Lidah Pemimpin: Antara Keadilan dan Kezaliman

Lidah Pemimpin: Antara Keadilan dan Kezaliman

Semalam, dengan sepatah kata, PMX telah menamatkan kemelut perbalahan panas isu berkenaan kewujudan kuil haram di atas tanah wakaf masjid milik Jakel.

Begitulah berkuasanya orang yang memegang jawatan eksekutif di sesebuah negara.

Dengan beberapa patah perkataan, ia boleh menentukan keputusan.

Apapun tahniah PMX kerana berjaya menjadi wira penyelamat.

Bertuahlah jika perkataan berkuasa dari pemerintah itu digunakan dengan benar, sebagaimana yang dilakukan PMX dalam kes ini.

Namun pihak kuil kemudiannya mendapat pula durian runtuh dengan menerima sebidang tanah gratis seluas 4000 kaki persegi, 50 meter dari tapak kuil sekarang itu bagi dibangunkan sebuah kuil baharu.

Berapa harga tanah itu, tidak diketahui.

Bertuah pihak kuil pula kerana dengan persetujuan penguasa mereka mendapat tanah percuma, walaupun duduk secara tidak sah.

Dalam isu ini, dua contoh yang dapat kita lihat iaitu pemimpin menggunakan kuasa bagi meleraikan kekusutan dan menggunakan kuasa memberi hadiah kepada pihak yang bersalah.

Jika kita perhatikan, isu ini tidak memerlukan seorang PM atau sesiapa yang berkuasa.

Tidak juga memerlukan cendikiawan atau cerdik pandai lain kerana ia kes yang cukup senang untuk diuruskan di peringkat penguatkuasaan. Ia mudah dan jelas.

Duduk di atas tanah orang, maka kenalah keluar.

Tetapi ia sengaja digembar-gemburkan supaya dlihat berkemelut dan kacau bilau, kemudian PMX jadi penyelamat.

PMX suka memilih ayat yang sesuai.

Apabila berada dalam satu program di Sabah, ada pimpinan Sabah yang dikatakan terlibat dengan rasuah, malah dipuji-puji beliau, tidak dibincang isu rasuah.

Begitu juga bila beliau dengan Presiden Umno, tiada disebutpun isu berkaitan rasuah kerana menjaga hati anak muridnya.

Lim Guan Eng juga masih diihat suci walaupun sudah dua kali masuk mahkamah.

Sayyid Sadiq juga sudah tidak diserang oleh cybertroopers PH kerana Muar akan mencukupkan jumlah dua pertiga PH dalam Parlimen yang mana memudahkan mereka meminda apa-apa akta tanpa bangkangan.

Manakala kepada orang yang dianggap musuh, walaupun belum dibuktikan, PMX menyindir sinis.

Ahli Parlimen Umno yang lain, yang dahulunya sangat membenci PMX, akan menjadi abdi yang hina kerana terpaksa menyokong jika DAP mahu mengubah apa-apa akta.

Jika tidak semua mereka akan dibogelkan dan menjadi tontonan ramai.

Hanya PAS yang begitu kuat bertahan.

Ia tidak lain kerana asas Islam yang diterapkan dalam jiwa ahlinya.

Betapa PAS dihina oleh PH dan BN, tetaplah tidak berganjak menukar sokongan kepada PMX kerana bukan itu kehendak pengundi PAS.

Walaupun susah dan miskin, asalkan tidak tunduk kepada musuh.

PAS ada had dalam mengikut atau berunding, bukan membuta tuli.

Kita hanya tunduk dengan sebenarnya kepada Allah.

Dengan penghinaan kepada rakyat Terengganu berkenaan duit royalti, dapat dilihat bagaimana berkuasanya lidah seorang pemimpin melaksanakan keadilan kepada Jakel dan melakukan kezaliman seperti yang ditunjukkan dalam kes royalti Terengganu.

Ia berada dalam mulut yang sama, hanya tujuannya berbeza.

Mengapa tidak dilakukan keadilan iaitu mengembalikan hak rakyat Terengganu sebagaimana Jakel mendapat kembali haknya?

Dengan rekod yang bersih PAS menjaga harta negeri, apa alasan royalti disekat?

Teringat akan kisah Lukman al-Hakim apabila disuruh memberi daging yang paling baik, maka beliau memberikan hati dan lidah.

Dan apabila diminta dua bahagian yang paling jelek, juga diberikan hati dan lidah.

Kita pastinya sudah melihat dengan jelas bagaimana lidah dan hati PMX berfungsi.

Ingat, jika diperah buah oren, tidak akan keluar air epal, semestinya jus orenlah yang akan keluar.

Bermaksud, apa yang keluar di lidah, ia pasti datangnya dari hati.

Pernahkah Rasulullah menipu atau menyakiti hati mahupun memalukan orang lain?

Tidak, tidak pernah sekalipun kerana hati baginda suci murni dan bersih.

Maka apa yang keluar dari mulut baginda hanya yang baik-baik, bukan pembohongan, bukan juga penghinaan seperti pemimpin yang jahat.

Lihat contoh Rasulullah ketika peristiwa Fathul Makkah, baginda menaiki unta sambil menundukkan kepala baginda tanda tawaduk dan mengumumkan kemaafan kepada semua dan kemudiannya individu yang paling dikendaki juga dimaafkan seperti Ikrimah bin Abu Jahal.

Bandingkan pula sikap dendam kesumat yang jahat oleh musyrikin Mekah apabila mereka menang dalam Perang Uhud dengan terus membelasah sahabat, walaupun sudah kaku tidak bernyawa.

Dapat kita lihat siapa yang mengikut sikap sombong dan dendam.

Ibrah dari Peristiwa Sulh Hudaibiyyah yang mana Rasulullah sabar menerima hinaan Suhail bin Amr yang tidak mahu meletakkan gelaran Rasulullah dalam perjanjian dan baginda memadamkan sendiri.

Sikap sombong Quraisy itu akhirnya memakan diri kerana terpaksa memberi kebenaran umat Islam melaksanakan umrah.

Hampir serupa dengan kes bonus raya, dia berlagak sombong, tetapi akhirnya terpaksa beri juga wang kepada Terengganu.

Mohd​​​​ Nasir Abdullah

Kolumnis