan SD demi SD tetap mengecewakan harapannya untuk menjadi Perdana Menteri.
Apabila wujudnya Muafakat Nasional, semua menjangka Anwar akan kempunan sampai ke mati.
PH sendiri mula goyah untuk meletakkan harapan.
Dalam peluang yang seolah-olah tertutup rapat itulah, Allah menunjukkan perancangannya yang hebat.
Akhirnya beliau dilantik menjadi PM Malaysia yang ke-10, dengan kleptokrat beliau berpakat.
Siapakah dapat menafikan bahawa pemimpin yang terkenal dengan slogan ‘lawan tetap lawan’ ini telah melalui seribu satu macam pancaroba dalam karier politiknya?
Allah telah memberi peluang kepada beliau untuk merealisasikan perjuangan reformasi.
Allah telah mengangkat darjatnya setelah dihina dan dicaci.
Allah telah memberi peluang untuk beliau memulihkan maruah sambil berbakti kepada rakyat dan negara dengan seadilnya.
Persoalannya kini, adakah Anwar berada di landasan melaksanakan reformasi yang digambarkan suci?
Tidakkah terbetik tendensi untuk mengangkat kedudukan undang-undang dan mahkamah syariah setelah beliau sendiri terseksa kerana qazaf?
Apakah beliau sebenarnya hanya mencari redha manusiawi, khususnya mastermind kerajaan campuran iaitu DAP?
Adakah Anwar akan membiarkan diri tersesat jauh daripada tujuan politik yang diajar Rasulullah?
Segala tindakan Anwar akan menentukan; adakah ini suatu anugerah atau sebesar-besar istidraj?
Salam Muhammad