Beberapa hari lalu, kita menyaksikan perarakan raksaksa empunya jentera motorsikal yang diberikan nama Yahama RXZ dari seluruh pelusuk negara ke Kuala Nerus, Terengganu.
Khabarnya melalui hitungan, seramai 40 ribu orang telah berkampung di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terkenal suatu waktu dahulu dengan gelaran Stadium Runtuh.
Pelbagai acara yang telah diadakan bagi menyambut tetamu yang secara tidak langsung, telah menyemarakkan ekonomi di Terengganu dan ditambah lagi dengan kehadiran pelancong lain sewaktu musim cuti sekolah ke negeri ini.
Para peserta juga ada yang datang dari Sabah dan Sarawak, menggunakan kapal bagi mengangkut motor mereka.
Semangat yang begitu tinggi untuk hadir.
Surau-surau dan masjid-masjid di sekitar dan sepanjang jalan menuju ke stadium, telah menawarkan samada penginapan, makanan mahupun tempat rehat secara percuma.
Menyambut langkah baik itu, ramai peniaga telah menyatakan kesanggupan mereka untuk memberikan ‘diskaun’ kepada peserta himpunan ini.
Hanya sahaja beberapa kemalangan maut yang menimpa peserta dan juga bantahan terhadap konsert yang diadakan, menjadikan acara ini sedikit cacat.
Namun begitu, ruang bagi memperbaikinya masih banyak dan diharap penganjur lebih bertegas dalam isu-isu perlanggaran peraturan, jika ada.
Penganjur berusaha menyediakan program keagamaan.
Peserta juga diaraikan oleh tuan rumah, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan yang menariknya, beliau turut turun ke tapak himpunan dengan menunggang RXZ.
Semoga tidak serik peserta datang ke Terengganu.
Kuala Krau
Bergerak kita ke Kuala Krau pada hari yang sama, telah berlangsung Muktamar PAS Pusat kali ke-70.
Perhimpunan ini lebih penting daripada perhimpunan untuk hiburan anak muda di Kuala Nerus kerana Muktamar PAS Pusat ini membincangkan hal-hal kenegaraan dan secara spesifiknya hak rakyat dan negara.
Ia dihadiri oleh perwakilan yang hebat-hebat bagi membahaskan ucapan dasar Presiden yang merangkumi semua perkara, dalam dan luar Malaysia, dunia dan akhirat serta usul-usul dari perwakilan.
Antara banyak inti yang Tan Sri Presiden sebutkan, saya tertarik dengan dua perkara.
Pertama di bawah tajuk Menangani Sekatan Ekonomi dan Pentadbiran terhadap negeri-negeri yang diperintah oleh PAS.
Antara ucapan TS Presiden ialah:
“Cabaran kedua melalui sekatan ekonomi dan pentadbiran dengan cara merampas sumber negeri yang diperintah oleh PAS.
“Antaranya seperti membatalkan royalti petroleum Terengganu dan menafikan hak negeri Kelantan, sehinggalah menghalang kemenangan melalui demokrasi yang sah dan menafikan peruntukan bagi pembangkang.
“Semua ini seakan-akan meneruskan agenda sebagaimana golongan munafiq pada zaman awal Islam di Madinah”
Sememangnya begitulah sikap golongan munafik dalam menghadapi golongan Islam.
Mereka memukul curi, berpura-pura konon terpaling Islam.
Sedang dalam masa yang sama, membunuh sesama bangsa.
Menyekat hak rakyat dengan ugutan supaya menyokong mereka.
Tiada pernah berlaku kepada mana-mana pimpinan Islam yang diriwayat dalam sejarah, berkelakuan sebegini.
Malah si kafir mendapat hak yang dijamin oleh Islam.
Maka bandingan orang sebegini peranganinya sebagai munafik itu, amat cocok sekali.
Dalam bab Perpaduan Ummah: Keterbukaan PAS pula, Presiden PAS mengungkapkan:
“Bagi menunaikan agenda politik Islam yang berpandukan hidayah, berhikmah, matang dan sejahtera, PAS tetap berpandukan al-Quran dan Sunnah, serta ijtihad melalui pengalamannya dengan memilih pendekatan demokrasi damai dan perpaduan umat.
“PAS akan terus beristiqamah mengenali kalangan yang ikhlas menerima Islam adalah penyelesaian dan menolak kalangan yang telunjuknya lurus, tetapi kelengkengnya berkait.
Bahkan, PAS tetap berdiri teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang sebenar, dan tidak sesekali berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam apa-apa jua bentuk.
PAS memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, iaitu kalangan yang tidak menghalang bahawa Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dan penyelamat manusia yang berwawasan dunia sehingga akhirat, serta mewajibkan Islam memimpin”
Jelas sekali, demi perpaduan umat Islam, kita mesti bergabung atas dasar Islam, bukan kerana mahu menyelamatkan diri daripada hukuman kesalahan atau kerana berkehendakkan harta dunia. PAS sentiasa membuka pintu kesatuan kerana mengikut suruhan agama supaya bersatu.
Sebagaimana Rasulullah tidak pernah menolak perjanjian damai dan penyatuan kerana perdamaian itu dituntut oleh Islam.
Tetapi sayang, jemaah lain dipimpin oleh golongan yang tidak memahami Islam.
Sebab itu mereka tidak kisah walaupun menjadi hamba kepada agama lain.
Sememangnya “Islam Adalah Penyelesaian” sekiranya mereka benar-benar faham dan berpegang dengan apa yang Allah dan Rasulullah tinggalkan.
Mohd Nasir Abdullah