Tangani GISB Penuh Hikmah, Elakkan Rosakkan Rantaian Sistem Ekonomi Yang Mereka Bina….

Tangani GISB Penuh Hikmah, Elakkan Rosakkan Rantaian Sistem Ekonomi Yang Mereka Bina….

Ambillah tindakan terhadap GISB berkaitan perkara yang ‘merosakkan dan menyesatkan’ tetapi berpada-pada dalam menangani ekonomi GISB.

Jika diberi pilihan antara perniagaan makanan GISB dengan harbi ultra kiasu yang lebih jelas haramnya, saya lebih cenderung kepada memilih kedai makan GISB.

Meskipun mereka dikatakan ‘sesat’, sekurang-kurang mereka tidak menjadi musuh dalam bangsa mereka.

Saya bukanlah ahli arqam, mahu pun pro arqam, jauh sama sekali, tetapi saya kagumi apa yang arqam buat dari segi ekonomi.

Bermula namanya, arqam, dijenama semula menjadi rufaqa dan kini global Ikhwan (GISB).

Dahulu, ketika menyewa di Sg Penchala, sekitar akhirnya 1980an dan awal 1990an, namanya masih arqam, lama juga saya memerhatikan gerakan mereka, saya tidak berminat dengan gerakan kumpulan ini, terutama dari segi akidah dan ‘ekspolitasi’ ke atas wanita dan kanak-kanak.

Namun, saya agak kagum dari segi cara mereka membangunkan ekonomi, sehingga hari ini, dengan nama Global Ikhwan.

Ketika saya keluar negara, pergi ke Bangkok, Chiangmai dan Hatyai, saya nampak pejabat dan kedai makan GISB ada merata.

Malah, saya pernah dijamu oleh rakan Muslim Thailand di kedai mereka. Alhamdulillah, menyelerakan.

Pekerja mereka dalam kalangan anak remaja.

Sudah tentu saya tidak akan bersetuju jika ada ekploitasi.

Sama ada penyediaan makanan tersebut sampai kepada piawaian halal JAKIM, saya tidak pasti.

Oleh kerana berada di luar negara, kita makan sahaja, kerana daripada makan kedai bukan Islam yang kita was-was, baik makan kedai orang Islam yang kurang was-was.

Apabila saya ditanya oleh media mengenai GISB, saya cuba bersangka baik, kerana orang GISB saudara kita belaka.

Saya kata ini kes terpencil, tanganilah kes tersebut ikut saluran undang-undang.

Ambil tindakan jika mereka bersalah, tetapi jangan keruhkan lagi kerana ia akan merosakkan imej Islam.

Jangan rosakkan ekonomi yang telah mereka bina.

Temubual pendek itu menjadi viral…Alhamdulillah…

Budak-budak baru nak up (BBNU) dalam sosial media bukan main lagi menghentam saya dalam media sosial. Silakan.

Saya dah kebal dah dengan semua.

Sekian lama berjuang dalam medan dakwah.

Yang belum kebal itu, kamu sebab BBNU. Saya tidak ada masalah.

Berbeza pendapat dibenarkan, apatah lagi kita memilih sistem demokrasi.

Silakanlah nak komen apa sahaja. Tetapi kena berpada-pada.

Pada saya mudah sahaja, tidak perlu kecoh BBNU, hak sesat, menyeleweng, malah ada yang mengkafirkannya mereka, itu kita serah kepada Allah.

Begitu juga pihak berkuasa. Tetapi yang saya fokuskan adalah kejayaan rantaian ekonomi mereka. Itu sahaja.

Saya ingin bertanya, selama ini, berapa ramai orang melayu dan bumiputera, yang telah dibantu oleh kerajaan dengan pelbagai cara.

Di manakah kejayaan mereka?

Kita bukan main hentam dan mahukan ekonomi mereka meranap.

Bagaimana dengan cengkaman Yahudi terhadap ekonomi kita seperti blackrock?

Apakah kita nak katakan GISB lebih bahaya daripada Blackrock?

Bagaimana pula pencerobohan kawasan kedaulatan perairan kita?

Kenapa kamu diam BBNU?

‘Sesesat’ manapun GISB, saya yakin, jika keluar negara, jika tidak ada makanan halal yang lain, pasti kita akan pergi kedai makan mereka, berbanding kedai makan bukan Islam lain yang lebih ragu.

Saya tidak ada masalah langsung untuk polis dan pihak berkuasa agama mengambil tindakan ke atas ‘kesesatan dan penyelewengan’ mereka. Silakan.

Tetapi janganlah diganggu kejayaan yang mereka capai dalam bidang ekonomi, kecuali jika ada penindasan dan kezaliman berlaku.

Itupun perlu dibuat secara berhati-hati.

Jika perniagaan judi, riba, pelacuran dan lain-lain bersumberkan jelas haramnya, kita boleh benarkan, kenapa kita kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk menghancurkan ekonomi sesama bangsa, meskipun ada yang menuduh sudah tidak ‘seagama’.

Jangan sampai terlalu fokuskan GISB sehingga terlepas pandang isu sebenar, seperti Blackrock dan pencerobohan China ke atas kedaulatan negara kita.

Berpada-pada bertindak ke atas saudara ‘sebangsa seagama’. Siapa musuh sebenar.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Kolumnis