Israel kini menjajah kawasan seluas 370 kilometer persegi di Syria, seperti yang disahkan oleh media Israel.
Perluasan kawasan jajahab ini menjadikan rejim Zionis secara haram menguasai tanah Syria yang lebih besar daripada saiz Semenanjung Gaza yang terkepung, walaupun kawasan ini jauh kurang berpenduduk.
Pada Selasa, wartawan di lapangan melaporkan bahawa infantri Israel telah mara ke beberapa kawasan kejiranan di bandar Hader, wilayah Quneitra di barat daya Syria.
Menurut saluran berita televisyen Israel, i24 NEWS, pasukan darat Israel telah memusnahkan tapak dan aset ketenteraan tentera Syria di selatan negara itu.
Saluran tersebut melaporkan bahawa aktiviti ini “telah diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkenaan memandangkan misi yang sensitif,” dan ia dilaksanakan dengan bantuan batalion berperisai yang dikerahkan di kawasan itu serta pejuang infantri.
Maklumat ini turut disahkan oleh pasukan tentera penjajah Israel, menurut saluran tersebut.
Wartawan tentera Israel, Yinon Shalom Yitah, menyatakan bahawa operasi itu menyasarkan infrastruktur ketenteraan milik tentera Syria yang ditemui di kawasan tersebut.
Sejak kejatuhan kekuatan presiden Syria, tentera Israel terus memperluas kawasannya di negara Arab itu, termasuk menjajahi Jabal Sheikh (Gunung Hermon) dan zon penampan di Bukit Golan Syria yang diduduki.
Kini, pasukan penjajah berada hanya 15 kilometer dari lebuh raya antarabangsa antara Damsyik dan Beirut.
Tambahan pula, Israel telah menguasai sumber air tawar yang paling penting di selatan Syria, terutamanya di sepanjang Sungai Yarmouk.
Sumber air ini selama beberapa dekad menjadi nadi kehidupan rumah tangga dan perniagaan di Syria yang bergantung kepada bekalan air bersih.
Serangan berterusan tentera Israel ke atas kedudukan ketenteraan Syria bertujuan untuk melumpuhkan keupayaan tempur negara itu.
Tentera Israel melaporkan bahawa serangan mereka sejak beberapa hari lalu telah “merosakkan sistem pertahanan udara Syria dengan teruk,” menghancurkan “lebih 90% peluru berpandu permukaan ke udara strategik.”
Pada masa yang sama, pasukan penjajah Israel terus melakukan pencerobohan darat ke selatan Syria, memperluas kawalan mereka ke atas kampung-kampung baru di sepanjang sempadan dengan Lubnan.
Sumber tempatan melaporkan bahawa tentera penjajah telah membawa masuk peralatan kejuruteraan ke lereng Jabal Sheikh untuk menggali parit dan menghalang sebarang kemungkinan hubungan dengan wilayah Lubnan.
Menurut sumber yang sama, kawasan ini disebut sebagai “jurang” kerana ia pernah menjadi laluan bekalan utama untuk gerakan mujahiddin Lubnan, Hizbullah, sebelum 2011.
Semasa perang terakhir dengan Lubnan, rejim penjajah Israel cuba menghalang akses Hizbullah ke kawasan ini.
Namun, pakar ketenteraan percaya bahawa Hizbullah kini tidak lagi bergantung kepada laluan darat dengan Syria untuk mendapatkan senjata.
Semasa perang dua bulan dengan Israel, dron Hizbullah terbukti menjadi senjata paling berkesan dalam mengelak sistem pertahanan udara Israel seperti Iron Dome.
Serangan dron Hizbullah telah menyebabkan sekitar 100 tentera Israel cedera di sebuah kem latihan Unit elit 8200 di bandar Binyamina.
Malah, dron ini juga dipercayai bertanggungjawab merosakkan kediaman Perdana Menteri Israel ketika perang berlangsung.
Bekalan dron Hizbullah dipercayai dihasilkan secara tempatan, menunjukkan keupayaan gerakan itu untuk mengeluarkan lebih banyak UAV dengan pantas bagi mengisi semula stok senjata mereka.
Selain itu, Hizbullah juga diyakini telah memperoleh pengetahuan ketenteraan untuk menghasilkan peluru berpandu jarak pendek, sederhana, dan jauh secara mandiri, bagi memastikan kedaulatan Lubnan terpelihara.
Penganalisis turut berpendapat bahawa Hizbullah hanya menggunakan sebahagian kecil peluru berpandu jarak jauhnya, seperti yang terlihat pada hari-hari terakhir perang ketika Tel Aviv diserang dengan peluru berpandu secara meluas.
Kesemua ini menunjukkan bahawa kabinet Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah memanfaatkan kelemahan kerajaan sementara Syria untuk terus memperluaskan penjajahan haram mereka.
Pada Ahad, rejim penjajah memutuskan untuk menggandakan populasi penempatan haram di Bukit Golan Syria yang diduduki.
Pelbagai alasan seperti menghalang laluan bekalan kepada Hizbullah dilihat sebagai helah untuk merampas dan menganeksasi lebih banyak tanah Syria secara haram.