Antara Kehinaan Politik Umno, PH Terengganu Dan Kemuliaan Politik PAS Terengganu

Antara Kehinaan Politik Umno, PH Terengganu Dan Kemuliaan Politik PAS Terengganu

Baru-baru ini PMX hadir ke majlis berbuka puasa di Negeri Terengganu Darul Iman.

MB Terengganu berserta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut hadir, memeriahkan sambutan terhadap rombongan Kerajaan Pusat.

Setelah itu, PMX telah mengisytiharkan untuk meluluskan peruntukan bagi pemberian bonus kepada seramai 14,000 orang kakitangan Kerajaan Terengganu.

Ibarat ikan belukang yang sedang kelaparan lalu dicampakkan tahi, berebut-rebut dan bertali arus serangan, hinaan, kutukan dan pelbagai lagi yang seertinya respon terhadap berita itu kepada Kerajaan Terengganu kerana tidak mampu menyediakan bonus kepada kakitangannya dan mengharap ihsan Kerajaan Persekutuan bagi menceriakan kakitangan Kerajaan Terengganu. Tidak pandai memerintah, konon kata mereka.

Dalam banyak kutukan, hinaan dan perli dari musuh PAS, ternyata serangan Umno dan PH Terengganu adalah yang teramai.

Kita faham menyerang musuh bila mendapat peluang adalah sesuatu yang amat biasa kepada mana-mana kelompok yang bermusuh.

Namun, ada waktunya serangan yang melampau tidak kira waktu sehingga lupa kepada perkara asas, hanyalah memperlihatkan kebodohan diri.

Isu royalti adalah isu maruah Negeri Terengganu.

Ia bukan hak PAS atau Umno mahupun PH, tetapi hak seluruh rakyat Terengganu secara umumnya.

Hanya sahaja kerajaan dari parti mana yang memerintah yang akan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hasil negeri itu bagi kebaikan maksima dikembalikan kepada rakyat.

Apabila Umno dan PH mentertawakan PAS kerana dihina oleh PMX dengan mempermain-mainkan wang royalti, ia sebenarnya sekaligus menghina rakyat Terengganu.

Akibat dari kejahatan Umno dahulu, rakyat Terengganu merana untuk mendapatkan kembali royalti, sehinggakan Umno sendiri waktu menguasai Terengganu terpaksa melutut kepada Pusat untuk menyerahkan kembali royalti, namun gagal.

Bermula dari 2000 hingga 2009, jumlah royalti yang telah dikeluarkan oleh Petronas ialah sebanyak hampir RM17 bilion. Apa yang berlaku?

Wang itu diserahkan kepada Kerajaan Pusat oleh Petronas. Apabila MB Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said mahu meminta dikembalikan royalti itu, dikenakan syarat.

Antara syarat oleh Pusat ialah keseluruhan royalti yang telah dibayar kepada Pusat itu dikira sebagai royalti kepada Terengganu dan tarik balik saman terhadap Petronas.

Bakinya hanya RM1.6 bilion akan dibayar, kurang RM1.1 bilion dari jumlah yang dituntut Kerajaan Terengganu.

Ingatlah, ini adalah titik wang royalti dipegang Pusat sehingga kini.

Apa yang PAS Terengganu lakukan ketika itu?

PAS menyokong penuh tuntutan oleh DS Ahmad Said kerana tahu itu adalah wang hak milik rakyat Terengganu.

PAS tidak menjadi seperti budak-budak menjelirkan lidah mentertawakan BN kerana gagal mengembalikan royalti ke Terengganu.

Malah PAS Terengganu menubuhkan NGO dan aktif bertanyakan soalan dalam Sidang Dun berkenaan perkembangan royalti, menjelaskan sikap mulia PAS dalam berpolitik.

Umno dan PH Terengganu tidak ada nilai mulia dalam berpolitik, begitu keji kerana sanggup mentertawakan hak rakyat Terengganu.

Berbeza dengan politik Kelantan yang mana Tan Sri Annuar Musa ketika menjadi pembangkang, sanggup bersolidariti bersama-sama Kerajaan Negeri Kelantan bagi menuntut royalti bagi Kelantan.

Begitu juga dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang jelas mempertahankan bahawa royalti adalah hak Kelantan walaupun beliau masih bersama Umno.

Apabila Terengganu diberikan bayaran royalti ketika mula-mula PAS menang pada tahun 2018, PAS telah meluluskan peruntukan sama rata juga kepada Adun-Adun BN yang menjadi pembangkang.

PAS berjaya menunaikan kesemua 20 manifesto yang mereka tawarkan sewaktu berkempen menjadikan Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Dr Sam dicemburui ramai.

Semestinya yang mendapat manafaat dari semua ini, pastinya rakyat terbanyak.

Dan ternyata, Umno dan PH dikuburkan oleh rakyat pada PRU-15 kerana kepercayaan yang tinggi terhadap PAS menguruskan wang.

Sedangkan, tidak satu senpun peruntukan secara rasmi diberikan BN kepada PAS apabila menjadi kerajaan Terengganu.

Demi untuk mematikan langkah mulia membantu rakyat ini, maka Kerajaan Terengganu disekat dari menerima bayaran royalti, setelah PH-BN berkuasa kembali.

Ada yang bertanya, habis, kenapa sewaktu menjadi Kerajaan Pusat selama 33 bulan PN tidak mengubah perjanjian ini?

Ini soalan yang sering diputarkan oleh PH, konon mahu mendiamkan PAS.

Perjanjian sudah ada dan ia telah digunakan selama puluhan tahun oleh Petronas dan negeri-negeri.

Ia tidak perlu dipinda atau ditukar kerana ia adalah sah.

Penafsiran yang asal iaitu Petronas mesti membayar sebanyak lima peratus terus kepada Kerajaan Negeri, itulah yang guna.

Ia juga diperakui sehingga kini oleh Ku Li sebagai Pengerusi Petronas dan mantan Ketua Hakim Negara, allahyarham Tun Salleh Abas ketika perjanjian dibuat.

Masalahnya, perjanjian itu ditafsir dengan salah selepas itu oleh orang yang berniat jahat.

Maka jadilah ia seperti sekarang.

Oleh itu, sikap Umno dan PH Terengganu sebenarnya terlalu hina apabila bukan mahu membantu atau menyokong Kerajaan Negeri Terengganu dalam perjuangan menuntut kembali royalti, hak rakyat Terengganu, malah ditertawakan.

Padahal yang menerima faedah mungkin saudara mara dan rakan mereka juga.

Ibarat seorang yang melihat jirannya yang baik dirompak dan dipukul di depan matanya, dia hanya ketawa dan mengatakan padan muka. Apa jenis manusia perangai begini?

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis