Tiada Kestabilan Politik Tanpa PAS (Bahagian 2)

Tiada Kestabilan Politik Tanpa PAS (Bahagian 2)

WAYANG politikus

Semua itu erat berada dalam ‘rekod simpanan’ platform atau medium media sosial di mana diberi perhatian oleh rakyat yang mengikuti perkembangan politik.

Namun ia meletus ketika tempoh kempen PRU15 dan menjadi rujukan ramai khususnya anak muda pengundi kali pertama.

Mereka mula mempunyai persepsi yang akhirnya menjadi kefahaman lalu bertukar sebagai pilihan dan tekad undi.

Bermakna segala hakikat mahupun drama politik telah dinilai kritis oleh anak muda.

Oleh itu ia bukan emosi melulu seperti didakwa penganalisis berat sebelah di siaran massa.

Selain didedahkan oleh pelbagai sumber politik dan ulasan tokoh-tokoh politik yang bijak membaca permainan di sebalik gerakan dan perkataan, anak muda pelayar media sosial ternyata pintar mewacana maklumat.

Mereka tidak mudah untuk diperdaya oleh lakonan politik.

Segala terkandung dalam isi perut segelintir politikus Umno terutama Zahid telah menguak bangkai bukti yang akhirnya mengesahkan komplot atau hubungan sulit pihak beliau bersama Anwar.

Ditambah ‘tragedi dan misteri’ di Perak diketuai Dato’ Shaarani Mohamad.

Dalam terang nyata begitupun, mereka berkali-kali masih ada nada penafian untuk membohongi rakyat dan menaratifkan pelbagai justifikasi tindakan dengan menormalisasikan alasan.

Mereka tetap gigih memperbodoh atau diperdayakan rakyat yang semakin celik politik.

Sikap mereka yang ‘tidak belajar’ dari keputusan rakyat menolak Umno-BN pada PRU15 itu menjelaskan betapa penglibatan di medan politik hanyalah mengejar sesuatu kepentingan.

Bukanlah rakyat dan negara menjadi matlamat serta perjuangan yang disungguhkan mereka.

Merekalah selayaknya digelar pengkhianat sebenar di sebalik tuduhan label dan kecaman, serta tuding jari kepada pihak lain.

Mereka ibarat pencuri yang menjerit orang lain sebagai kononnya pencuri untuk menutup hipokrit dan kepalsuan serta wajah sebenar mereka.

Antara keruh dan jernih

Tuan Guru Abdul Hadi ketika menjelaskan keputusan PAS menangguhkan kerjasama dengan BN menyebut kerana adanya kekeruhan dalam Umno terutama melibatkan kalangan penerima rasuah.

Keputusan itu dijadikan modal adu-domba segelintir pemimpin Umno.

Sedangkan kalimah Presiden PAS jelas iaitu ‘tangguh’ dan ‘keruh’ yang bermakna untuk sementara atau suatu tempoh masa.

Selain ditegaskannya perlu dijernihkan yang bererti seruan untuk ‘ditapis’.

Maka, jahil sangatlah si penghasut yang menyalahtafsir serta memburukkan pemahaman.

Tidak adapun kenyataan untuk PAS putus talak dengan Umno dan menyatakan seluruh Umno itu kotor.

Mereka inilah yang memutar belit ‘menjajah’ pemikiran ahli-ahli dan pimpinan Umno lain untuk mencipta pelbagai ketidakwajaran untuk bersama Perikatan Nasional (PN).

Tetapi mereka langsung tidak berkata dengan tindakan Umno memeterai ikatan bersama DAP di Perak.

Ia sekali gus menguatkan dakwaan wujud pakatan sulit Umno-DAP semasa menjatuhkan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dahulu dan juga rancangan ‘Jajaran Baharu’ yang pernah hangat diperkatakan.

Tuan Guru Abdul Hadi juga terdahulu sebelum ini telah turut mendedahkan kewujudan komplot sulit untuk mengecilkan kemenangan BN dan membesarkan kemenangan PH.

Rancangan itu supaya menjadi sebab untuk akhirnya memaksa BN bergabung dengan PH pasca-PRU15.

Akhirnya walaupun mereka menafikan, keruh dan jernih disebut Tuan Guru Abdul Hadi itu benar-benar menampakkan partikel kelodaknya.

