Juz ke 28 yang kita akan sama-sama tadabur ini melibatkan 9 surah iaitu Al-Mujadilah, Al-Hasyr, Al-Mumtahanah, Al-Saff, Al-Jumu’ah, Al-Munafiqun, Al-Taghaabun, AI-Thalaq dan A1-Tahrim.
Di awal juz ini, Allah menyatakan bahawa Dia sangat murka kepada golongan yang membuat pakatan rahsia untuk memusuhi Islam dan apatah lagi menggunakan khidmat musuh Islam dalam menentang suruhan Rasulullah.
Sekiranya umat Islam merasa teguh bersama musuh, sudah tentu mereka sebenarnya telah dihasut syaitan dan Allah bagi mereka bukan menjadi sandaran dalam semua agenda yang dilaksanakan.
Allah mengarahkan umat Islam agar berlaku baik serta adil kepada orang kafir yang tidak pernah mengkhianati umat Islam apatah lagi mencampuri urusan agama Islam.
Berkawan dan berdakwahlah kepada mereka dengan sebaiknya.
Allah tegaskan bahawa Dia sangat benci dan memberi balasan yang tidak baik kepada golongan yang suka menyeru orang lain kepada kebaikan akan tetapi dia sendiri tidak amalkan apa yang diucapkannya.
Sebaliknya, hendaklah diteruskan dengan agenda amal Islami serta menjadi anshorullah kerana sesungguhnya ia adalah suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan diri daripada azab neraka.
Allah memberitakan kisah golongan munafik secara terperinci dalam surah Al-Munafiqin dan menegaskan bahawa sifat-sifat munafiq semakin menebal dalam diri seseorang itu, maka Allah biarkan dia dalam kesesatan yang nyata.
Allah akan tayangkan semua salah laku manusia di akhirat kelak.
Justeru, manusia perlu berhati-hati dengan kehidupan dunia yang banyak godaan seperti ujian anak isteri, harta benda, pangkat dan lain-lain.
Allah turut memberi peringatan kepada umat Islam agar berbuat baik dan adil terhadap para isteri.
Isteri adalah kekuatan bagi suami dan sewajibnya diberi kasih sayang dan nafkah yang mencukupi kepada para isteri.
Sekiranya ditakdirkan bercerai, maka hendaklah diuruskan secara baik tanpa mengenepikan hak masing-masing.
Allah juga telah membuat perumpamaan isteri yang solehah seperti isteri kepada Firaun yang sangat tabah dan penyabar.
Sementara contoh isteri yang tidak baik seperti isteri Nabi Luth dan Nabi Nuh, walaupun berada bersama suami seorang Nabi akan tetapi tidak taat dan menentang perjuangan yang dibawa oleh suaminya sehingga Allah letakkan mereka setaraf dengan golongan wanita yang jahat.
Teruskan berbuat amal khairat sebanyak mungkin.
Malam ini adalah malam ganjil yang akhir di bulan Ramadhan.
Kemungkinan juga Lailatul Qadar terjadi pada malam ini kerana terdapat hadis yang menyatakan sedemikian.
Sabda Rasulullah S.A.W:
هي في العَشْرِ الأواخِرِ، هي في تِسْعٍ يَمْضِينَ، أوْ في سَبْعٍ يَبْقَيْنَ
(Lailatul Qadar) ianya terjadi pada 10 malam terakhir iaitulah ia (boleh jadi) berlaku pada malam ke-29 atau pada malam ke-23.
(Riwayat Bukhari)
Dato’ Ahmad Yakob