Dulu, undang-undang dijadikan senjata.
Sekarang, ketakutan pula dijadikan peluru.
Pernah satu ketika, mereka heret kamu ke mahkamah, timbun kamu dengan pertuduhan, dan biarkan birokrasi yang perlahan itu mengikis hidup kamu.
Hari ini? Mereka tak perlu kertas siasatan.
Mereka hantar mesej dengan penumbuk, bukan fail kes.
Saya pernah hidup dengan kisah ini.
Ayah saya, Raja Petra Kamarudin, pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak dua kali tanpa perbicaraan, tanpa keadilan, hanya kerana kerajaan takut dengan suaranya.
Hidupnya di Malaysia ibarat berulang-alik antara bilik mahkamah dan balai polis.
Malah ibu saya, Marina Lee, juga pernah dimasukkan ke lokap.
Rumah kami? Polis menyerbu sampai saya pun tak ingat berapa kali.
Di dalam tahanan ISA, mereka cuba mematahkan semangat kamu. Mereka asingkan kamu.
Mereka menipu sehingga kamu mula meragui kebenaran diri sendiri.
Pendek kata, mereka cuba mencuci otak kamu.
Tetapi, dengan ayah saya, halnya berlaku sebaliknya.
Dialah yang ‘mencuci otak’ mereka.
Itulah sebabnya mereka takut kepadanya, kerana walau seteguh mana pintu penjara dikunci, kata-katanya tetap berjaya keluar.
Hari ini, ISA sudah tiada. Tetapi cara berfikir itu masih hidup.
Saksi utama Lim Guan Eng, diserang.
Anak Rafizi Ramli, seorang kanak-kanak, diserang.
Ini bukan jenayah rawak. Ini dirancang.
Permainan yang sama, senyapkan suara, takutkan orang lain supaya tunduk.
Kita sudah beralih daripada lawfare (perang guna undang-undang) menggunakan mahkamah sebagai senjata, kepada intimidasi di jalanan.
Kalau tak dapat menutup mulut kamu secara sah, mereka akan menakutkan kamu supaya kamu membisu.
Sama ada ayah saya di balik pagar berduri di Kamunting, atau seorang kanak-kanak yang terbaring berdarah di hospital hari ini, coraknya sama: kuasa digunakan untuk menakutkan, bukan melindungi.
Berapa ramai lagi yang perlu diserang sebelum kita mengakui ada sesuatu yang sangat tidak kena?
Mereka fikir ketakutan akan buat kita diam.
Tetapi ketakutan itu ada dua mata.
Hari rakyat berhenti takut kepada yang berkuasa, itulah hari orang berkuasa mula takut kepada rakyat.
Anak-anak kita adalah garis sempadan!
Raja Sara Petra
