Ulamak Haraki Dan Talaqqi

Ulamak Haraki Dan Talaqqi

Terlebih dahulu saya harus menyatakan saya bukan ulamak, tetapi berminat dan sering kritis dengan pandangan atau perbahasan ulamak.

Jadi apa yang saya tulis ini adalah berdasarkan kepada bacaan dan pendengaran saya daripada nukilan dan ulasan ulamak.

Saya kumpul dan garapkan inti maksud nasihat mereka agar kita mendapat kebaikan.

Isu ulamak Haraki dan Ulamak Talaqqi, almarhum TGNA dah jelaskan dulu ibaratnya dengan sangat jelas dan terang.

Bagaikan mamak jual rempah dengan tukang masak.

Semua rempah mamak ada jual di kedainya, nak buat masak apa, dia boleh carikan, dia boleh campurkan.

Tetapi jika suruh mamak masak supaya sedap, mamak tidak tau, mamak kena serah pada tukang masak juga, sebab mamak hanya jual, mamak tidak pandai masak.

Tukang masaklah yang tahu macamana mahu menjadikan rempah ratus itu dicampur lauk, menjadi sedap.

Kalau kedua-duanya mamak dan tukang masak bergabung, alangkah hebatnya Islam, hormati bidang kelimuan masing-masing.

Almarhum menjelaskan dengan terang, sebarang usaha melalui jalan politik seperti hudud yang masih gagal dilaksanakan adalah berkemungkinan besar kerana tiada ketaqwaan dalam usaha melaksanakannya.

Tetapi walau belum berjaya, kita wajib berusaha sekuat kemampuan kita untuk merealisasikannya.

Ini sangat jelas kerana ketaqwaan adalah ciri utama orang mukmin.

Kemahiran berkomunikasi dengan rakyat yang berbagai peringkat pemikiran, emosi dan masalah bagi merungkaikan masalah sesuatu keadaan, memang memerlukan kemahiran komunikasi dan kesabaran yang tinggi dan tidak semua yang mampu dan terkadang banyak makian dan cacian yang keluar dari perbincangan.

Walau secerdik mana seseorang pimpinan itu, jika dia gagal berhadapan dengan rakyat, maka tiada nilai kecerdikan itu di mata rakyat sebab rakyat mahu suara mereka di dengar kerana merasakan kononnya masalah merekalah yang paling besar berat dan mesti diselesaikan segera.

Di sinilah kita dapat melihat kekuatan ilmu masing-masing dalam mengendalikan masalah.

Sebab itu ada ulamak yang mengatakan perselisihan sesama manusia bukanlah kerana perbezaan pendapat semata-mata.

Tetapi perselisihan atau perpecahan sesama manusia adalah kerana tujuan hidup yang berbeza.

Ada manusia, ilmu dan amalnya tinggi yang bertujuan hanya kerana Allah taala, maka mereka akan menjadi seperti Imam Syafie dan Imam Ahmad yang mempunyai banyak perbezaan ilmu, tetapi tidak berkelahi dan berbalah, malah saling menyokong.

Tetapi dizaman kita, perkelahian isu furu’ itu telah menyebabkan tuduh menuduh sehingga menjadi liar sekali, terkadang bagaikan terkeluar dari agama.

Tidakkah kita pelik, tuan empunya ijtihad berkasih sayang walaupun ijtihad berbeza, tetapi kita pengikut mujtahid pula yang melampau-lampau?

Apa tujuan ilmu dan amal yang kita ada?

Begitulah, jika tujuan hidup kerana perkara selain kerana Allah, maka saksikanlah perbalahan yang tidak berpenghujung walau ilmu setinggi gunung kerana jika manusia berpegang kepada tali Allah, mereka dilarang Allah daripada berpecah belah, seperti yang diseru dalam surah Ali-Imraan.

Maka disebabkan itu jika melalui contoh dari wahyu yang kita tadabbur, perjumpaan para nabi dan rasul, tidak disertai perbalahan, kerana mereka mengetahui mereka berada dalam niat kerana Allah, di jalan yang sama, walau mereka tidak pernah berjumpa mata sebelumnya.

Lihat Musa dan Khidir, tanpa kenal, tetapi kerana tujuannya sama dan akhirnya Musa bersetuju dengan kehebatan Alllah yang diberikan kepada Khidir, walaupun Musa adalah rasul U’lul Azmi.

Dalam surah Yaasin, seorang tukang kayu Habib An-Najar atau Sahib Yaasin datang menyokong seruan tiga rasul kepada kaumnya, malah dibunuh pula oleh kaumnya.

Beliau faham kehendak rasul-rasul pilihan Allah dan sanggup berjuang bersama mereka, walau nyawa jadi ganti.

Beliau tidak berkelahi dengan rasul-rasul itu kerana tujuan mereka sama, iaitu redha Allah.

Jadi kembali kepada persoalan asas, apakah tujuan ilmu dan amal kita di dunia ini sehingga kita sentiasa bertembung, tidak bersetuju, berpecah belah dan yang menjadi mangsa ialah umat terbanyak walaupun masing-masing diakui mempunyai ketinggian ilmu?

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis