Kezaliman Pasti Tumbang

Kezaliman Pasti Tumbang

Tadabur juz ke 27 bersempenakan hari 27 Ramadhan akan meneliti kepada beberapa pengajaran daripada 7 surah iaitu surah Al-Zaariyat sambungan pada ayat 31 seterusnya surah Al-Thur, Al-Najm, Al-Qamar, Al-Rahman, Al-Waqiah dan Al-Hadid.

Allah telah memberi ancaman neraka kepada pendusta agama-Nya.

Sekuat mana daya dan kuasa yang mereka ada, Allah tetap akan meranapkan keseluruhan agenda mereka pada akhirnya.

Boleh jadi mereka merasai keseronokan hasil kejayaan agenda yang dirancang, namun langit tidak selalu cerah buat mereka.

Allah turut mengemukakan kaedah mudah bagi mencapai redha dan kemenangan-Nya iaitu dengan tingkatkan kesabaran dan selalu menjaga solat tahajud.

Dalam juz ini juga ditekankan aspek penjagaan akidah agar seseorang muslim sentiasa kekal dengan Islamnya.

Kecelaruan dalam menganut fahaman tanpa berteraskan agama akan menambahkan dosa-dosa yang berakhir dengan kufur kepada Allah.

Lihat sahaja kaum Anbiya’ terdahulu yang tetap berdegil menganut fahaman mereka dan mengenepikan ajakan agama, lantas mereka ditimpa azab yang pedih sebagaimana berlaku kepada kaum ‘Aad, Tsamud, kaum Luth dan Firaun.

Allah turut memperingatkan kaum musyrikin yang menentang Nabi Muhammad S.A.W bahawa kaum para Anbiya’ terdahulu lebih kuat daripada mereka akan tetapi semuanya telah hancur.

Allah seterusnya menyatakan beberapa nikmat yang dikurniakan kepada manusia di dunia.

Maka dengan segala nikmat yang dikecapi tersebut, apakah manusia ingin terus berdusta kepada-Nya?

Segala perbuatan derhaka pasti dijatuhkan hukuman yang menakutkan di akhirat kelak.

Adapun bagi orang-orang yang bertakwa mereka akan dikurniakan syurga yang dihiasi dengan pelbagai nikmat.

Seterusnya Allah memberitakan perihal golongan yang akan menerima buku catatan amal dengan tangan kanan yang dibawa secara terhormat ke syurga dengan pelbagai anugerah.

Sementara golongan yang menerima catatan amal dengan tangan kiri, gaya kehidupan mereka di dunia selalu mempertikai kandungan ayat-ayat Allah dan sentiasa berdusta dengannya.

Di akhir juz ini, Allah membawa kisah perjalanan kehidupan mukmin dan munafik yang sememangnya berbeza halatuju keduanya.

Orang mukmin tidak mudah leka dan terpengaruh dengan tipuan dunia dan digunakan kemudahan dunia untuk pengabdian kepada Allah.

Mereka diberi pujian oleh Allah sebagai orang yang benar, ikhlas, santun dan kehidupannya penuh bercahaya.

Manakala orang munafik sentiasa hidup resah, sikapnya bakhil, dunia adalah kesukaannya dan segala suruhan Allah yang tidak menepati seleranya akan dipinggirkan.

Berbahagialah bagi sang mukmin dan sangat malang serta rugi kehidupan sang munafik.

Teruskan amal ibadah semaksima mungkin di hari berbaki Ramadhan tahun ini.

Kemungkinan juga Lailatul Qadar berlaku di malam 28 atau 29 yang masih berbaki.

Para ulama khilaf dalam hal ini, yang pasti Lailatul Qadar berubah daripada tahun ke tahun dan ada hikmah tersendiri waktunya tidak diketahui oleh kita.

Imam lbnu Hajar Al-‘Asqalaani dalam Fathu Al-Bari menyebut:

وأرجحها كلها: أنها في وتر من العشر الأخير، وأنها تنتقل، كما يفهم من أحاديث هذا الباب، وأرجاها أوتار العشر، وأرجى أوتار العشر عند الشافعية ليلة إحدى وعشرين أو ثلاث وعشرين على ما في حديث أبي سعيد وعبدالله بن أنيس، وأرجاها عند الجمهور ليلة سبع وعشرين، وقد تقدمت أدلة ذلك. قال العلماء: الحكمة في إخفاء ليلة القدر ليحصل الإجتهاد في التماسها، بخلاف ما لو عينت لها ليلة لاقتصر عليها

“Waktu yang rajih Lailatul Qadar berlaku ialah pada malam-malam ganjil di sepuluh akhir dan ia berubah daripada tahun ke tahun sebagaimana difahami daripada hadis yang membincangkan bab ini. Waktu yang sangat diharapkan berlaku ialah pada malam ganjil dan malam ganjil yang dimaksudkan sebagaimana pandangan ulama mazhab Syafie ialah malam 21 dan 23 sebagaimana dinyata dalam hadis Abu Said Al-Khudri dan Abdullah bin Unais.”

“Manakala jumhur ulama menyatakan ianya diharapkan berlaku malam 27 sebagaimana dalil-dalil yang telah disebut. Kata para ulama; hikmah disembunyikan waktu Lailatul Qadar ialah bagi memberi laluan umat Islam meningkatkan amalannya dalam meraih Lailatul Qadar setiap malam Jika sebaliknya, iaitu Lailatul Qadar ditentukan waktunya, maka sudah pasti, amalan yang banyak hanya dilakukan pada malam tersebut sahaja”.

Dato’ Ahmad Yakob

Minda Pemimpin