Ya, Rejim PH Lebih Zalim Daripada Rejim BN

Ya, Rejim PH Lebih Zalim Daripada Rejim BN

Penyekatan royalti petroleum yang sewajibnya diberikan kepada Kerajaan Terengganu yang memerintah dengan cara sah, hanya ulangan kepada episod jahat dan zalim hasil dari dendam politik yang tidak berkesudahan oleh sekumpulan manusia yang tidak matang, malah menggunakan kuasa untuk mengugut.

Royalti dimulakan pembayarannya oleh Petronas kepada Terengganu setelah termeterainya perjanjian antara kedua belah pihak dan apabila telaga minyak dan gas dijumpai di luar pantai Terengganu.

Empat individu penting perjanjian ini iaitu Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussin, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Amar Diraja Wan Mohktar Ahmad (kemudiannya Tan Sri), Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Petronas dan juga Tun Salleh Abbas, orang yang mendraf perjanjian.

Tun Abdul Razak meninggal dunia ketika penarikan royalti ini berlaku pada tahun 1999.

Tan Sri Wan Mokhtar, tidak kedengaran suaranya berkenaan hal ini, setelah kalah dan menjadi duta di Arab Saudi.

Tengku Razaleigh Hamzah yang baharu sahaja berpisah dengan PAS pada tahun 1997, setelah hampir 10 tahun berkelahi dengan Tun Mahathir, menyuarakan pendapatnya yang cenderung kepada PAS Terengganu.

Manakala Tun Salleh Abbas pula menjadi salah seorang Exco di dalam Kerajaan Terengganu ketika itu, memberi idea untuk mengklasifikasikan ia sebagai bukan dokumen rahsia supaya diketahui rakyat.

Secara asasnya, pertikaian berlaku kerana terjemahan pelantar benua dan jarak berapakah dari pantai yang melayakkan negeri-negeri menerima royalti mereka.

Ia difahami dahulu sejauh 200 batu nautika, jika tidak, Terengganu sepatutnya sudah lama tidak layak menerima royalti.

Setelah bertahun-tahun membohongi rakyat, akhirnya dalam tahun 2012, Umno-BN telah meluluskan Akta Laut 750 yang mana di dalamnya ada menyatakan jarak bagi hak negeri-negeri ialah hanya pada tiga batu nautika pada air surut.

Jelas Akta Laut 750 ini adalah ‘add ons’ yang baharu dicipta untuk menyokong dakwaan mereka.

Kelantan, Sabah dan Sarawak menolak akta ini yang dilihat jelas mencabuli sempadan negeri mereka.

Manakala Terengganu yang dikuasai Umno-BN, mendiamkan diri.

Malah usul ini walaupun ditentang oleh Sabah dan Sarawak, mereka tetap menerima bayaran sebagaimana Terengganu waktu itu.

Tetapi hak Kelantan dinafikan dek kerana kejahatan dan dendam politik mereka.

Dan kini, hak Terengganu pula mahu ditarik setelah melihat kejayaan Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya menterjemahkan semua janji-janji pilihanraya kepada rakyat, disebalik serangan menggila PH terhadap Terengganu.

Sedangkan sebelum ini, Terengganu selama lima tahun, menerima bayaran ini, tanpa ada masalah.

Yang patut kita lihat sekarang ini ialah bukan apa yang Kerajaan Terengganu lakukan terhadap wang itu, tetapi lihat kepada Umno-BN, apa yang telah mereka buat dengan wang itu.

Semasa dizaman Tan Sri Wan Mokhtar lagi, wang royalti ini telah dijahanamkan.

Kerugian Perwaja yang berbilion ringgit ketika itu PMX masih berada dalam Umno, turut melibatkan saham Kerajaan Negeri.

Pelangi Air yang juga tidak untung, sehingga ada juruterbangnya tidak datang bertugas kerana mahukan gajinya dibayar.

Ketika PAS menang, Umno dengan rakusnya membaham wang royalti ini atas nama Wang Ehsan dengan pemberian projek-projek membina pagar sekolah.

Agihan Wang Ehsan juga turut diberikan kepada mereka yang dikategorikan sebagai bukan golongan susah.

Manakala selepas mereka menang dengan cara menipu pada tahun 2004 dan sehingga 2018, wang itu dihabiskan sebanyak lebih kurang RM1 bilion dibenamkan di dasar muara Sungai Terengganu untuk projek Monsun Cup, The Riyatz, Taman Tamadun Islam sahaja.

Mahukah saya senaraikan projek yang runtuh ketika itu?

Taman Ilmu juga antara mangsa kerakusan Umno-BN bernilai RM400 dan sehingga kini masih dalam proses sama oleh kontraktor.

Stadium yang runtuh dengan kos RM290 juta dicampur dengan kos baikpulih RM100 juta.

Tidak lupa kepada projek Pulau Bebas Cukai Kenyir yang belanjanya lebih RM300 juta, bas dua alam.

Kerajaan Pusat menggunakan wang royalti Terengganu bagi menyiapkan LPT2 yang kemudiannya menjadi sekali ganda, hampir RM5 bilion (pendedahan ini dilakukan oleh PMX ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang pada 2 November 2011) dan Kerajaan Pusat masih belum membayarnya.

Oh ya, hutang Terengganu kepada Pusat berjumlah RM700 juta dan deferred payment yang perlu dibayar kepada kontraktor juga berjumlah ratusan juta.

Opss ada lagi, wang royalti Terengganu juga digunakan oleh pihak luar seperti Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) hampir RM1 bilion.

Dalam satu pendedahan Dato’ Seri Ahmad Said setelah beliau dipecat dari jawatan MB dalam Sidang Dun Terengganu, ada cubaan untuk mencagarkan telaga minyak dan gas Terengganu bagi projek 1MDB.

Begitulah jahatnya Umno yang kini bersekedudukan dengan PH.

Dan PH pula mahu mengikut jejak langkah Umno setelah mereka mendakwa dahulu Umno ini sangat jahat?

Kemudiannya mahu menuduh Kerajaan PAS Terengganu konon akan berlaku salah urus sedangkan sudah dibuktikan oleh Jabatan Audit Negara yang ia tidak begitu, malah Umno-BN yang didapati banyak salah urus ketika mentadbir dahulu.

Jadi dengan kenyataan ini, tidak terbukti lagikah PH ini lebih jahat daripada Umno-BN?

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis