Durian Sindiyan: Tanah Dipijak Milik Orang?

Durian Sindiyan: Tanah Dipijak Milik Orang?

Ladang Durian Lojing 3000 hektar diserah-urus kepada syarikat China – Sindiyan Plantation Sdn Bhd untuk mengurus ladang Musang King terbesar di Malaysia.

Para cybertruber PH memutar cerita mengatakan Kelantan menyerah tanah kepada orang Cina begitu luas sekali.

Habis dah tanah kerajaan dan tanah orang Melayu dapat ke Cina, diserah oleh kerajaan PAS Kelantan.

Kata TMB Kelantan, “Kita rancang dengan Sindiyan untuk buat agropelancongan di sini.

“Tempatnya sangat cantik dan mungkin satu masa nanti orang Kelantan dan rakyat Malaysia boleh datang ke sini untuk menikmati apa sahaja yang berasal dari durian.

“Durian segar, kuih-kuih diperbuat daripada durian, aiskrim durian dan minuman perasa durian,” (Astro Awani, 15 September 2023)

Projek kerajaan negeri. Sidiyan hanyalah syarikat yang diberi tanggungjawab sebagai pelaksana projek.

Kenapa beri projek kepada syarikat Cina?

Kenapa tidak diberi kepada syarikat Melayu, pekebun Melayu dan seumpamanya?

Disebabkan projek ini besar dan merangkumi keluaran 3000 hektar, tentu sekali syarikat Melayu berkemungkinan besar tidak ada yang mampu dari segi kos, buruh, jentera dan sebagainya untuk disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Mungkin setelah proses due diligence, syarikat Sindiyan menepati kemampuan untuk melaksanakan projek ini.

Kenapa syarikat Melayu tidak mampu?

Sebab syarikat Melayu tidak besar. Jika beberapa syarikat Melayu bergabung pun, masih akan bermasalah kerana tidak cukup peralatan jentera untuk melaksanakan projek.

Pastilah syarikat-syarikat tersebut akan sub-kontrak kepada syarikat lain yang ada jentera.

Kontrak akan jadi bertindan-tindan, tentu sekali memakan kos – sebagai mana amalan-amalan terdahulu yang memungkinkan berlaku ketirisan.

Maka lebih baik satu syarikat yang ada kelengkapan yang cukup 80% hingga 100% mengendalikan projek tersebut sebagai main operator.

Bukan serah tanah kepada China atau tauke Cina pun.

Cara untuk bantu syarikat-syarikat Melayu supaya mampu bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi China adalah dengan memberikan mereka modal yang besar – untuk menjadikan syarikat Melayu memiliki kekuatan modal, kekuatan jentera berat jumlah pekerja, latihan kepakaran, mampu memiliki konsultan sendiri, jurutera-jurutera, bahkan khidmat guaman sendiri dan sebagainya.

Benda basic beginilah syarikat gergasi ada untuk menang dalam setiap perebutan tender.

Tentu modalnya ratusan juta ke satu bilion untuk satu syarikat.

Siapa nak beri bantuan modal berbilion untuk satu-satu syarikat Melayu? Tak ada.

Syarikat dari tanah besar China, ada kekuatan ini.

Bahkan syarikat tauke-tauke Cina Malaysia pun kebanyakannya ada.

Daripada mana mereka dapat modal yang besar untuk mengendali syarikat gergasi?

Kekayaan daripada sejarah. British telah memberi nenek moyang mereka kekayaan tersebut.

Mereka wariskan melalui syarikat-syarikat, bank-bank, dewan-dewan perniagaan serta ahli-ahli perniagaan.

Untuk kelestarian kekayaan bangsa mereka.

Untuk membolehkan Melayu bersaing secara sihat, maka modal yang sama perlu juga diberikan kepada tauke-tauke Melayu, untuk menjadi gergasi dalam perniagaan.

Kena ada perancangan untuk ke arah tersebut, ada pemantauan supaya tidak diselewengkan.

Itulah hakikatnya apa yang Melayu perlukan dalam bidang ekonomi – iaitu modal.

Bukan disindir sebagai asyik mahu bertongkat, asyik mahu meminta tolong kerajaan.

Walhal tauke bangsa lain sudah lama di-support dengan tongkat dan wheelchair sehingga boleh berlari sendiri.

Ini tidak, apabila kita bangkitkan isu tanah-tanah rezab Melayu semakin sedikit, Melayu PH menyindir kepada Tanah Lojing Kelantan boleh pula PAS berikan kepada tauke China seluas 3000 hektar – tanpa mahu memahami akar kepada masalah.

Ia tidak sama dengan tempat lain, yang tanah orang Melayu diambil secara kekal, dibeli terus sehingga kuasa ke atas tanah itu hilang selamanya.

Boleh tengok puluhan kilang-kilang padi gergasi di Kedah, asal usulnya rata-rata semua tanah orang Melayu.

Sekarang orang Melayu sudah tiada kuasa ke atas tanah itu selamanya.

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

Kolumnis