Dengan keahlian yang kali terakhir diumumkan pada tahun 2019 iaitu seramai kira-kira 200 ribu ahli, Parti Pan sedaya upaya cuba memikat lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk menyertai mereka.
Saya tidak tahu samada mereka berjaya atau tidak, tetapi pada kebiasaan perhimpunan besar seperti mesyuarat agung tahunan sesebuah parti, mereka akan isytiharkan jumlah ahli terkini.
Namun ia tidak berlaku dalam Konvensyen Nasional Pan yang berakhir semalam.
Selepas jumlah besar pada tahun 2019 itu, saya gagal mendapatkan jumlah terkini ahli Pan.
Puas saya mencari takut-takut ada terselit dalam laporan berita tetapi hampa.
Maaf jika salah terlepas pandang.
Yang ada hanya dakwaan Presiden Pan yang kemasukan ahli baru adalah 1000 orang sebulan, katanya.
Tetapi saya agak yakin ia tidak diumumkan kerana bilangan ahli yang ramai, adalah kebanggaan sesebuah parti.
Masakan ia didiamkan jika jumlahnya ramai, kecuali samada jumlah itu tidak bergerak atau ia semakin berkurang.
Berbagai cara yang sudah dipertontonkan oleh Pan kepada kita dalam usaha mereka memperkuatkan parti.
Mereka telah membeli sebuah parti lama kerana takut pendaftaran parti baharu akan disekat.
Mereka menjenamakan semula parti mereka dengan logo yang baharu.
Tetapi sayang, ia menjadi kontroversi kerana amat mirip dengan logo sebuah syarikat penyiaran di India.
Mereka juga ada isu berkenaan pendaftaran ahli secara online yang ada aduan mendakwa mereka tidak pernahpun mendaftar dengan Pan dan terkejut bagaimana nama mereka didaftarkan menjadi ahli Pan.
Pan juga membuka pintu keahlian mereka kepada bukan Islam.
Semua ini dilakukan bagi menarik lebih ramai ahli menyertai mereka.
Akan tetapi malang bagi mereka, semuanya kelihatan tidak menjadi.
Mari kita selidik kenapa hal ini terjadi.
Paling asas perlu diketahui semua ialah Pan adalah serpihan kepada PAS dimana ahli-ahli PAS yang berkhianat seperti dalam isu Langkah Kajang, telah kalah dalam pemilihan di Muktamar PAS Pusat ke-61 pada tahun 2015 di Kuala Selangor.
Lalu mereka menubuhkan Pan bagi kononnya menjadi alternatif kepada PAS sebagai parti Islam.
Oleh kerana permulaan mereka itu kerana berkhianat, maka mereka sukar diterima oleh parti lain kerana sedangkan rakan mereka dahulu PAS mereka sanggup tikam, apalagi kumpulan lain.
Jadi ini adalah perkara utama yang mesti Pan sedar bahawa sekali berkhianat, ia akan dikenang selamanya sebagai pengkhianat.
Tidak mudah untuk dibuang jenama pengkhianat itu.
Sebab yang lain pula ialah Pan tidak sedar diri.
Dalam mereka sedang memerintah dan berpeluang untuk menonjolkan kehebatan pimpinan mereka, mereka memilih untuk menyerang lawan, bagaikan mereka berada dalam kem pembangkang.
Berbeza dengan MB Terengganu yang banyak diam dan menjalankan tugasan beliau bagi kepentingan rakyat.
Lalu rakyat menilai kehebatan beliau.
Tidak perlu serang pun Pan, tiada nilai tambah untuk populariti.
Terbaharu, Pan dalam konvensyen mereka meminta JAKIM agar isu Amanat Haji Hadi difatwakan kembali sebagai sesat.
Ia dibawakan oleh perwakilan dari Terengganu Datuk Seri Suhaimi Hashim, Bendahari Pan Terengganu yang juga bekas calon Parlimen Kuala Nerus dalam PRU-15 lalu.
Beliau yang hilang wang pertaruhan dalam PRU itu kerana hanya mendapat 3708 sahaja daripada keseluruhan 87,628 yang keluar mengundi iaitu kurang dari lima peratus.
Isu yang sudah basi, dihidangkan kembali kepada perwakilan untuk dijamu.
Sudah tentu kita memahami yang barang basi ini hanya layak untuk Pan sahaja, tetapi tidaklah sampai kepada akal kita yang waras ini, isu basi yang sudah hampir setengah abad itu di hangatkan semula oleh mereka.
Sama taraf dengan DS Ahmad Said dan Dato’ Nik Dir, atau lebih rendah.
Patutlah setelah pemergian allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, kekosongan jawatan menteri itu tidak berganti, walau sudah melebihi empat bulan.
Menunjukkan yang Pan sangat tiada kualiti untuk diangkat menjadi pemimpin negara.
Kalaulah yang di atas itu sudah tiada pilihan, apa yang kita harapkan kepada yang lebih bawah dalam Pan.
Sehinggakan Ahli Parlimen Hulu Langat meminta diberikan jawatan menteri itu kepadanya.
Pan juga tidak boleh hidup tanpa PAS kerana tanpa PAS populariti mereka akan jatuh.
Maka mereka sentiasa mengintai-intai PAS untuk mendapat respon PAS, disebut-sebutlah nama PAS.
Teringat waktu Muktamar PAS Pusat di PUTIK, Kelantan sekitar tahun 2016, pertama kali tanpa mereka yang berkhianat itu, Pan begitu bising membuat berbagai andaian sebelum Muktamar PAS berlangsung.
Bak kata allahyarham Nordin Ahmad, intai kami antara nampak, esok jangan, rindu-rinduan.
Sayanglah peluang bagi mereka membuktikan sesuatu kepada rakyat, sebaliknya ditukar dengan isu yang basi ini.
Lebih malang bagi Datuk Seri Suhaimi, dia tidak tahu pun yang Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga JAKIM, tidak pernah mengeluarkan fatwa pengharaman Amanat itu.
Hanya Kerajaan Melaka.
Jadi apa sebenarnya yang mereka bincang untuk difatwakan haram ‘semula’ itu?
Baiklah Pan cadangkan dikenakan pendakwaan kepada sesiapa yang sewenang-wenangnya mentafsir kisah Al-Quran dan dituduh ada dalam Bible.
Itu sudah tentu lebih bermanfaat.
Dan menjadikan ia lebih kelakar, dalam konvensyen yang sama, Naib Presiden Pan, Adly Zahari pula sanggup menerima PAS menyertai kerajaan mereka.
Bukankah hanya buang masa semua orang yang berkonvensyen itu kerana tak tahu apa yang dibahaskan, semua bercelaru.
Sebagaimana pertanyaan Ahmad Nisfu, apa yang kau merepek ni setan?
Itulah Pan, dalam nak tunjuk Pan-dai, yang kita nampak Pan-dir mereka.
Bangga pulak dengan Pan-dir dia.
Mohd Nasir Abdullah