Israel Rampas Wilayah Syria Dua Kali Ganda Saiz Gaza

Israel Rampas Wilayah Syria Dua Kali Ganda Saiz Gaza

Israel sekali lagi melanggar perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani bersama negara Syria pada tahun 1974, dengan memanfaatkan kelemahan kerajaan Syria yang kini bergolak di bawah pimpinan Presiden Bashar al-Assad.

Tindakan terbaru Israel menyaksikan tentera rejim itu menceroboh kawasan Bukit Golan yang dijajah menuju ke Gunung Hermon di Quneitra, sehingga mencecah 25 kilometer ke arah barat daya Damsyik.

Menjelang petang 9 Disember, Israel dengan sewenang-wenangnya telah merampas wilayah Syria yang hampir dua kali ganda saiz Gaza.

Pencerobohan ini berlaku dalam suasana senyap seribu bahasa daripada masyarakat antarabangsa.

Serangan tersebut turut seiring dengan rampasan 43,000 dunam tanah di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Dalam pada itu, kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bahawa “Bukit Golan akan kekal milik Israel selama-lamanya” mengiringi tindakan agresif Israel terhadap Syria sejak awal pagi Ahad.

Serangan ini mensasarkan pelbagai kemudahan strategik dan ketenteraan milik Syria, termasuk depot senjata, unit pesawat, radar, stesen isyarat ketenteraan, dan pusat penyelidikan saintifik.

Sistem pertahanan udara Syria juga dilumpuhkan sepenuhnya.

Sumber keselamatan yang dipetik oleh Reuters mendedahkan bahawa “pencerobohan tentera Israel ke selatan Syria telah mencapai jarak kira-kira 25 kilometer dari ibu kota Damsyik.”

Tambahan pula, satu lagi sumber keselamatan Syria mengesahkan bahawa tentera Israel telah sampai ke kawasan Qatana, kira-kira 10 kilometer dari zon penampan yang memisahkan Bukit Golan yang dijajah dengan Syria.

Dalam pada itu, Pertahanan Awam Syria mengumumkan bahawa mereka berjaya memadamkan kebakaran di Damsyik akibat serangan Israel terhadap pusat penyelidikan di pinggir bandar tersebut.

Mereka turut mengesahkan bahawa “tiada bukti kehadiran asap toksik yang luar biasa dikesan semasa operasi memadam kebakaran,” serta “tiada kes lemas dilaporkan dalam kalangan orang awam.”

Radio tentera Israel mengesahkan bahawa pihak mereka telah memusnahkan pelbagai kemudahan strategik di Syria bagi menghalang pihak penentang daripada mendapat akses kepada aset-aset tersebut.

“Kami telah memusnahkan keupayaan tentera Syria dalam operasi udara terbesar yang pernah dilakukan dalam sejarah kami,” kata jurucakap tentera Israel.

Radio itu juga menambah bahawa “operasi tentera masih dijalankan hanya di zon penampan, kira-kira 30 kilometer dari Damsyik.”

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Majed Al-Ansari, menyeru “semua pihak di Syria untuk bersama-sama menjaga kesatuan wilayah Syria.”

Beliau turut mendedahkan bahawa “perbincangan antarabangsa sedang berlangsung mengenai Syria, dan Qatar terlibat dalam usaha tersebut.”

Perkembangan pantas di Syria ini tidak dapat dipisahkan daripada perubahan besar yang melanda Asia Barat sejak bermulanya Operasi Al-Aqsa Flood.

Syria kini menjadi sasaran intensif Israel yang menyasarkan Paksi Penentangan, seiring dengan serangan ke atas tentera Syria.

Namun, persoalan utama masih belum terjawab: Adakah pencerobohan ini sekadar permulaan kepada rancangan lebih besar untuk menduduki keseluruhan Syria?

Jawapannya mungkin akan terungkai dalam hari-hari mendatang.

Syria