Presiden Interim Syria, Ahmad al-Sharaa kini dalam rangka lawatan ke Amerika Syarikat dan akan menandatangani pelbagai perjanjian dengan Amerika Syarikat.
Sebagai habuan pertama; Amerika Syarikat dan Majlis Keselamatan PBB menarik balik senarai pengganas ke atas Presiden Interim Syria dan Menteri Dalam Negeri.
Beberapa sumber mendedahkan bahawa antara perjanjian yang bakal dimeteraikan di Rumah Putih, Washington DC ialah:
- Kerjasama ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Syria.
- Syria akan membenarkan Amerika Syarikat menempatkan tenteranya di salah satu pengkalan tentera di Damsyik.
- Tentera penjajah regim Zionis Israel akan berundur dari sebahagian Bukit Golan.
- Penarikan balik sekatan ekonomi (Ceaser Act) yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas Syria.
Ia adalah lanjutan pertemuan dan perbincangan antara pemimpin kedua-dua negara pada bulan Mei lepas di Riyadh, Arab Saudi pada Sidang Kemuncak Negara-Negara Teluk (GCC)-Amerika Syarikat yang menyaksikan pengumuman Donald Trump untuk menarik balik sekatan ke atas Syria.
Kebenaran untuk menggunakan pengkalan tentera udara di Damsyik, Syria serta lain-lain lagi kerjasama ketenteraan memberikan banyak kelebihan kepada tentera Amerika Syarikat serta ‘tuannya’ Zionis Israel bagi menghadapi kemungkinan perang dengan Republik Islam Iran mahupun Hizbullah di selatan Lubnan yang kini dijangka bakal berlaku pada bila-bila masa.
Sebagai timbal balas, Syria mestilah menerima normalisasi dengan negara haram Israel.
Jika ianya berlaku maka ia akan melengkapkan ‘buffer zone’ keselamatan di sekeliling negara haram Israel kecuali Lubnan.
Penarikan balik sekatan ekonomi ke atas Syria akan memberi peluang kepada Amerika Syarikat menjarah hasil buminya khususnya di wilayah timur laut Syria yang kaya dengan hasil petroleum.
Manakala aspek politik dalaman negara haram Israel pula, tekanan ke atas Benjamin Netanyahu begitu kuat daripada kumpulan ekstrimis Yahudi supaya mengekalkan penguasaan ke atas keseluruhan Bukit Golan serta meneruskan lagi agenda peluasan sehingga ke ibu negara Syria, Damsyik.
Sehingga kini, regim Zionis Israel membina sekurang-kurangnya 10 buah pos dan pengkalan tentera kekal khususnya di wilayah selatan Syria di mana salah satu pos di Tulul al-Humr hanya 40km daripada bandar Damsyik.
Perubahan politik yang berlaku di Syria adalah anugerah paling besar kepada Imprealisme Barat serta Zionis Israel yang bakal merubah landskap politik Asia Barat.
Cabaran paling besar kepada Amerika Syarikat ialah mengawal kumpulan ekstrimis Yahudi yang begitu tamak dan mahu agenda peluasan Israel-Raya diteruskan.
Manakala bagi Amerika Syarikat pula, kejayaan ‘penjajahan’ ke atas Syria adalah anugerah yang paling berharga.
Sebagai perbandingan, penjajahan Amerika Syarikat ke atas Iraq mengorbankan ribuan anggota tenteranya, manakala ‘penjajahan’ ke atas Syria diperolehi secara percuma.
Ini adalah kejayaan luar biasa kepada pentadbiran Donald Trump.
Perkembangan yang berlaku menimbulkan pelbagai spekulasi khususnya tindakan yang bakal diambil oleh rakyat Syria yang tidak bersetuju dengan langkah normalisasi dengan Zionis Israel.
Apakah Syria bakal menjadi batu loncatan baharu regim penjajah Zionis Israel dan Amerika Syarikat untuk menewaskan ‘Axis of Resistant’ khususnya Iran dan Hizbullah atau bakal menjadi kubur buat regim penjajah Zionis Israel serta hegemoni Amerika Syarikat di Asia Barat?
Apa yang pasti, sejarah bakal berulang bahawa Syria atau Syam akan menjadi titik penting kepada pembebasan Baitul Maqdis.
Masa akan menentukan bakal muncul mereka yang sebenar-benarnya akan memikul amanah di atas.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat.
