Heboh satu dunia apabila pemimpin pemuda PAS Selangor cadangkan pemimpin (ahli) PAS berkahwin dengan bukan Melayu, bagi tujuan menambahkan kekuatan politik PAS, seterusnya bagi diterima oleh bukan Islam.
Perkahwinan silang budaya menjadi perkara biasa bagi kami yang bergelar mualaf ini.
Ramai orang Cina memeluk Islam kerana mahu berkahwin dengan orang Islam (Melayu), kerana ia menjadi syarat kepada perkahwinan tersebut.
Tidak timbul oleh, berat sebelah, tidak adil kepada agama Islam.
Agama Islam, tidak memaksa, tetapi jika mahu juga berkahwin, kenalah memeluk Islam.
Jika tidak mahu memeluk, tangguh sahaja dahulu perkahwinannya.
Tak usahlah isu ini dipolitikkan, terutamanya UMNO.
Saya sudah cakap lama dah, perkahwinan silang budaya ini.
Pemimpin PAS tidak perlu takut dengan cadangan pemuda Selangor ini.
Sebaliknya melihat dari sudut yang positif demi masa depan politik Malaysia dan dakwah.
Ia amat baik untuk integrasi nasional selain politik.
Dahulu, saya pernah mencadangkan agar lebih ramai Melayu Semenanjung (PAS) berkahwin dengan anak-anak bumiputera Sabah dan Sarawak.
Ia sangat baik untuk integrasi wilayah, selain integrasi nasional.
Anak-anak pemimpin PAS boleh dicarikan jodoh dengan anak-anak pemimpin Sabah dan Sarawak.
Selama ini kita dipisahkan dengan Laut Melayu Raya (Laut China Selatan).
Dengan ramainya orang Semenanjung yang menyahut seruan ini, kita boleh kendurkan laungan Sabah for Sabahan, Sarawak for Sarawakian.
Sentimen ini tidak baik sebenar kepada Persekutuan Malaysia.
Elok juga saranan ini dilihat dari sudut positif, bukan mengelak untuk menjawab, seolah-olah ia seperti matlamat menghalalkan cara.
Sebenarnya tidak, ia amat baik untuk perkembangan dan kestabilan politik serta mengendurkan sentiment wilayah.
Saya sebagai orang Cina, memeluk Islam, berkahwin dengan orang Melayu, ternyata banyak kebaikan dari segi silang budaya dan integrasi nasional.
Ramai kawan saya berbangsa Cina berkahwin dengan orang Melayu.
Itulah majoriti, antara sebab mereka memeluk Islam.
Syaratnya, kenalah masuk Islamlah. Tidak bolehlah sebaliknya.
Semua ini termaktub dalam perlembagaan.
Tidak timbul soal perkahwinan berlainan agama.
Tetapi perkahwinan antara Melayu dengan bukan Melayu, silang budaya, dengan syarat pasangannya memeluk Islam.
Ia hendaklah dimulakan dengan pimpinan pemuda PAS dahulu, terutama yang mencadangkan.
Saya sokong seratus peratus demi dakwah dan masa depan politik negara ini, menambah majoriti Islam.
PAS perlu sedar, imej PAS dari dahulu hingga kini, dengan Islam sebagai asas perjuangan, sukar diterima oleh bukan Islam, meskipun perjuangan yang dibawa membawa kebaikan kepada bukan Islam dari pelbagai segi.
Semua kebaikan itu sudah ditenggelamkan oleh persepsi dan naratif ‘anti Islam’ DAP terhadap PAS.
DAP telah berjaya mempengaruhi orang Cina melihat PAS, dipersepsikan sebagai Taliban, konservatif dan sebagainya.
Seolah-olah menafikan hak bukan Islam, walhal sebenarnya langsung tidak.
Malahan PAS memberikan kebebasan dan hak itu melebihi dari sepatutnya. Contoh, di Kelantan.
Bukan Islam Buddha sedikit sangat. Tetapi rumah ibadat mereka seperti patung Buddha begitu banyak dalam skala besar.
Patung Buddha, berdiri, duduk dan baring, boleh dikatakan seolah-olah menenggelamkan Kelantan, selaku negeri majoriti Islam, lebih 95 peratus.
Kenapa kerajaan yang diperintah PAS membenarkan dan membantu lagi pembinaannya? Itulah PAS dan toleransi.
Semua Cina Kelantan dan Pantai timur tahu semua itu, kecuali Cina di Pantai barat (tidak semua)
Ini tidak termasuk ada segelintir pemimpin PAS yang mengeluarkan kenyataan, tidak memahami ‘waqi’ (keadaan) dan sensitiviti bukan terhadap sesuatu yang menjadi ‘kesukaan’ mereka, seperti judi, arak, betina dan sebagainya.
Hakikatnya, agama dan ajaran orang Cina menentang semua maksiat dan kejahatan itu, tetapi disebabkan oleh kejahilan mereka sendiri, menjadi orang Cina mahu ‘menghalalkan’ apa yang diharamkan dalam agama atau ajaran mereka.
Ikutkan sebenar, apa yang diharamkan dalam Islam, seperti arak, judi, betina dan sebagainya, turut diharamkan dalam agama lain juga.
Namun, hakikatnya itulah jenis bukan Melayu yang ada dalam negara kita.
Mereka lebih mementingkan hak manusia daripada hak Tuhan, meskipun sanggup merendahkan agama mereka sendiri, dengan melakukan kemaksiatan tersebut.
Mereka tahu akan kebaikan Islam, tetapi mereka tidak mahu kerana sudah terpedaya.
Justeru, sudah tiba masanya cadangan menggalakan orang Islam (pemimpin dan ahli PAS) berkahwin dengan Islam (bukan Melayu), juga termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak dilihat secara positif, bukan dengan rasa cuba mengelak atau takut-takut.
Percayalah, ia sebenarnya sangat baik untuk dakwah, memperkasa kekuatan dan masa depan politik negara tercinta ini.
Pemimpin PAS kena berjiwa besar, keluar daripada kepompong kenegerian dan kepartian kepada KENEGARAAN.
Sudah sampai masanya PAS berubah, keluar dari kepompong tersebut dengan menerima cadangan ‘perkahwinan’ ini dengan hati terbuka.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah