Gerakan Haraki Dan Ilmu: Tanggapan, Realiti, Dan Pembelaan

Gerakan Haraki Dan Ilmu: Tanggapan, Realiti, Dan Pembelaan

Saya mendengar dengan penuh perhatian pandangan yang dikemukakan oleh sahabat saya, Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan gerakan haraki dan peranannya dalam melahirkan ulama serta mengurus negara.

Dengan hormat, saya mohon berbeza pendapat.

Saya percaya mungkin terdapat salah faham dalam menanggapi realiti tarbiyah dan struktur ilmu dalam PAS serta gerakan Islam secara umum.

Walaupun niat beliau dinyatakan bukan untuk merendahkan, namun sebahagian kenyataan yang dibuat membawa implikasi besar.

Mesejnya manhaj haraki ini tidak setara dengan disiplin ilmu turath, tidak menghasilkan ilmuwan sebenar, dan tidak berdaya dalam tadbir urus negara.

1. Reduks Ilmu Haraki Kepada Retorik Emosi (𝘚𝘵𝘳𝘢𝘸𝘮𝘢𝘯 𝘍𝘢𝘭𝘭𝘢𝘤𝘺1)

    “Haraki hanya melahirkan penceramah… memainkan emosi…”

    “Usrah itu hanya tempat berlatih ceramah…”

    Ini satu bentuk generalisasi keterlaluan terhadap fiqh haraki yang luas dan bersumberkan turath.

    Ia mencakupi fiqh al-waqi’, siyasah syar’iyyah, tadarruj, maqasid syariah, serta strategi dakwah dan perubahan sosial.

    Ia dibina di atas warisan ilmu, bukan bertentangan dengannya.

    Ini cuba membayangkan seluruh gerakan haraki sebagai anti-ilmu, anti-akademik, menolak pembinaan kepimpinan, dan sekadar tempat berceramah motivasi.

    Itu strawman fallacy. Realitinya, usrah hanyalah salah satu komponen dalam sistem tarbiyyah PAS.

    2. Salah Faham Akauntan = Pakar Ekonomi (𝘍𝘢𝘭𝘴𝘦 𝘌𝘲𝘶𝘪𝘷𝘢𝘭𝘦𝘯𝘤𝘦2 + 𝘊𝘢𝘵𝘦𝘨𝘰𝘳𝘺 𝘌𝘳𝘳𝘰𝘳3)

    “Accountant boleh jaga negara. Tapi kalau pergi usrah, boleh ke urus negara?”

    Ini kenyataan yang tersasar.

    Akauntan bukan pakar ekonomi.

    Kedua-duanya adalah bidang berbeza dengan skill set berbeza.

    Akauntan berperanan dalam pengurusan kewangan mikro seperti menyediakan laporan, audit, kawalan kos, pematuhan undang-undang cukai, dan aliran tunai.

    𝙋𝙖𝙠𝙖𝙧 𝙀𝙠𝙤𝙣𝙤𝙢𝙞 pula menganalisis ekonomi makro termasuk dasar fiskal dan monetari, inflasi, kadar faedah, perdagangan antarabangsa, pertumbuhan ekonomi, dan impak dasar kerajaan terhadap masyarakat secara menyeluruh.

    Lebih jauh dari itu, mentadbir negara bukan sekadar urus ekonomi.

    Ia menuntut kompas moral, kepekaan sosial, kebijaksanaan merangka dasar, bacaan geopolitik, kecekapan diplomasi, kepimpinan pertahanan, keupayaan tangani krisis, dan visi membina peradaban.

    Maka kenyataan seperti ini bukan sahaja mengelirukan, tetapi juga meremehkan cabaran sebenar memimpin negara.

    Semua ini dibentuk melalui tarbiah dan kefahaman Islam yang menyeluruh, dan inilah yang dipupuk dalam tarbiyah haraki.

    Jadi, pergi usrah boleh atau tidak urus negara?

    Sejarah dan realiti PAS di empat negeri telah menjawabnya.

    Yang gagal bukan kerana pergi usrah.

    Yang gagal biasanya kerana tidak pernah dibentuk oleh nilai usrah.

    3. Menjadikan Kejahilan Peribadi Sebagai Hujah (𝘈𝘳𝘨𝘶𝘮𝘦𝘯𝘵 𝘧𝘳𝘰𝘮 𝘐𝘨𝘯𝘰𝘳𝘢𝘯𝘤𝘦4)

    “Tunjukkan satu kitab. Ada tak? Tak ada kitab Tajwid. Dia tak ajar ilmu lisan. Tak ada. Tak ada”.

    Seandainya seseorang tidak melihat atau mengetahui sesuatu, tidak bermakna ia tidak wujud.

    Kenyataan seperti ini bukan sahaja tidak berasas, tetapi mengabaikan puluhan bahkan ratusan karya ilmiah yang lahir daripada gerakan haraki, khususnya dalam PAS.

    Realitinya, ramai aktivis dan pemimpin haraki menulis, mengajar, dan menerbitkan kitab.

    Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, telah menghasilkan lebih 160 buah buku dan risalah ilmiah meliputi pelbagai bidang antaranya sirah, fiqh, siasah syar’iyyah / kenegaraan, tafsir dan tarbiah.

