Penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini yang memihak kepada Sabah dalam tuntutan hak 40 peratus hasil bersih negeri itu membuka semula perdebatan lama tentang keadilan fiskal dan ketempangan sistem federalisme Malaysia.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, YB Haji Mohd Hasnizan Harun, keputusan mahkamah tersebut bukan sekadar kemenangan Sabah, tetapi “cermin kepada kecacatan struktur kewangan dan hubungan pusat-negeri yang telah dibiarkan hampir setengah abad.”
Beliau menjelaskan bahawa isu utama bukan sekadar jumlah wang, tetapi kegagalan memahami konsep fiskal perlembagaan.
“Apabila Perdana Menteri berkata ‘RM10 bilion dikutip, RM17 bilion diberi semula kepada Sabah,’ itu bukan jawapan tetapi tanda kekeliruan fiskal.
“Dua akaun telah dicampuradukkan, akaun perbelanjaan pusat dan akaun hak negeri,” tegas beliau.
Beliau mengibaratkan kekeliruan itu seperti majikan yang menganggap pembelian cat dan lampu pejabat sebagai ganti gaji pekerja.
“Itu hanya kos operasi, bukan gaji tertunggak,” katanya.
Keadilan Wilayah yang Tempang
YB Haji Hasnizan turut menegaskan bahawa ketidakadilan fiskal telah menjadi punca utama jurang pembangunan antara negeri.
Dalam Belanjawan 2025 dan 2026, katanya, pola ketidakseimbangan semakin jelas, negeri pengeluar hasil seperti Terengganu, Kelantan, dan Sabah menerima peruntukan kecil berbanding negeri yang bukan pengeluar tetapi lebih strategik dari sudut politik.
Sebagai contoh, beliau menyebut bahawa Kelantan hanya menerima RM3.19 bilion, Terengganu RM1.836 bilion, manakala Pulau Pinang menerima RM2.5 bilion, tetapi di luar angka itu mendapat pula projek mega seperti LRT Mutiara Line bernilai RM16.8 bilion, serta tambahan projek infrastruktur bernilai hampir RM1 bilion.
“Negeri pengeluar minyak menunggu lebuh raya siap; negeri industri kecil menikmati sistem rel moden bertaraf dunia. Siapa sebenarnya dimanjakan?” soal beliau secara sinis.
Beliau turut mengkritik kelewatan projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang masih dalam kajian walaupun pelan lengkap telah siap sejak 2022.
Dalam masa yang sama, potensi Pelabuhan Kemaman sebagai hab eksport nadir bumi (REE) juga terbiar tanpa pelaburan strategik walaupun Terengganu mempunyai simpanan lebih 7 juta tan metrik REE, antara yang terbesar di negara ini.
Dasar Pusat Serap Hasil, Negeri Terpinggir
Menurut YB Hasnizan lagi, negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak bukan miskin kerana lemah mentadbir, tetapi kerana hasil mereka diserap oleh dasar fiskal pusat tanpa pulangan setara.
“Bila hasil bumi dikutip oleh pusat dan projek mega disalurkan ke negeri lain, ketidakseimbangan ini akan kekal turun-temurun,” jelas beliau.
Beliau menambah, sistem federalisme Malaysia kini hanya mengagih kuasa, bukan hak.
Sabah dan Sarawak masih menunggu pelaksanaan hak 40 peratus mereka, manakala negeri-negeri Melayu Pantai Timur pula dilayan seolah-olah penerima ehsan, bukan rakan setara dalam Persekutuan.
Amanah dan Keadilan Menurut Islam
Dalam menyentuh perspektif Islam, YB Hasnizan mengingatkan bahawa keadilan bukan soal ihsan, tetapi soal amanah. Beliau memetik firman Allah kepada Nabi Daud AS:
يَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلْنَـٰكَ خَلِيفَةًۭ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱحْكُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ
“Wahai Daud, Kami lantik engkau sebagai pemimpin di bumi. Maka berilah keputusan dengan adil dan jangan ikut hawa nafsu.” (Surah Sad: 26)
“Bila hak negeri diagih secara tempang, yang miskin bukan gagal tetapi ditahan daripada berkembang.
“Kalau Sabah yang haknya tertulis dalam Perlembagaan pun boleh disilap tafsir, apa nasib negeri lain yang hanya bergantung pada janji Putrajaya?” katanya menutup kenyataan.
Dengan penghakiman yang memihak kepada Sabah ini, persoalan besar kini bukan lagi sama ada kerajaan pusat mampu membayar, tetapi sama ada kerajaan benar-benar faham dan menghormati prinsip keadilan fiskal yang dijamin oleh Perlembagaan dan dituntut oleh agama.
