Apabila Pelajar Bijak, Mahu Diajar Menjadi ‘Cerdik’

Apabila Pelajar Bijak, Mahu Diajar Menjadi ‘Cerdik’

Baru-baru ini heboh berkenaan halangan ke atas seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu, YB Dr. Muhammad Khalil Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi daripada memasuki Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) atas sebab yang kita sedia maklum, hanya kurang 24 jam daripada waktu program mahu dilangsungkan.

Beliau sebenarnya dijemput hadir atas kapasiti menggantikan Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ir Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, bukan atas nama Ketua Penerangan PAS Terengganu mahupun Pengerusi Lajnah Perhubungan Antarabangsa PAS Pusat.

Bermaksud, beliau adalah wakil Kerajaan Negeri yang sah dan diarahkan oleh YAB MB, bukan parti.

Namun mungkin mereka tidak menghormati pilihan YAB MB, makluman pembatalan jemputan telah diterima oleh YB Dr. Khalil yang juga alumni Unisza sebagai pemegang ijazah kedoktoran.

Entah apa yang ditakutkan dengan kehadiran YB Dr. Ustaz Muhammad Khalil, kitapun tidak tahu.

Tidak lama berselang sebelum itu, kelihatan bertebaran foto-foto dan video-video yang menjadi saksi bisu akan kehadiran Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Rozi Mamat di Unisza, berprogram dengan pelajar-pelajar.

Tiada pula dikhabarkan sekatan atau pengharaman kemasukan beliau ke sana, malah kelihatan meriah sekali.

Bukan beliau seorang, malah datang mereka secara rombongan.

Konon kata ‘cybertroopers’ PH-BN antara yang hadir ialah ‘bekas’ pimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang berasal dari negeri jiran untuk memberi motivasi.

Bagi aku, lebih baik dibawa masuk bekas Naib Canselor Unisza, Datuk Dr. Yahya Ibrahim yang pastinya lebih jauh ilmu dan pengalaman pendidikannya daripada individu itu.

Jadi aku tertanya-tanya, adakah ini yang dikatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bahawa kawasan-kawasan yang PN menang adalah kawasan dimana ramai anak muda yang rendah pendidikan mereka.

Manakala PH menguasai anak muda yang ‘highly educated’, konon kata beliau.

Maka mungkinkah ini cara bagi mereka untuk memberikan pendidikan tertinggi kepada anak-anak muda di Terengganu dengan menghalang kemasukan orang yang cerdik pandai dan menukarkannya dengan golongan yang lebih rendah taraf pendidikannya? Dimanakah logiknya?

Atau tidakkah PH-BN takut dengan memperbodohkan pelajar nanti, Terengganu makin sukar mereka mahu tawan?

Umno pula seperti tiada muka dan tidak reti untuk belajar dari kekalahan masa lalu dengan terus mengungguli carta tangga kebodohan walaupun hanya melukut dan menumpang menjadi kerajaan ihsan daripada DAP.

Adakah mereka kembali gembira dengan sekatan-sekatan seperti ini?

Atau mereka ketagih menyekat?

Hanya dengan kembali kepada Islam, insyaallah mereka akan pulih.

Memang benar sebagaimana kebimbangan ramai cendikiawan berkenaan campurtangan orang politik yang melampau dan lebih teruk dari golongan yang jauh lebih rendah daripada cerdik pandai di institusi-institusi pendidikan, pasti akan merosakkan nilai keilmuan institusi itu.

Apakan daya, mungkin mereka fikir pelajar-pelajar ini tidak cukup bijak untuk menilai lalu mereka mahu menjadikan pelajar-pelajar ini ‘cerdik’ .

Padahal pelajar-pelajar ini telahpun mengajar mereka dengan ajaran yang menyakitkan dalam dua PRU lalu.

Undi orang muda yang besar kepada PN menjelaskan masa depan politik kuno mereka ini.

Kepada pengurusan institusi, berfikirlah dengan matang supaya ia menjarakkan taraf anda dengan taraf rendah politikus seperti Umno Terengganu.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis