Tidak ramai insan yang bertuah, rapat dengan as-Syahid Ismail Haniyeh.
Majoriti mengenali beliau hanya melalui media sahaja.
Amat jarang beliau keluar bertemu dengan khalayak kerana isu keselamatan.
Yang pastinya, selain daripada keluarga, hanya rakan organisasi dan juga teman-teman rapat beliau bertuah boleh mendekati beliau.
Yang lain hanyalah kenalan maya sahaja, mendengar di hujung-hujung telinga sahaja kisah beliau.
Beliau terpaksa banyak berahsia, menjalankan semua operasi atau kegiatan demi untuk membebaskan Palestin, bumi warisan umat Islam yang terkandung di dalamnya masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam, Masjid al-Aqsa.
Tiada kehidupan beliau dan rakan seperjuangan untuk bersenang lenang, berehat-rehat kecuali berjuang dan berjuang, samada syahid atau kemenangan.
Matilah beliau dengan segala rahsia yang kita semua tidak ketahui.
Apabila sahaja diumumkan kesyahidannya, penyokong perjuangan Hamas dari seluruh dunia, terkejut, marah dan kecewa atas serangan Israel itu.
Semua bagaikan berpakat mengutuk serangan bacul itu.
Ribuan manusia berarak melimpahi jalan-jalan di Tehran bagi melahirkan rasa sedih atas bencana yang menimpa pejuang dari Hamas itu.
Jenazah beliau diarak ke lapangan terbang untuk disempurnakan upacara pengkebumiannya di Qatar.
Di sana, ia disambut pula oleh puluhan ribu rakyat Qatar dengan disertai wakil-wakil gerakan Islam dari seluruh dunia, termasuk PAS dari Malaysia yang telah sekian lama mengisytiharkan sokongan terhadap Hamas atas perjuangan mereka.
Jutaan manusia lagi di seluruh pelusuk dunia turut mendoakan.
Tidakkah ia suatu keajaiban dengan suhu yang mencecah 45°C, kelembapan pula sekitar 70 peratus yang mana di negara-negara Teluk, ia menandakan indeks haba yang berada dalam zon merah kerana gabungan suhu dan kelembapan itu menjadikan bacaan indeks melebihi 54, tidak boleh berada lama di luar.
Tetapi demi menyempurnakan solat jenazah itu, masih melimpah manusia yang terpaksa solat di luar masjid kerana kebanjiran jemaah yang turut mahu memberikan penghormatan terakhir.
Mereka tidak berganjak sehingga selesainya solat jenazah itu.
Kerana apa mereka sanggup?
Tidak lain kerana ini adalah persaudaraan dalam Islam yang diikat dengan iman.
Tidak mengenali secara dekat, tidaklah menjadi syarat tidak perlu solat kepada jenazah itu.
Semua muslim itu bersaudara, sanggup merasa sakit bersama-sama apabila terkena ujian.
Kasih sayang sesama insan ditambah pula dengan tawaran satu qirat pahala jika solat jenazah dan satu lagi qirat pahala jika mengiringi dan menunggu sehingga selesai urusan di kubur dari Rasulullah, menjadi pemangkin kepada sikap luarbiasa ini.
Satu qirat menyamai ganjaran sebesar Bukit Uhud.
Dalam Islam tiada masjid yang khusus untuk umat Islam berkulit putih sahaja.
Atau perkuburan khas kepada yang berkulit hitam ataupun juga surau untuk orang kaya sahaja.
Berlainan dengan agama lain, asalkan hitam, itu tanda sial atau buruk.
Ada tempat ibadat mereka tidak boleh dimasuki oleh orang berkulit hitam.
Upacara pengkebumian juga adakalanya dibuat bersungguh-sungguh jika kena dengan bayarannya.
Syukur kepada Allah, Islam menunjukkan jalan terbaik atas sifat kemanusiaan, tanpa mengira warna kulit atau status, jauh mendahului zaman.
Janji pahala yang dikatakan oleh Rasulullah itu tiada dalam amalan mana-mana agama lain.
Bagi mereka, jika kamu mati, matilah kamu.
Hanya yang mengenali si mati sahaja yang akan hadir.
Yang lain, tiada merasa apa-apa walaupun melihatnya begitu dekat sekali.
Malah mereka begitu takut sekali dengan kematian.
Mereka benci mati dan jika boleh mahu kekal hidup, tidak mati-mati.
Dan hidup mereka pula mahu kepada kehidupan seorang yang kaya, tidak mahu miskin.
Jika miskin, tuhan membenci mereka, jika kaya, itulah tanda tuhan menyayangi.
Dalam kematian itu ada mesej besar yang ditonjolkan oleh Islam.
Doa kita yang masih hidup ini, dipertimbangkan oleh Allah untuk keampunan si mati, walaupun saling tidak mengenali sewaktu hidup di dunia dahulu.
Inilah sifat kemanusiaan yang sangat jelas, berlawanan dengan dakwaan barat bahawa merekalah kononnya menjadi pembela hak asasi manusia, tetapi ia hanya berlaku secara terpilih, atas apa yang mereka sendiri tetapkan.
Syukur kepada Allah, kita dipilih Allah untuk menjadi muslim.
Semoga hidayah ini kekal sehingga mati. Amiin.
Mohd Abdullah Abdullah