Membaca Helah Politik Syiah

Membaca Helah Politik Syiah

Tidaklah salah jika seseorang itu mahu memberikan pendapatnya berkenaan sesuatu strategi yang sedang berlaku berkaitan isu-isu besar.

Samada diperingkat dunia mahupun setempat.

Namun pandangan itu seharusnya dengan iringan beberapa cetusan bacaan yang lebih mendalam beserta bukti dan hujah yang kuat, akan dikira sebagai pandangan yang lebih bernas.

Contohnya isu berkenaan pembunuhan Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas di Tehran, benar-benar menyedihkan dan membangkitkan keinsafan kepada kita.

Bahawa mereka tidak takut dengan musuh Allah dan mengunggu saat bagi kematian mereka.

Menang di dunia atau syahid di akhirat.

Akan tetapi, jika teori yang dihadirkan itu adalah semata-mata menyalahkan Iran atas kejadian itu, ia dilihat agak dangkal dan bias.

Siasatan belum dijalankan, tetapi pembenci Iran terus melabelkan mereka sebagai penipu.

Lebih menambah perisa Iran juga adalah keturunan Yahudi. Kata mereka dengan kepuasan.

Hal yang sama, tidak pula dikatakan kepada Turki, apabila Jamal Kashoggi, seorang wartawan Saudi yang dibunuh dalam Kedutaan Saudi di Turki.

Sehingga kini mayat Jamal tidak diketahui di mana. Kenapa Turki tidak disalahkan juga?

Ada isu Syiah dan Wahhabikah kerana pengadilannya yang berbeza?

Di Malaysia, yang menjadi ejen Mosad adalah berhidung penyek, berkulit sawo matang, orang setempat.

Apakah tidak mungkin di negara-negara lain ejen mereka terdiri dari rakyatnya sendiri?

Atau mestikah orang Israel sendiri kena masuk dan membunuh?

Jika dirasakan komentar secara terus tiada bengkang bengkok itu paling benar, maka tiadalah perlu strategi dalam berpolitik.

Lurus sahaja, semua orang tahu apa yang mahu dilakukan.

Tiada caj tersembunyi bak kata syarikat telco kepada pengguna. Begitukah strategi hebat?

Apatah lagi Iran yang sudah dijenamakan dengan taqiyyah sebagai salah satu rukun kepercayaan Syiah itu.

Pasti cerita Iran bersubahat akan laku keras di pasaran.

Tidakkah kelihatan bodohnya Iran, kerana sudah dikata orang begitu, mereka bersusah payah menafikannya, kemudiannya mereka mengesahkannya pula dengan perlakuan mereka.

Terfikir juga di benak ini apabila ada yang berkata, dimanakah negara-negara Arab ketika Palestin memerlukan mereka?

Tidakkah itu dianggap sebagai langkah seorang tali barut Israel?

Dan ada negara yang sedang membuat normalisasi dengan Israel, tidak mengapa pula?

Mari kita lihat kepada sejarah 110 tahun empat hari yang lalu.

Pembunuhan Putera Mahkota Austria-Hungary Erzherzog Franz Ferdinand di Sarajevo dilihat kepada satu insiden cari pasal oleh Serbia terhadap Austria-Hungary.

Dengan dibantu Jerman, mereka memulakan serangan kepada Serbia bagi membalas dendam sebulan selepas itu iaitu pada 28 Julai 1914.

Akhirnya ia merebak dan Perang Dunia I terjadi setelah syarat Austria-Hungary tidak dipenuhi.

Akibat daripada perbalahan dengan Serbia itu, dunia menyaksikan dalam perang itu Kerajaan Uthmaniyyah jatuh.

Rusia dibawah Tsar Nicholas juga dirampas oleh Komunis.

Dan paling dikenang, Jerusalam diambil British.

Kelihatan telunjuknya lurus, tetapi kelingkingnya berkait. Islam paling rugi.

Tiada kaitan dengan Serbia mahupun Austria-Hungary, mahupun kematian Ferdinand itu.

Begitulah bacaan politik oleh sebahagian orang yang merasakan dia tahu ataupun bacaannya diiringi dendam terhadap Iran.

Maka terhasillah pandangan separuh masak.

Bukan lebih merapatkan, tetapi melebarkan jurang bagi melawan Israel.

Makin Israel menyerang, makin kita berbalah. Tak ke pelik?

Sangat benar pandangan Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang musuh utama kita ialah Israel.

Mereka tidak pernah melihat kita dari pecahan mazhab, tetapi semuanya Islam yang mesti mereka perangi.

Semoga Allah kurniakan kesyahidan kepada Ismail Haniyeh dan berbahagia di syurga bersama keluarga dan rakan seperjuangan beliau di sana amin.

Mati adalah permulaan kebahagiaan kepada orang mukmin.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis