Sehari dua ini tak semena- mena media perdana dan medsos menggelegak dengan isu kewajaran untuk TS Tuan Guru Haji Abdul Hadi untuk berehat dan digantikan dengan sosok lain.
Angin tiada menghembus dan menaufan namun sang kera sibuk menggoncang pokok untuk menarik perhatian.
Seolah asap palsu sedang ditiup ganas untuk menutupi satu isu besar tanahair, namun abnaul harakah tak sedungu itu untuk menelan bulat – bulat wayang tinggi avatar politik itu.
Negara ini akan menyaksikan kes mahkamah melibatkan sosok penting negara yang pastinya akan disoroti media antarabangsa.
Presiden PAS yang paling lama berkhidmat dalam gerakan Islam tertua negara ini ini adalah sosok tubuh yang berjasa dalam gerakan Islam dalam dan luar negara.
Namanya besar kepada dalam hirarki gerakan Islam, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang disebut oleh akhbar Mesir adalah pemimpin utama Muslim Brotherhood.
Dikejarkan ke Institut Jantung Negara Kuala Lumpur kerana sedikit keuzuran dan rakyat mendoakan ilmuan ini agar sembuh untuk terus menebarkan ilmu dan memimpin ummat.
Setahun ini kelihatan kesihatan murabbi ummah ini agak tak stabil namun akalnya terus diperah semaksima mungkin untuk mentarjih jamaah, menulis setiap masa untuk mencerahkan akal ummah.
Ada masanya, Ayah Chik berehat dikatil Hospital yang sepatutnya Ayah Chik berehat seketika daripada kepadatan program, namun digunakan untuk terus memerah akal dan menghasilkan tulisan yang mencerahkan tentang politik Asia Barat, isu kontemporari dalam dan luar negara, isu pemberdayaan gerakan Islam serta kritikan sosial yang menimbulkan kemarahan sang pembenci.
Anak didik Ikhwanul Muslimin ini tak lelah mengusung komputer bimbit ke mana sahaja termasuk ke IJN!
Itulah karektor sebenar Ayah Chik yang aku kenali dan kalian kenali, namun para pembenci tak pedulikan itu semua kerana mereka sudah mewarnakan hitam pada apa sahaja berkaitan dengan tuan guru.
Lihat sahaja komen-komen toksid di portal MalaysiaKini serta portal bernuansa liberal pragmatis terhadap Presiden PAS ini.
Tidak bersahabat malah seperti orang gasar watak kelakunya, menghujam Ayah Chik kerana ketegasan beliau menjaga kemuliaan Islam.
Tuan guru dengan sikap pemaaf dan tak peduli akan kecaman para pembenci terus bergerak kemana sahaja, turut diheret jasadnya, sekali dengan ilmu yang akan keluar daripada akal dan mulutnya.
Masa lapangnya dipadatkan untuk menulis buku dan membaca.
Hampir seratus buah buku yang telah ditulis termasuk dalam bahasa Arab, satu pencapaian besar sebagai ilmuan dan mufakkir islam.
Aku pernah menjadi saksimata bagaimana tekunnya sang ulama ini menulis dan melakar aksara walau dalam ruang masa terbatas.
Dalam satu pemusafiran ke Afrika Utara bersama beliau enam tahun lepas, dimanfaatkan setiap masanya didalam penerbangan untuk menulis.
Tidak pelik akalnya tajam mengingat fakta dan analisa kerana beliau merencah kehidupannya dengan membaca dan menulis.
Penulis ialah insan yang lumayan pahala kata Buya Hamka, saat sang penulis tidur sekali pun, pahala tetap mengalir.
Tiada Yang Di-Pertua PAS atau Presiden PAS yang paling menggebu dalam bidang penulisan seperti Ayah Chik, dalam dekad 50an dan 60an, PAS memiliki pemimpin berjiwa ilmuan iaitu Professor Dr Burhanuddin al Helmy, juga Timbalannya yang juga penulis hebat iaitu Professor Zulkifli Mohamad.
Bahan penulisan akan kekal dibaca dan menjadi rujukan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain.
Banyak juga buku-buku lama Ayah Chik diberi nafas baru oleh penerbit baru, industri buku tidak lagi meriah namun jualan buku secara maya masih lagi rancak.
Ayah Chik dalam kelasnya yang tersendiri, jangan kita samakan pimpinan gerakan Islam dengan parti konvensional.
Kita bangga melihat Sheikh Ahmad Yasin yang lumpuh dan kerkerusi roda memimpin HAMAS, kita bangga dengan Sheikh Rashid Ghanousi yang menakhodai an Nahdah, kita menjulang Hasan al Banna yang berhujung nyawa sebagai pemimpin dengan tembakan senjata api, namun terikut-ikut dengan rentak musuh yang mahu Tuan Guru berehat daripada memimpin.
