Perang Gaza Melemahkan Tentera Israel

Perang Gaza Melemahkan Tentera Israel

Peningkatan mendadak dalam jumlah kecederaan anggota tentera rejim penjajah Israel kini memberi kesan besar terhadap ekonomi dan masyarakat rejim itu.

Akhbar berbahasa Ibrani, Yedioth Ahronoth, mendedahkan bahawa sejak 7 Oktober 2023, lebih 18,500 askar Israel telah cedera, dan beribu-ribu daripada mereka mengalami trauma psikologi yang teruk.

Akhbar itu menganggarkan bahawa jumlah tentera yang cedera boleh mencecah 100,000 orang menjelang tahun 2028.

Berdasarkan maklumat dan data yang dikutip daripada “Kementerian Pertahanan” rejim, ramai daripada tentera yang tercedera ini bukan sahaja meninggalkan perkhidmatan tentera, malah turut berhenti daripada pasaran tenaga kerja.

Ini bermakna kesan kecederaan mereka tidak hanya terbatas kepada sektor ketenteraan, tetapi turut memberi implikasi besar kepada ekonomi dan struktur sosial Israel secara keseluruhan.

Laporan itu turut menyatakan bahawa hampir separuh daripada tentera yang dijangka cedera dalam tempoh beberapa tahun akan datang akan mengalami masalah kesihatan mental, khususnya Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD).

Yedioth Ahronoth juga menyatakan bahawa unjuran jumlah kecederaan yang asalnya dijangka berlaku menjelang tahun 2030 kini diawalkan ke tahun 2028, disebabkan oleh lonjakan kes trauma mental yang sangat tinggi.

Keadaan ini telah memaksa pihak berkuasa rejim Israel menyemak semula sistem, bajet dan pelan rawatan mereka.

Perkembangan ini berlaku ketika Tentera Penjajah Israel (IOF) mengesahkan seorang lagi tenteranya terbunuh dan sekurang-kurangnya sembilan lagi cedera dalam pertempuran di selatan Gaza, termasuk beberapa dalam keadaan kritikal.

Media Israel melaporkan bahawa kecederaan tersebut berpunca daripada dua insiden berasingan di Selatan Semenanjung Gaza.

Antara yang cedera, tiga dilaporkan dalam keadaan amat kritikal, manakala empat lagi mengalami kecederaan serius dalam apa yang digambarkan sebagai “insiden keselamatan” di Khan Younis.

Ini susulan pengakuan IOF bahawa seorang pegawai dan seorang askar daripada unit peninjau telah mengalami kecederaan serius dalam satu kejadian lain semasa pertempuran di Rafah.

Menurut siaran penyiar rasmi rejim itu, komander Batalion Peninjau Gurun turut cedera bersama seorang pegawai dan seorang askar lain akibat letupan alat peledak buatan (IED) di pintu terowong zon penampan berhampiran Rafah.

Sehari sebelumnya, IOF mengumumkan bahawa seorang pegawai teknologi dan penyelenggaraan serta seorang askar daripada Briged Golani terbunuh dalam pertempuran di selatan Gaza.

Menurut laporan media Ibrani, Hamas telah meletakkan alat peledak pada kenderaan perisai Namer di Khan Younis, menyebabkan ia terbakar dan mengakibatkan kematian.

Israel