The Return Of Terompah Kayu

The Return Of Terompah Kayu

Teringat dahulu ketika allahyarham Tan Sri Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup, beliau pernah melemparkan gelaran ‘ulamak terompah kayu’ kepada beberapa agamawan dari pihak kerajaan yang tidak kenal penat dan lelah menjilat semua perkataan pembesar waktu itu dan berlawan dengan usaha dakwah beliau.

Apa yang dimaksudkan oleh beliau dengan gelaran itu ialah, fizikal terompah kayu itu keras, mungkin boleh diguna untuk dibuat senjata.

Bisingnya bukan main, tetapi sayang, kegunaannya hanyalah untuk ke tandas, tempat kotor dan bernajis.

Maka marahlah agamawan-agamawan itu dek kerana sindiran yang teramat tajam itu.

Terasa hati mereka bak ditusuk sembilu.

Kemudiannya yang menjadi sedikit lucu ialah orang yang bersungguh-sungguh membalas kenyataan almarhum ialah golongan yang jahil dari kalangan mereka.

Manakala agamawan itu semuanya memilih untuk diam kerana tahu, jika berlawanpun, tak akan menang.

Berlaku juga pada suatu masa, satu kumpulan agamawan dari pihak kerajaan melakukan debat olok-olok kerana mahu menangkis kepetahan dan hujah ulamak-ulamak PAS dan mensabitkan PAS dengan ajaran sesat.

Paling diingati dari lakonan debat itu, ada agamawan Umno berlakon menjadi ulamak PAS.

Ada bekas ahli PAS mahu jadi ulamak Umno.

Berdebatlah mereka tanpa mengetahui yang kandungan video itu akan tersebar.

Rupa-rupanya dari debat itu, allahyarham Haji Ghazali Ahmad, bekas ulamak PAS dari Terengganu, bersama Haji Ismail Machang, berjaya ‘tapau’ semua ulamak Umno tersebut.

Kalah teruk, tak terkutik ulamak Umno.

Sekarang timbul lagi perangai lama yang kelihatannya tidak serik-serik mahu menggunakan isu ajaran sesat.

Oleh itu, isu mimpi bertemu Rasulullah didakwa boleh menjadi sebagai satu ajaran sesat baharu jika seseorang itu mendakwa membawakan hukum baharu dari mimpi itu.

Pastinya difahami isu ini timbul kerana diuar-uarkan TS TG Presiden PAS menceritakan kisah mimpi beliau.

Sedangkan tiada apa-apa hukum yang diberitahu, hanya pesanan yang kita semua sudah maklum.

Lalu disambut segera oleh Menteri Agama yang mahukan Dato’ Nooh Gadut, bekas Mufti Johor untuk menjelaskan berkenaan mimpi.

Dato’ Noh, sebagai lawan lama Presiden PAS, akan tentunya dapat kita teka apakah ulasan beliau.

PAS sudah begitu berpengalaman dalam menangani isu tuduhan sesat ini.

Tidak seperti GISB, Ayah Pin, Hasan Anak Rimau, Rasul Kahar, Tuhan Harun, Millah Ibrahim, Al-Maunah yang semuanya diambil tindakan segera dan wajar oleh kerajaan.

Akan tetapi kerajaan yang sama, tidak pernah dapat mengambil tindakan ke atas PAS yang ditubuhkan semenjak tahun 1951.

Langsung tidak masuk akal jika PAS benar-benar sesat.

Yang masuk ialah itu semua tuduhan fitnah yang diulang-ulang.

Kini majoriti agamawan zaman 80-an dan 90-an sudah meninggal, kedua-dua pihak Umno dan PAS.

Tetapi yang menjadi sebutan sehingga kini, tetaplah nama almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, bukan tokoh lawannya.

Diulang-ulang kehebatan beliau, diingat-ingati kewarakan beliau, disebut-sebut kebijakan beliau, diratib-ratib ketaqwaan beliau, dikaji-kaji keilmuan beliau.

Sementara agamawan yang menentang beliau, tidak langsung disebut hatta oleh orang Umno sendiri samada kerana lupa ataupun langsung tidak kenal.

Sehingga kini, tiada tempat bagi agamawan yang benar-benar berjuang atas nama Allah dalam Umno apa lagi dalam parti sekular lain.

Tempat yang ada disimpan bagi agamawan yang sanggup dijadikan terompah kayu untuk mereka guna dibawa ke tandas. Mereka boleh jadi kaya.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis