Dalam perkembangan mutakhir, beberapa tindakan yang melibatkan campur tangan politik ke dalam institusi pendidikan di Terengganu mendapat perhatian serius daripada Kerajaan Negeri.
YB Ustaz Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, menzahirkan kekesalan atas apa yang disifatkan sebagai penyalahgunaan platform pendidikan untuk agenda politik kepartian.
Beliau menegaskan, kebelakangan ini terdapat pemimpin UMNO Terengganu yang menggunakan jentera kerajaan untuk memasuki institusi pendidikan.
Lebih membimbangkan, ahli “cybertrooper” parti dijadikan panel motivasi kepada pelajar, meskipun ramai tokoh yang lebih layak untuk diundang.
Kontroversi di UniSZA
Salah satu insiden terkini yang menjadi perhatian ialah pertemuan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu bersama Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Pertemuan ini didakwa berlangsung tanpa sebarang halangan, berbanding kehadiran Dr. Muhammad Khalil sendiri yang mewakili Menteri Besar Terengganu dalam satu program perasmian di universiti yang sama tetapi dibatalkan kurang daripada 24 jam sebelum program bermula.
“Sebagai EXCO Kerajaan Negeri, kehadiran saya ke UniSZA bukan atas kapasiti parti politik, tetapi sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar.
“Namun, pembatalan ini jelas mencerminkan budaya politik yang tidak sihat,” kata beliau.
Seruan kepada Semua Pihak
Dr. Muhammad Khalil turut menyeru agar institusi pendidikan dijauhkan daripada unsur politik sempit.
Beliau menegaskan bahawa para pelajar tidak wajar dijadikan alat untuk kepentingan pihak tertentu.
Sebaliknya, institusi pendidikan perlu kekal sebagai platform ilmu yang neutral, membangunkan daya fikir generasi muda secara bebas daripada pengaruh politik kepartian.
Beliau turut mengingatkan pihak lawan agar mengambil iktibar daripada keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang memberikan mesej jelas tentang penolakan terhadap politik lapuk dan tidak profesional.
“Kita perlu membina generasi pelajar yang berintegriti dan bermaruah, bukannya mencemarkan institusi pendidikan dengan agenda politik yang sempit.
“Saya berharap semua pihak menghormati institusi ini dan tidak mencemarkan suasana pendidikan dengan unsur-unsur yang tidak wajar,” tegas beliau.
Kerajaan Negeri, menurut beliau, akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan institusi pendidikan dan memberi fokus kepada pembangunan generasi muda yang berkualiti tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.