“Kemenangan Apa Yang Mereka Maksudkan?”: Penduduk Israel Bengang Diserang Lagi Oleh Roket Gaza

“Kemenangan Apa Yang Mereka Maksudkan?”: Penduduk Israel Bengang Diserang Lagi Oleh Roket Gaza

Sekali lagi, keadaan panik melanda kawasan selatan wilayah Palestin yang dijajah Israel apabila roket dari Gaza menghujani Ashdod, Ashkelon dan Gan Yavne pada malam Ahad, mencetuskan kemarahan hebat dalam kalangan penduduk penjajah.

Menurut laporan saluran berita Israel, Channel 12, penduduk berang apabila serangan terbaru itu menunjukkan bahawa selepas 18 bulan perang berterusan di Gaza, Israel masih gagal menghentikan tembakan roket daripada kumpulan pejuang Palestin.

Daripada sepuluh roket yang dilancarkan, hanya separuh berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara mereka.

“Sudah setahun setengah perang di Gaza, tapi mereka masih tembak roket ke bandar kami,” luah Uri, seorang penduduk Ashkelon, dalam keadaan kecewa.

“Situasinya sangat tidak masuk akal. Kami masih diserang.

Sudah lebih setahun setengah dan kami masih terpaksa berlari ke tempat perlindungan bom. Kemenangan apa yang mereka maksudkan?!” soalnya penuh sinis.

Seorang lagi penduduk, Rafi, berkongsi detik cemas apabila roket menghentam kawasan berhampiran rumahnya:

“Siren berbunyi, seperti biasa kami lari masuk ke bilik selamat. Belum sempat tutup pintu, letupan berlaku berhampiran. Mujur kami selamat.”

Saluran tersebut melaporkan bahawa serpihan roket turut menyebabkan kerosakan kepada beberapa buah kenderaan di Ashkelon.

Susulan itu, Datuk Bandar Ashkelon, Tomer Glam, menuntut tindakan ketenteraan lebih tegas terhadap Hamas.

Ben-Gvir Mahu Perang Diteruskan

Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, yang sering dikecam sebagai ekstremis sayap kanan, mengulangi komitmennya untuk meneruskan perang yang didukung Amerika Syarikat ke atas Gaza, walaupun dunia semakin lantang menyuarakan bantahan terhadap tindakan Israel.

“Setiap tembakan roket mesti dibalas dengan tindak balas yang keras,” kata Ben-Gvir, sambil menegaskan bahawa Israel tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang serangan ke atas wilayahnya.

Namun begitu, kenyataan keras menteri yang digelar fasis itu hanya membangkitkan lagi persoalan – selepas 18 bulan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, mengapa Israel masih tidak dapat memastikan keselamatan rakyatnya?

Al-Qassam Tuntut Tanggungjawab

Sementara itu, Briged al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas, mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan roket tersebut sebagai tindak balas terhadap siri pembunuhan dan serangan udara oleh rejim Zionis ke atas orang awam Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Pihak tentera Israel sendiri mengesahkan sepuluh roket telah dilancarkan dari Gaza dan hanya lima berjaya dipintas.

Beberapa kecederaan dan kerosakan harta benda turut dilaporkan.

Perang Genosid dan Pengasingan Antarabangsa

Perang Israel ke atas Gaza, yang kini memasuki bulan ke-18, telah meragut lebih 50,000 nyawa rakyat Palestin, majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Tindakan ketenteraan berterusan ini telah menjadikan Israel semakin terasing di peringkat antarabangsa, malah beberapa pemimpinnya kini dikatakan sedang disiasat dan dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Rakyat Israel sendiri kini mula mempertikaikan naratif rasmi kerajaan tentang ‘kemenangan’ yang dijaja, apabila realiti menunjukkan mereka masih hidup dalam ketakutan, masih dibayangi letupan, dan masih bersembunyi dalam bilik keselamatan.

Di sebalik gegak-gempita propaganda ketenteraan, satu persoalan terus bergema dari Ashkelon ke seluruh dunia:

“Kemenangan apa yang mereka maksudkan?”

Israel