Konsert Bruno Mars Pesta Pora Dalam Kubangan Darah di Gaza

Konsert Bruno Mars Pesta Pora Dalam Kubangan Darah di Gaza

Setahun lebih ini geger dengan isu pelbagai konsert digalang samada artis dalam dan luar negara termasuk kumpulan Coldplay daripada tanah Inggeris yang datang menghiburkan rakyat ini.

Konsert kumpulan 1975 di Sepang yang mencetus kontroversi bercium mulut sesama jantan di atas pentas, juga kumpulan Black Pink mewakili keghairahan generasi anak muda kepada budaya K-Pop.

17 September ini pula akan datang artis tersohor Barat, Peter Gene Hernandez atau nama popularnya dalam industri seni Bruno Mars dengan gegak gempita kontroversi dan seribu pesona anak seni Amerika Syarikat pelbagai bakat seni.

Bruno bukan sekadar penyanyi, beliau juga pengubah lagu, juga membawa pelbagai genre muzik seperti rock, pop, funky, disco, Soul, R n B, raggae dan lain-lain.

Rekod beliau pernah terjual 130 juta di seluruh dunia, banyak kali memenangi Grammy Award, anugerah berprestij industri muzik dunia.

85,000 tiket konsertnya untuk 17 September ini telah habis terjual!

Kegilaan berhibur tanpa batasan, berpesta pora tak peduli dengan kesakitan dan tangisan di Gaza bukan sahaja melanda tanah watan kita dengan obesesi pemimpin utama negara dengan hiburan namun menjangkiti negara Arab terutama Arab Saudi yang kononnya penjaga dua tanah haram!

Cukup kontradik dan memalukan, sedangkan di seluruh belahan dunia pelbagai aksi solidariti untuk Palestin digalang setiap hari dalam tempoh 35 hari ini. Konsert dianjurkan seolah mengalih perhatian terhadap peta luka ummat, bahkan sifat membusung dada melanggar perintah Allah dan peringatan ar-Rasul SAW.

Sangat malang umat Islam di akhir zaman diperintah oleh pemimpin yang bebal dan kontang nurani manusiawi.

Hiburan boleh sahaja menjadi halal jika dicerakin dengan baik elemen halal dan haram.

Lebih tujuh dekad PAS berjuang di tanah leluhur ini, menentang hiburan maksiat dan kemungkaran adalah pakej perjuangan parti Islam tertua ini.

Parti Pak Lebai ini menguasai empat buah kerajaan negeri, tidak membataskan rakyat hanya dalam program di masjid dan surau sahaja.

Terengganu contohnya, sejak 2018, PAS mengambil alih kerajaan dengan artis dan seniman juga boleh berpartisipasi dalam pelbagai program hiburan.

Antara anak seni yang pernah diundang seperti Ramli Sarip, Yantzen, Zuar XPDC, Ali Terra Rossa, Ijam Medicine, Heliza Helmi dan puluhan anak seni yang lain.

PAS bukanlah Taliban seperti yang sering dimomokkan oleh Dap kepada pengundi dan pentaksub mereka.

Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah.

Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah.

Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista.

PAS berbeda dengan parti konvensional yang lain.

Penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dan akhlak tiada dalam neraca pemikiran

Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam.

Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulamak telah mengggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai method dakwah.

Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka.

Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan.

Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat.

Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada “sensate culture”, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Masyarakat muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban.

Entahlah, mungkin rasa bosan terkurung menjadikan kita kecanduan berhibur atau kita menyalahi catatan taqdir.

Kita semua, peserta-peserta universiti tarbiah Ramadhan sepatutnya insaf dengan membuncahnya aktiviti penagihan najis dadah dikalangan anak muda, gejala buta agama, kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda.

Boleh sahaja untuk pelbagai penganjur konsert, samada kerajaan, parti politik, gerakan swadaya masyarakat dan lain-lain entiti untuk menganjurkan konsert patuh syariah bertemakan solidariti Palestin.

Dengan memasukkan acara nyanyian patuh syariah atau nasyid, pentomen, bacaan sajak, munajat, bacaan qunut nazilah, tazkirah atau boleh sahaja dikir patuh syariah.

Konsert kemanusiaan Palestin boleh dipakejkan dengan pameran, pertandingan, konvoi ARC, konvoi pacuan empat roda, flashmob, kutipan dana Gaza dan aktiviti yang difikirkan sesuai.

Fitrah manusia inginkan berhibur, maka selaraskan dengan kehendak agama agar mendapat pahala.

Gaza sedang diratah musuh, kewajiban kita membantu mereka seupaya mungkin, antaranya dengan menggalang konsert patuh syariah bertemakan solidariti Palestin.

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Kolumnis