Begitu juga bagaimana kemenangan kecil di pihak BN dan kemenangan besar di pihak PH cuba dikompromi untuk membentuk satu gabungan yang dipaksakan.

Segelintir kalangan pencatur Umno cuba menanam kekeliruan dangkal merengsakan lagi rajuk hati orang Umno dengan doktrin konon mulanya mahu menjadi pembangkang.

Sinikal dan bebal mereka ini bukanlah kematangan, tetapi merisikokan Umno terjerumus musnah di masa depan.

Sedangkan terbukti, segala berlaku ini telah dicatur rancang oleh para politikus tertentu.

Mereka bukan sahaja menjerat sahabat handai dan parti sendiri, tetapi juga rakyat selaku pengundi.

Kelakuan mereka bahkan telah dikecam hebat dan dibongkar habis-habisan oleh rakan sendiri.

Pertikaian turut diajukan rakan komponen mereka mengenai tindakan tanpa merujuk atau diputuskan Dewan Tertinggi BN.

Ia sudah menampakkan kediktatoran seseorang yang pasti ia akan menjadi faktor kebangkitan untuk memerdekakan Umno dari dizalimi atau dibonekakan.

Akhirnya beberapa nama dipecat dan digantung antaranya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Shahril Hamdan, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Noh Omar dan Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Presiden pula mengukuhkan kedudukan dengan jawatan tidak dipertandingkan pada pemilihan Umno.

Mereka menyelimut pembohongan mereka dengan pendustaan demi pendustaan, serta tanpa malu membentuk ‘angkatan penipu’ bersama atau menjadi sesumpah dan keldai politik.

Rakyat mesti peka dan matang menilai semua lakonan, muslihat dan perangai ini agar tidak salah memilih lagi di masa depan.

Pembohong dan pengkhianat

PH-BN bagaimanapun memuktamadkan ‘pernikahan’ mereka tanpa rasa malu terhadap segala kalimah pernah mereka lemparkan seperti ‘kerajaan kleptokrat’, ‘pencuri, penyamun, perompak’, ‘kerajaan tebuk atap’, ‘kerajaan pintu belakang’ dan pelbagai palitan lain.

Sedangkan sumpah ‘Wallahi, wabillahi, watallahi’ pun tergamak mereka khianati, apalah sangat laungan dan ikrar keramat ‘Reformasi’ dan ‘Lawan Tetap Lawan’ terhadap ‘korupsi, kronisme dan nepotisme’ atau KKN.

Semua yang haram dan jahat tiba-tiba menjadi halal dan suci.

Malangnya, Kerajaan PH-BN tidak mampu menyembunyikan ketidakstabilan politik yang berlaku hingga Anwar terpaksa mengikat janji khas dengan semua komponen.

Dalam masa sama, satu persatu gimik, retorik dan hipokrit termasuk spekulasi dan sensasi dari Anwar terdedah bongkar.

Namun, bagi menutup segala kemungkiran, kelemahan, kegagalan dan kemunafikan itu, maka pemimpin parti lawan dimangsakan dengan rekaan tuduhan fitnah.

Sebab itu fakta sering berubah-ubah dari dakwaan berbanding hakikat dan pemerintahan Anwar mulai menjadi diktator.

Kemelut politik Sabah antara contoh doktrin ‘perpaduan’ yang cuba ditempel kepada hubungan parti-parti kerajaan pasca-PRU15 sebenarnya cukup pincang dan rapuh.

Ramai penganalisis menjangkakan yang ‘virus’ itu akan merebak ke negeri-negeri PH-BN yang lainnya.

Semua pihak menyedari bahawa krisis politik yang berlaku itu bukan angkara atau ‘move’ daripada pihak pembangkang, tetapi Umno Sabah.

Ramai yang syak perkara itu tidak akan terjadi melainkan adanya percaturan digerakkan dari kepentingan atau ‘kuasa’ lebih atas dan besar.

Sebab itu rakyat lebih awal memberikan penegasan pada PRU15 lalu apabila menolak habis-habisan Umno-BN yang langsung tidak mempercayai slogan muslihat mereka.

‘Kestabilan dan Kemakmuran’ yang menjadi kempen BN dilihat sebagai tipu daya dan langsung tidak menggiurkan.