Ironinya, Ayah Chik lebih berenergi dalam berbanding dengan diri kita sendiri.
Seluruh hidupnya diwakafkan untuk perjuangan Islam dan dakwah, beliau figura antarabangsa yang dimiliki oleh negara kita walaupun diterjang tanpa henti oleh pembencinya sepanjang zaman.
Dia tak lelah menyampaikan ilmu dan terus mencari ilmu, walau sesibuk mana sekali pun menggalang jawatan penting dalam parti dan kerajaan.
Saat belahan negara Arab sedang dibadai fenomena Arab Spring, pandangan beliau dipinta oleh tokoh-tokoh besar gerakan Islam di Timur Tengah.
Bagaimana harus untuk gerakan Islam memanfaatkan ruang untuk berpencak dipentas demokrasi persaingan kuasa, mengurangkan intriq antara pesaing dan juga memicu perubahan dalam ruang demokratik yang dibenarkan.
Ikhwanul Muslimin akhirnya menubuhkan sayap politiknya, FJP serta berjaya mengadakan pemuafakatan politik dengan parti-parti yang lain.
Nasihat Sheikh Abdul Hadi umpama ketulan-ketulan emas pengalaman yang sangat bernilai kerana PAS yang dipimpin oleh beliau telah memasuki dekad ke tujuh bertarung di medan persaingan kuasa.
PAS yang dinakhodai oleh Ayah Chik yang dikira perlu berehat juga menjadi parti paling ramai mempunyai Anggota legislatif, 147 ADUN dan juga 43 Ahli Parlimen.
Semua pihak bersetuju menyatakan PAS adalah parti masa hadapan, paling berstruktur serta paling berdisiplin.
Apa yang abnaul harakah serta warga Malaysia perlu belajar daripada Ayah Chik, Presiden PAS yang cuba dinaratif gelap kan sebagai uzur?
Pertama ialah, bagaimana masa dan kehidupan perlu diuruskan dengan sebaik mungkin kerana masa kehidupan adalah modal yang akan kita semua akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah.
Seorang pemimpin organisasi, ahli-ahli tetap, juga masyarakat awam mempunyai masa yang sama dalam sehari, namun bagaimana untuk menguruskan masa semoga menjadi ketulan zamrud yang bermanfaat kepada ummat.
Kedua, tiada istilah lelah, malas, putus asa dalam melaksanakan amanah serta obsesi dalam kehidupan ini.
Ketiga, hidup yang singkat ini mesti berpegang kuat dengan nilai ukhrawi, solat berjemaah, membaca Al Quran, menggandakan ibadah sunat, obses dengan belajar dan mengkaji, menyintai organisasi dengan menumpahkan seluruh kerehatan demi menjayakan cita-cita perjuangan.
Mengapa perlu berehat sedangkan figura ini masih dalam senarai 500 Muslim paling popular di dunia, negeri pengkalan pengaruhnya iaitu Terengganu berjaya membenam Umno BN sehingga nol kerusi.
Fenomena Tuan Guru dalam dekad 1980an paralel dengan kebangkitan semula Islam diseluruh negara, menjadi transformasi sosial sehinggalah PAS juga terkesan dengan peralihan kepimpinan ulama.
Beliau adalah ulama alam Nusantara yang berjaya menghasilkan tafsir Al Quran yang dikenali sebagai tafsir at Tibyan.
Terbukti walaupun lebih empat dekad memegang pelbagai jawatan legislatif dan eksekutif namun Ayah Chik bukan pelahap harta.
Pernah ‘discrut’ untuk melihat apa yang beliau miliki serta rangkaian hartanya, namun ternyata beliau lelaki Melayu sederhana yang tinggal di rumah kampongnya di Rusila Marang.
Ramai yang tak tahu, keturunan Ayah Chik iaitu datuknya ialah pedagang yang mudik ke Tanah Jawa dan Siam untuk berniaga bersama Tuan Guru Haji Abdul Rahman pada awal abad ke 20.
Ummah dan abnaul harakah masih memerlukan bimbingan serta navigasi dalam berorganisasi daripada Ayah Chik.
Tiada keperluan untuk berehat buat masa ini kerana gerakan Islam meletakkan kepimpinan kolektif dalam menguruskan serta pemberdayaan organisasi.
Ahli-ahli PAS hanya wajib memilih sekumpulan pemimpin yang integral, padu antara karisma, bakat, ilmu dan kompetensi untuk mendokong Presiden parti paling tersusun ini.
Bahtera PAS tak boleh disamakan dengan parti konvensional yang lain, dengan berada pada garis paling hadapan mengapa pihak musuh memainkan naratif PAS perlu menukar nakhoda.
“Demo tak kenal barey” ungkap Orang Besut, wilayah agrarian untuk menyorot manusia yang tak mengenali kaca atau permata.
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
(Penulis adalah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)