Memang ada motif apabila tauliah dijadikan syarat untuk para asatizah mengajar di masjid dan surau di sesebuah negeri.
Walaupun ada tujuan yang baik, namun sering kali juga tauliah dijadikan alat politik oleh pihak tertentu.
Sukar untuk dinafikan ada kecenderungan sesetengah pihak menjadikan tauliah sebagai alasan untuk menyekat seseorang asatizah daripada menyampaikan kuliah agama.
Tauliah bertujuan memastikan penceramah memenuhi syarat dan berkelayakan.
Tauliah juga bertujuan menyekat aliran dan ajaran sesat disebarkan kepada awam secara wewenang.
Isu yang boleh diperdebatkan ialah; benarkah atas alasan tersebut, tauliah diperlukan?
Kalau seorang peniaga pasar borong, adakah dia akan dijemput untuk menyampaikan kuliah agama?
Bukankah pihak masjid akan melihat ilmu dan kelayakannya?
Bagaimana pula sekiranya seseorang itu mengamal ajaran sesat?
Adakah jawatankuasa masjid akan memberi slot mingguan atau bulanan untuknya.
Dan sekiranya berlaku juga ajaran-ajaran yang bercanggah dengan akidah dan syariat disampaikan, bukankah jawatankuasa masjid sendiri boleh bertindak dengan tidak memberi slot itu lagi?
Manakala enakmen jenayah syariah pula memadai untuk bertindak terhadap pesalah.
Sebenarnya ramai asatizah yang mengajar di surau dan masjid tiada tauliah.
Namun, pengisian ilmu masih dapat berjalan dengan baik dan bermanfaat.
Ada sesetengahnya amat berilmu dan diminati cara penyampaiannya oleh para jemaah.
Sebahagiannya merupakan lepasan pondok manakala sebahagian lagi merupakan lepasan universiti dalam dan luar negara termasuk berijazah dari Al-Azhar.
Mereka dijemput dan diminta mengisi slot-slot kuliah dalam jadual dakwah bulanan.
Majlis ilmu dapat berjalan tanpa isu.
Tetapi mengapa kadang-kadang timbul isu tentang tauliah ini?
Apabila seseorang asatizah itu merupakan penceramah popular yang kuat mendokong politik Islam, mulalah pihak tertentu memandang serong.
Malah, asatizah yang menyokong PAS dan kemudian terpilih pula menjadi Ahli Parlimen atau ADUN, batu penghalang mula direntang di hadapan mereka.
Ruang untuk menyampaikan khutbah pun tersekat walaupun mereka amat petah berkhutbah tanpa teks.
Isu terkini ialah larangan terhadap pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang tidak dibenarkan menyampaikan kuliah perdananya atas alasan tiada tauliah.
Siapa UAI?
Dari segi keilmuannya tidak perlulah diperkenalkan lagi.
Sudah ratusan atau ribuan kali beliau berkuliah di seluruh negara.
Di youtube dan tiktok, video kuliah beliau boleh didapati dengan mudah.
Kalau ada ‘benda’ yang salah, kenapa selama ini majlis agama tidak pernah bersuara?
Mereka pun sedar, di luar sana ribuan manusia yang dahagakan ilmunya, malah ramai pemuda nakal mula solat dan mendekati masjid kerana taujihatnya.
Para netizen dapat mendengar penjelasan UAI apabila diajukan soalan tentang larangan tersebut.
Katanya, beliau telah meminta pihak masjid memohon tauliah sementara untuk majlis itu.
Maka pihak masjid telah melakukannya tetapi gagal.
Malah selepas dibuat rayuan, permohonan itu tetap tidak dilayan.
Apakah ertinya semua ini?
Inilah motif tauliah yang dipertikaikan oleh umat Islam di tanah airnya sendiri.
Sementara di bucu pentas yang lain, terkinja-kinja artis Barat yang tidak senonoh.
Kini ditambah pula dengan artis K-Pop yang bikin anak-anak muda menjadi ‘gila’.
Kenapa pihak berkuasa agama atau pihak berkuasa tempatan tidak mengeluarkan tauliah atau syarat yang serupa?
Kenapa pula acara lagho dan maksiat tidak dibimbangi akan membawa cara hidup dan mesej yang sesat?
Sebaliknya, kerja menyelamatkan manusia daripada api neraka pula yang disekat-sekat.
Beraninya mereka mencipta alasan demi sedikit habuan dunia yang tak sepadan dengan balasan akhirat.
Akhir kalam, tauliah dan khutbah berteks sewajarnya tidak diwajibkan kerana enakmen jenayah syariah yang sedia ada sudah cukup untuk menghalang daripada tersebarnya ajaran sesat.
Dan memadailah para jawatankuasa masjid menilai baik buruk sebelum memberi slot kepada seseorang asatizah.
Sebaliknya, kenakan syarat ‘tauliah’ untuk artis-artis terutama artis-artis luar atau penganjur konsert agar tidak berdendang dan menyeru bait-bait syaitan sambil berpakaian menjolok mata.
Hiburan melampau dan budaya hedonisme inilah yang patut dikekang agar manusia tidak terkinja-kinja, mabuk dan berlaku pergaulan bebas yang menjerumus kepada maksiat susulan.
Bayang DiAir