Jika tidak kerana pembohongan “No Anwar, No DAP!”, BN cuma menang di dua kerusi sahaja iaitu P.151 Simpang Renggam dan P.153 Sembrong, bukan 30 kerusi.

Berdasar kajian terkini untuk PRN di enam negeri nanti, Umno-BN akan mendapat kurang 70 peratus dari undi di perolehinya pada PRU15 lalu.

Kerajaan PH-BN sedang roboh

Perbahasan di Dewan Rakyat setakat Sidang Parlimen kali ini juga menyaksikan Ahli-ahli Parlimen di blok PH-BN sendiri turut ‘menembak’ perjalanan kerajaan.

Itu belum lagi kegagalan atau enggan memberikan jawapan, selain jawapan yang berputar-putar serta tidak konsisten.

Semua itu menunjukkan isyarat adanya ‘sesuatu yang tidak kena’ pada kerajaan diterajui oleh cikgu Anwar Ibrahim bersama anak muridnya, Zahid Hamidi.

Hinggakan mereka melatah ‘diusik’ dengan kenyataan politik Tuan Guru Abdul Hadi bahawa kerajaan akan tumbang tidak lama lagi.

Pun begitu Anwar tidak mampu membendung atau mengawal segalanya di mana perkara lain juga begitu nyata dan ketara sebagai petunjuk ketidakstabilan politik.

Antaranya kenaikan harga barangan keperluan asas yang tidak dapat dihentikan, apatah lagi untuk diturunkan.

Begitu juga kadar pertukaran Ringgit berbanding Dolar Amerika, selain Ringgit berada pada kedudukan lebih lemah berbanding matawang negara-negara jiran serantau.

Juga teruk apabila para pelabur asing ‘cabut lari’ dan menjual saham menyebabkan bursa menjadi lemah.

Lebih mengharukan, ketokohan dan reputasi yang sering digambarkan menjadi pujian mengkultus Anwar, ditunjukkan sebalik hingga ia memberi malu kepada negara.

Usahkan tiada penghormatan, layanan rasmi juga tidak berlaku dan ia isu yang tidak boleh diremehkan.

Ketika sama kerajaan Anwar terus membiarkan sensitiviti rakyat khususnya orang Melayu-Islam dilemahkan menerusi pelbagai keputusan baharu.

Manakala kepada hal yang berada di bawah atau kepentingan DAP dipermudahkan dengan sewenang dan sesenangnya.

Terbaharu, ‘angin-angin’ yang menggoyangkan pokok biarpun bersungguh dinafikan sebelum ini, akhirnya tidak mampu ditutup lagi bagaikan ‘bangkai gajah’.

Berulang kembali tanpa serangan Belanda, Kerajaan Umno Negeri Melaka ditumbangkan oleh penjajah Umno Melaka!

Begitu juga di Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mula menunjukkan keresahan untuk Enakmen Antilompat Parti bagi negeri itu.

Kalau beliau tidak percaya pembangkang itu tidak pelik, tapi jika ragu-ragu kepada DAP-PH, maka amatlah malang.

Perak pula dilihat Umno menjadi dungu dengan DAP tentunya akan cuba meraih pelbagai kesempatan untuk kepentingan politik mereka.

Umno tidak akan ‘menambahkan hayatnya’, sebaliknya Perak akan menjadi pangkalan kuasa DAP mengukuhkan ‘Koridor Harapan’.

Di Selangor dan Pulau Pinang, cukuplah isu rasuah dalam penjawat awam yang dipanaskan kerana ia hakikatnya memberi petunjuk kepada pemerintahan PH diterajui PKR dan DAP itu.

Rasuah tidak akan menjebak di peringkat bawahan jika atasannya tidak berkelakuan seperti itu. 

Benarlah bahawa kestabilan politik tidak akan wujud selagi mana adanya Umno dan pemimpin yang sedemikian seperti pernah dikatakan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ditambah mereka bersama opurtunis PKR dan Anwar serta DAP yang penuh dengki kepada Melayu-Islam.

Negeri-negeri ditadbir PAS iaitu Kelantan dan Terengganu serta bersama BERSATU di bawah payung PN yakni Kedah dan Perlis pula menyaksikan ketenangan.

Tanpa hiruk-pikuk politik, sebaliknya meluas usaha kesejahteraan ke atas rakyat, menjadi bukti kestabilan politik yang wujud.

IZWAN ABDUL HALIM

Kolumnis