Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa umat Islam hari ini sedang melalui ujian yang amat berat dengan berlarutannya kezaliman rejim Zionis di bumi Palestin, namun beliau menegaskan bahawa perjuangan rakyat Palestin tetap tidak akan luntur biarpun dihadapkan dengan penderitaan tanpa noktah.
Dalam perutusan khasnya sempena Himpunan & Flashmob Solidariti Sumud Flotilla di perkarangan Masjid Rusila, Marang, Hadi menggambarkan penderitaan rakyat Palestin sebagai siri kezaliman yang berterusan, mereka dihalau dari tanah air sendiri, dibunuh tanpa belas kasihan, rumah-rumah kediaman dirobohkan, serta tanah suci dirampas dengan rakus.
Namun, kata beliau, rakyat Palestin tidak pernah berundur atau menyerah kalah.
“Setiap generasi yang lahir di Palestin membesar dengan jiwa seorang pejuang.
“Setiap anak yang membesar di bumi itu menghirup udara perjuangan, mewarisi semangat mempertahankan tanah air, kerana mereka sedar Palestin bukan sekadar tanah tetapi merupakan maruah dan aqidah umat Islam,” ujar beliau di hadapan ribuan yang hadir.
Hadi menjelaskan bahawa perjuangan ini tidak lahir dalam ruang kosong, sebaliknya ia adalah kesinambungan panjang sejarah Islam.
Beliau menyingkap kembali perjalanan para Nabi terdahulu yang dikaitkan dengan bumi Palestin, bermula dengan Nabi Musa A.S. yang membawa Bani Israel dari belenggu Firaun, Nabi Daud A.S. dan Nabi Sulaiman A.S. yang memakmurkan bumi dengan kerajaan berteraskan wahyu, hinggalah zaman kegemilangan Khalifah Umar al-Khattab R.A. yang membuka Baitul Maqdis dengan keadilan Islam.
“Perjuangan ini bukanlah episod baharu, ia adalah rentetan sejarah panjang yang menjadi amanah kita.
“Baitul Maqdis bukan sahaja bumi fizikal, tetapi ia adalah simbol iman dan keyakinan bahawa Islam akan kembali gemilang dengan keadilan,” tegasnya.
Beliau menambah bahawa Allah SWT sendiri telah memberikan jaminan bahawa cahaya Islam tidak akan pernah padam walau cuba dipadamkan oleh musuh-musuh.
Justeru, kewajipan umat Islam di seluruh dunia ialah menyertai perjuangan rakyat Palestin, jika tidak dengan senjata, maka dengan jiwa, dengan doa, dan dengan harta.
Kenyataan Abdul Hadi Awang itu hadir seiring dengan gelombang solidariti antarabangsa susulan insiden Global Sumud Flotilla yang diserang dan dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa awal minggu ini.
Konvoi lebih 40 kapal dari seluruh dunia membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis keamanan, termasuk rakyat Malaysia, telah menjadi sasaran rampasan rejim Zionis.
Himpunan di Masjid Rusila yang dihadiri oleh pimpinan PAS, NGO kemanusiaan serta orang ramai itu memperlihatkan kesatuan suara umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
Bendera Palestin dikibarkan megah, laungan takbir berselang-seli dengan seruan “Free Palestine” menggema di udara, memberi gambaran bahawa walau ribuan kilometer terpisah, denyut nadi umat Islam di tanah air tetap berpadu bersama rakyat Gaza.
Menurut pemerhati, ucapan Abdul Hadi Awang meneguhkan kembali naratif bahawa isu Palestin bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi ia adalah isu akidah, peradaban dan maruah umat Islam seluruh dunia.
“Palestin adalah garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan.
“Sesiapa yang bersama perjuangan Palestin, mereka sedang menegakkan kebenaran.
“Sesiapa yang berdiam diri atau menyebelahi Zionis, mereka sedang berdiri di pihak kebatilan,” katanya lantang.
Beliau turut menyeru umat Islam untuk memperkukuhkan solidariti dalam bentuk gerakan massa, tekanan diplomatik, kempen kesedaran serta bantuan berterusan.
Katanya, perjuangan ini adalah tugas kolektif umat, bukan sekadar tanggungjawab Palestin seorang diri.
Himpunan tersebut diakhiri dengan doa wehdah, memohon kekuatan buat rakyat Gaza dan kemenangan untuk umat Islam dalam menegakkan kebenaran.