    ▫ – Fiqh al-Harakah Daripada Sirah Nabawiyah

    ▫ – Siri Fiqh Siyasah Khulafa’ al-Rasyidin

    ▫ – Islam dalam Negara Masyarakat Majmuk

    ▫ – Meneladani Kepimpinan Anbiya’

    ▫ – Fiqh Solat: Membentuk Peribadi Muslim

    Syeikh Abdurrahman Habannakah

    ▫ – Nazarat fi Masirah al-‘Amal al-Islami

    ▫ – Ad-Da’wah al-Islamiyyah Faridah wa Darurah

    ▫ – Syakhsiyyah al-Muslim

    ▫ – Makaaid Yahudiyyah

    ▫ – Az-Zuhur an-Nifaq fi Hayat al-Ummah

    Ini belum termasuk karya besar tokoh-tokoh haraki lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Munir Ghadban, Fathi Yakan, Said Hawa dan ramai lagi.

    Ilmu haraki tidak lahir dalam vakum.

    Ia dipacu oleh ratusan ilmuwan dan murabbi yang menggabungkan turath, waqi’, dan tanzil dalam kerangka membina tamadun Islam.

    4.Ilmu Haraki: Lanjutan Bukan Tandingan (𝘍𝘢𝘭𝘭𝘢𝘤𝘺: 𝘈𝘱𝘱𝘦𝘢𝘭 𝘵𝘰 𝘛𝘳𝘢𝘥𝘪𝘵𝘪𝘰𝘯 / 𝘊𝘩𝘳𝘰𝘯𝘰𝘭𝘰𝘨𝘪𝘤𝘢𝘭 𝘚𝘯𝘰𝘣𝘣𝘦𝘳𝘺5)

    “Haraki bukan ilmu. Ia lebih kepada saqafah. Ilmu baru. Kedudukannya di bawah.”

    “Kita kena tahu haraki di mana. Di bawah ya.”

    Semua cabang ilmu dari usul fiqh ke ulum hadis bermula sebagai ilmu ‘baru’.

    Ilmu haraki bukan datang untuk menandingi turath, tetapi melengkapkan dan memanjangkan kefahaman Islam ke ruang masyarakat dan sistem kehidupan.

    Ia menuntut asas fardu ‘ain, keahlian dalam fardu kifayah, lalu berkembang menjadi satu kefahaman strategik untuk membina tamadun dan mentadbir ummah.

    Tokoh-tokoh seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Prof Taha Jabir al-Alwani dan Munir Ghadban membuktikan bahawa haraki bukan ‘ilmu baru’ yang rendah kedudukannya, tetapi cerminan tertinggi terhadap amal Islami yang menyeluruh; menyambung turath dan membumikannya kepada realiti zaman.

    Tanpa haraki, ilmu hanya akan berlegar dalam kitab, tidak menjejak di bumi tempat umat mendambakan solusi.

    5. Bukti Haraki Boleh Mentadbir

    PAS membuktikan kemampuan mengurus melalui tadbir urus 4 negeri, hampir 2,500 pusat PASTI, jaringan SRITI, serta Jabatan Amal yang sentiasa paling pantas hadir ke lokasi bencana seluruh Malaysia.

    Semua ini memerlukan ilmu, applikasi ilmu, kebijaksanaan, dan disiplin bukan sekadar semangat, bukan sekadar ilmu tanpa applikasi.

    6. A-KI-FI-: Ulama Haraki Pembangun Ummah

    PAS menggariskan keperibadian abna’ al-harakah mesti dibina melalui gabungan tiga asas berikut:

    A – ‘Alim

    Seorang yang mengenal Allah (معرفة اللّٰه) dan takut kepada-Nya (خشية اللّٰه), memiliki keluasan ilmu sebagai mutsaqqaf (مثقف) dan kepakaran sebagai mutakhassis (متخصص), serta membudayakan proses belajar, mengajar dan terus menuntut ilmu sebagai seorang yang rabbani.

    Ki – HaraKi:

    Berwibawa dalam memimpin dan komited dalam gerakan dakwah serta perjuangan Islam yang syumul.

    Kepimpinan ini bukan hanya terbatas pada politik pilihan raya, tetapi melangkaui kepada seluruh amal Islami secara berjemaah — meliputi dakwah, tarbiah, kebajikan, penyusunan organisasi (tanzim), dan pembangunan masyarakat Islam yang menyeluruh.

    Fi – SuFI:

    Menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia (ḥablun min Allāh wa ḥablun min al-nās), berdisiplin dalam ibadah dan tazkiyatun nafs, serta membudayakan kehidupan rohani.

    Ibadatnya khusyuk di malam hari, perjuangannya teguh di siang hari (ruhban fī al-layl wa fursān fī al-nahār).

    Saya mengambil sisi positif daripada teguran sahabat saya, Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, dan mengajak seluruh pendukung haraki agar memperkukuh ketiga-tiga elemen ini dengan seimbang, tanpa meninggalkan satu pun daripadanya.

    Penutup: Mengelak Retak, Membina Penyatuan Ummah

    Kita tidak menafikan keikhlasan sesiapa dalam menilai realiti umat.

    Namun, niat yang baik perlu disertai dengan ketelitian terhadap fakta dan keseimbangan dalam menyimpul.

    Menilai gerakan haraki hanya melalui lensa emosi atau pentas ceramah semata-mata adalah reduksi yang tidak adil bahkan boleh merenggangkan hubungan sesama penegak agama.

    Saya mengajak para pendukung haraki untuk terus memperkukuh disiplin ilmu, adab dakwah, dan ketajaman waqi’.

    Kita tidak kebal daripada teguran tetapi biarlah teguran itu menjadikan kita lebih terhormat, bukan lebih retak.

    Semoga ruang dialog antara ‘ulama turath dan ‘ulama haraki terus terbuka, bukan untuk memenangkan label, tetapi untuk memenangkan ummah.

    Kerana musuh sebenar bukan di kalangan kita tetapi di luar sana, menunggu kita bercakaran agar mereka terus berkuasa.

    Nushi Mahfodz

    Kolumnis