Pemberi Maklumat Israel Mendedahkan Penyeksaan Dan Penderaan Terhadap Tahanan Palestin Di Penjara Israel

Pemberi Maklumat Israel Mendedahkan Penyeksaan Dan Penderaan Terhadap Tahanan Palestin Di Penjara Israel

Perincian lebih lanjut mengenai penderaan, penyeksaan dan penganiayaan terhadap rakyat Palestin yang ditahan di penjara rejim Zionis telah didedahkan oleh pemberi maklumat dalam satu laporan.

Dalam bukti terbaru ini, terang lagi bersuluh pihak berkuasa Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa dan sistem perundangan mereka sendiri.

Menurut laporan CNN, pemberi maklumat Israel tanpa nama yang bekerja di penjara Sde Teiman di padang pasir Negev, tentera dan pihak berkuasa Israel telah melakukan banyak pelanggaran hak asasi manusia terhadap tahanan Palestin termasuk penyeksaan jiwa dan psikologi, penahanan hak, dan penyelewengan perubatan seperti kecederaan yang disebabkan oleh tangan diikat kebelakang tanpa henti.

Dalam satu gambar yang diperolehi, tahanan Palestin berpakaian tracksuit kelabu boleh dilihat duduk sambil menutup mata dan dikelilingi pagar kawat berduri.

Satu sumber Israel yang bekerja di penjara itu berkata mereka perlu patuh arahan, “Mereka tidak dibenarkan berpindah.

“Mereka sepatutnya duduk tegak. Mereka tidak dibenarkan bercakap.

“Tidak dibenarkan mengintip di bawah penutup mata mereka”.

Diminta menjerit “uskot”, atau “diam” dalam bahasa Arab, pengawal itu juga diarahkan untuk memilih orang yang bermasalah dan menghukum mereka dengan pukulan yang tanpa henti.

Menurut pemberi maklumat yang lain, motif pukulan itu dilakukan hanyalah kerana ingin membalas dendam atas serangan yang berlaku pada 7 Oktober 2023.

Salah seorang tahanan utama di kem tahanan tentera yang ditemu bual oleh CNN ialah Dr Mohammed al-Ran, yang mengetuai unit pembedahan di hospital Indonesia utara Gaza sebelum ia ditutup dan diserbu oleh tentera rejim Zionis.

“Kami menantikan malam supaya kami boleh tidur. Kemudian kami menantikan pagi dengan harapan keadaan kami mungkin berubah”, katanya.

Sepanjang 44 hari beliau ditahan, dia dan rakan-rakan tahanannya hanya mampu berdoa dan menangis tanpa henti.

“Cara ini dapat meringankan penderitaan kami. Kami menangis dan menangis dan menangis.

“Kami menangis untuk diri kami sendiri, menangis untuk bangsa kami, menangis untuk masyarakat kami, menangis untuk orang yang kami sayangi. Kami menangis tentang semua yang terlintas di fikiran kami.”

Selepas dibersihkan daripada tuduhan mempunyai hubungan dengan H****, Dr al-Ran dan tahanan yang lain telah dipaksa untuk berkhidmat sebagai jurubahasa – atau ‘shawish’ – antara pengawal dan banduan, yang menyebabkan beliau dibenarkan menanggalkan penutup matanya.

Perbuatan itu merupakan satu lagi bentuk penyeksaan tetapi beliau berkata, “Sebahagian daripada penyeksaan saya adalah dengan melihat bagaimana tahanan Palestin yang lain diseksa”, katanya.

“Pada mulanya kami tidak dapat melihat. Kami sendiri tidak dapat melihat penyeksaan, dendam dan penindasan.

“Apabila mereka menanggalkan penutup mata saya, saya dapat melihat sejauh mana penghinaan yang mereka lakukan ke atas tahanan yang lain.

“Saya dapat melihat sejauh mana mereka melihat kami bukan sebagai manusia tetapi sebagai haiwan.”

Dehumanisasi itu disahkan oleh salah seorang pemberi maklumat Israel, yang bekerja sebagai pegawai perubatan di hospital medan Sde Teiman, di mana tahanan Palestin yang cedera akan diikat ke katil mereka sambil memakai lampin dan diberi makan melalui penyedut minuman.

Tentera rejim Zionis mendakwa dalam satu kenyataan bahawa mereka akan memastikan setiap tentera akan melayan tahanan Palestin dengan baik di dalam penjara.

Sebarang dakwaan salah laku oleh askar IDF akan diperiksa dan ditangani dengan sewajarnya.

Dalam kes yang sesuai, siasatan MPCID (Bahagian Siasatan Jenayah Polis Tentera) dibuka apabila terdapat syak wasangka salah laku yang mewajarkan tindakan sedemikian.

Walaupun tidak menafikan secara langsung bahawa tahanan Palestin akan dilucutkan pakaian atau memakai lampin, mereka menegaskan bahawa tahanan akan digari berdasarkan tahap risiko dan status kesihatan mereka.

Kejadian menggari yang menyalahi undang-undang tidak diketahui oleh pihak berkuasa.

Israel