Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada 22 Februari lalu dilihat sebagai titik perubahan penting dalam usaha gabungan pembangkang itu menyusun semula kekuatan politiknya selepas melalui pelbagai cabaran dalaman, khususnya yang melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Perubahan kepimpinan tersebut berlaku dalam suasana politik yang mencabar susulan pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Pengerusi PN.
Namun begitu, perkembangan selepas itu menunjukkan bahawa PN tidak memilih untuk terus terperangkap dalam krisis dalaman, sebaliknya mula bergerak ke arah konsolidasi organisasi yang lebih tersusun, profesional dan strategik.
Dr Ahmad Samsuri sendiri membawa imej kepimpinan yang berbeza daripada pendekatan politik tradisional.
Sebagai Menteri Besar Terengganu yang mempunyai latar belakang teknokrat dan kejuruteraan, beliau dikenali dengan gaya kepimpinan yang tenang, sistematik dan kurang kontroversi.
Faktor ini penting dalam usaha PN membina semula keyakinan rakyat serta menampilkan dirinya sebagai gabungan pembangkang yang lebih stabil dan bersedia untuk mentadbir negara.
Lebih signifikan, pelantikan beliau turut disusuli dengan proses reorganisasi besar dalam struktur kepimpinan PN melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 14 Mac lalu.
Langkah tersebut memperlihatkan usaha serius gabungan itu untuk memperkukuhkan institusi politiknya secara menyeluruh.
Antara perubahan utama ialah pelantikan Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung PN menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Azmin pula diberikan peranan baharu sebagai Timbalan Setiausaha Agung bersama Wong Chia Zhen dan Sivakumar Krishnan.
Dalam masa yang sama, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dominic Lau dan Punithan Paramsiven.
Penyusunan ini memperlihatkan pendekatan kepimpinan kolektif yang lebih seimbang antara parti-parti komponen dalam PN.
Satu lagi langkah yang menarik perhatian ialah pelantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan PN.
Pelantikan tersebut dianggap strategik memandangkan pengalaman luas beliau dalam kerajaan, parti politik dan komunikasi politik nasional.
Selain itu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya menggantikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang kini memegang jawatan Bendahari Agung PN.
Lantikan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi sebagai Ketua Wanita PN dan pengekalan Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai Ketua Pemuda pula memperlihatkan usaha memperkukuhkan jentera akar umbi serta persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Namun, perubahan paling ketara sebenarnya dapat dilihat pada pendekatan komunikasi politik PN sejak Takiyuddin mengambil alih jawatan Setiausaha Agung.
Jika sebelum ini PN sering dilihat terlalu bergantung kepada retorik politik dan serangan partisan, pendekatan baharu yang dibawa kini lebih berorientasikan dasar, teknikal dan kepentingan rakyat.
Dalam isu perdagangan antarabangsa, misalnya, PN mendesak agar sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan implikasi pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Isu tersebut dibangkitkan dalam konteks ketelusan dasar perdagangan serta kepentingan nasional negara.
Dalam aspek geopolitik pula, PN mempersoalkan kehadiran aset tentera laut Amerika Syarikat di perairan negara dan menggesa kerajaan memberikan penjelasan berhubung kesesuaiannya dengan dasar berkecuali Malaysia.
PN juga semakin aktif membawa isu ekonomi rakyat seperti kenaikan diesel, RON95, kos sara hidup dan keselamatan makanan negara.
Apa yang membezakan pendekatan ini ialah kritikan yang disertai cadangan penyelesaian, termasuk mekanisme penstabilan harga, bantuan bersasar kepada sektor kritikal dan cadangan cukai durian runtuh sementara.
Dalam isu pesawah dan sekuriti makanan pula, PN memberi amaran bahawa kenaikan diesel boleh menjejaskan tahap sara diri beras negara serta meningkatkan kebergantungan terhadap import makanan.
Di samping itu, PN turut memperlihatkan komitmen lebih aktif dalam isu tadbir urus dan integriti.
Antaranya termasuk gesaan supaya siasatan rasuah dijalankan secara telus, memperkukuhkan institusi SPRM serta mempertahankan kebebasan media dalam isu melibatkan wartawan Malaysiakini.
Dalam isu pengangkutan awam, PN mengkritik gangguan sistemik di KLIA dan pengangkutan rel bandar, manakala dalam isu keselamatan pula mereka mengambil pendekatan lebih seimbang dengan menekankan profesionalisme dan akauntabiliti institusi penguat kuasa.
Kesemua perkembangan ini menunjukkan bahawa PN sedang berusaha membentuk identiti baharu sebagai pembangkang dasar atau ‘policy opposition‘, dan bukan sekadar pembangkang retorik semata-mata.
Dalam masa yang sama, Annuar Musa memainkan peranan penting dalam memperluaskan naratif politik PN melalui media sosial dan media alternatif.
Pengalaman beliau sebagai bekas Menteri dan bekas Setiausaha Agung UMNO dilihat membantu PN mendekati segmen pengundi Melayu tradisional serta kelompok di atas pagar.
Beliau juga dilihat berupaya merapatkan hubungan antara kelompok nasionalis Melayu, penyokong PAS dan bekas akar umbi UMNO yang masih mencari platform politik baharu selepas perubahan landskap politik negara sejak PRU14.
Perkembangan ini menjadi lebih signifikan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN memutuskan melantik Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pelantikan tersebut bukan sahaja mengisi kekosongan kepimpinan di Parlimen, malah memperkukuhkan lagi proses penyusunan semula struktur pembangkang secara lebih tersusun dan berinstitusi.
Dalam konteks yang lebih luas, pelantikan tersebut memberi beberapa implikasi penting bagi masa depan PN.
Pertama, ia menunjukkan bahawa PN masih mempunyai daya tahan politik serta kemampuan melakukan penyesuaian organisasi walaupun berdepan tekanan dalaman dan luaran.
Kedua, reorganisasi kepimpinan yang lebih tersusun membantu PN bergerak sebagai sebuah gabungan politik yang lebih profesional, stabil dan berdisiplin menjelang PRU16.
Ketiga, perubahan ini memperlihatkan bahawa PN kini sedang bergerak daripada politik berasaskan individu kepada politik berasaskan institusi, organisasi dan sistem kepimpinan kolektif.
Akhirnya, cabaran terbesar PN bukan sekadar mengekalkan momentum sokongan semasa, tetapi membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mampu tampil sebagai alternatif pentadbiran yang berwibawa, matang dan mempunyai dasar yang jelas untuk masa depan negara.
Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid
Rektor Kolej Universiti TATI
