Beberapa hari lalu, negara digegarkan dengan isu penyelamatan syarikat gergasi di Malaysia, Sapura Energy Berhad oleh Kerajaan Malaysia.
Jumlah yang diberikan ialah sebanyak RM1.1 bilion.
Kerajaan tegas mengatakan ia adalah pelaburan strategik, manakala ketika pentadbiran Najib melakukan hal yang sama, ia dipanggil ‘bail out’ oleh lawan Najib.
Apapun gelaran yang diberikan kepada duit rakyat yang dikeluarkan itu, bukanlah sesuatu yang penting.
Berbalahlah kamu dengan definasi itu.
Akan tetapi rakyat mahu tanya, apakah hasil kepada rakyat dengan duit sebanyak itu, hampir menyamai jumlah royalti yang sepatutnya Terengganu dapat.
Apakah istimewanya Sapura sehinggakan dilayan sebegitu rupa, walaupun berkali-kali mengalami kerugian dalam perniagaan mereka?
Sedangkan ia tiada dalam perjanjian wang ‘bail out’ itu mesti diserahkan kepada Sapura.
Sementara wang royalti yang wajib diserahkan kepada Kerajaan Terengganu sebagai kerajaan yang sah dipilih rakyat, dinafikan pula.
Semua persoalan-persoalan ini gagal diberikan jawapan yang tuntas kepada rakyat.
Yang ada hanyalah ugutan demi ugutan dan sekatan berganti sekatan dalam usaha mendiamkan rakyat.
Pembodohan ala Umno, diteruskan PH.
Hal yang hampir sama juga berlaku dalam bidang pendidikan sedikit masa dahulu.
Nasib malang kepada para peminjam PTPTN kerana ada iklan di pintu keluar lapangan terbang, sebagai peringatan, hutang mereka, wajib dibayar walau bagaimana sekalipun, setelah janji-janji penghapusan pinjaman diucapkan sewaktu berkempen, tidak mahu ditunaikan.
Bahkan beberapa universiti awam diisytiharkan rugi ratusan juta. Apakah mereka akan dibantu juga?
Dalam isu tanah wakaf kepunyaan Jakel yang berhasrat membangunkan sebuah masjid di situ, perkara yang hampir sama terjadi.
Samada MIC, DAP, mahupun Dr Ramasamy yang sudah berpatah arang dengan DAP dan MIC, menyambung semula arang itu demi untuk mempertahankan rumah ibadat mereka.
Ditambah lagi dengan kehadiran beberapa Melayu Islam, ia menguatkan lagi pasukan mereka.
PMX secara tiba-tiba memberikan amaran keras terhadap sesiapa yang cuba membangkitkan sentimen agama dalam isu ini.
Entah di mana kenyataan itu dan oleh siapa, kita juga tidak tahu.
Kelihatannya ada sesuatu yang tidak kena, terhidu oleh kita apabila PMX mendakwa hal itu.
Apakah ini hanyalah sebagai cubaan mengalihkan isu Sapura dan lain-lain kegagalan beliau?
Isu tanah wakaf itu bukan dibahaskan dari sudut agama, tiada siapa yang sentuh.
Buatlah sebesar mana sekalipun rumah ibadat yang difikirkan sesuai, tetapi ia mesti mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Ya, inilah isu utamanya, peraturan. Membina bangunan atas tanah orang lain, kemudian menyuruh tuan tanah asal mencari tanah lain.
Dan masalahnya bukan hanya ini, malahan ratusan di tanah lain juga berlaku. Kegilaan apakah ini?
Kebalkah mereka dari undang-undang dan akan terancamkah pula tanah-tanah lain?
Apa gunanya sistem geran sebagai pengesahan hak milik kepada tuan tanah sebenar?
Kalaupun bukan rumah ibadat didirikan, hatta seinci dinding rumah jiran kita yang Islam, dibina melebihi masuk ke tanah kita, kita mempunyai hak penuh untuk melaporkan kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan merobohkannya.
Nampaknya PMX yang sedang bermain politik, mengalih isu dari hak Jakel kepada isu agama.
Adakah kerana mahu menutup isu-isu pelaburan strategik dalam Sapura yang dahulunya mereka lawan?
Atau mengalihkan pandangan terhadap kegagalan-kegagalan lain beliau dalam mentadbir?
Mohd Nasir Abdullah