Terengganu Zahirkan Komitmen Tertinggi Dalam Amar Makruf Nahi Mungkar

Terengganu Zahirkan Komitmen Tertinggi Dalam Amar Makruf Nahi Mungkar

Baru-baru ini, Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi secara jelas menyatakan sokongan penuh Terengganu kepada fatwa Negeri Johor yang melarang umat Islam di Johor dari menyertai perayaan ritual agama lain.

Jelas beliau lagi, atas nama toleransi beragama, bukanlah bermakna kita, umat Islam mesti turut serta dalam perayaan ritual agama mereka.

Apatah lagi fatwa itu telah mendapat perkenan oleh Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim, sebelum baginda menjadi YDPA lagi pada tahun 2023.

Demi untuk menjaga kesucian agama Islam, umat Islam mesti tahu garis pemisah antara perkara yang boleh membawa masalah kepada akidah antaranya ialah menyertai bersama ibadat mereka.

Ini adalah jelas haram kerana melibatkan isu kepercayaan kepada Allah yang maha esa.

Tindakan YB Dr Muhammad Khalil ini jelas menunjukkan bahawa, walaupun Terengganu dan Johor mempunyai pentadbiran yang berlainan ideologi, akan tetapi apabila ia melibatkan isu akidah, Terengganu mengenepikan ideologi politik dan menyokong demi kebaikan umat Islam.

Amar makruf (mengajak kepada kebaikan) nahi mungkar (mencegah kemungkaran) adalah sifat wajib bagi para anbiya.

Sifat inilah yang akan membawa manusia kepada syurga dan menghindari mereka dari neraka.

Apa lagi yang tinggal jika PAS yang melaungkan mahu membawakan politik Islam, tetapi gagal menyokong perkara yang baik ini.

Bukan sekali ini Terengganu menyokong Johor dalam perkara kebaikan.

Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III sebagai pentadbir Kesultanan Melayu Terengganu dan bersama Syeikhul Ulama, Tok Ku Paloh, Dato’ Seri Amar Ngah @ Muhammad Yusof dan ramai lagi, telah membuat Undang-Undang Tubuh Negeri yang dinamakan sebagai Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk.

Ia diambil sebahagiannya daripada Undang-Undang Tubuh Negeri Johor yang mana pada Fasal ke-14, menjelaskan bahawa sultan boleh dilucutkan jawatannya jika menyerahkan negeri kepada bangsa Eropah atau asing.

Tindakan bijak dari pemerintah Terengganu ketika itu telah menyebabkan British yang kafir itu gagal mencampuri urusan Terengganu dan menjadikan Terengganu negeri terakhir dijajah British.

Jelas tindakan YB Dr Muhammad Khalil sebagai wakil Kerajaan Terengganu pada saya dilihat sebagai mengulangi prinsip menjaga agama dan negeri oleh Kerajaan Terengganu dahulu.

Dengan sekatan sebegini kita percaya rakyat Terengganu insyaallah akan terpelihara akidah dalam masa yang sama tahu menghormati kepercayaan agama lain.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis